Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

KAI Tunjuk “Minat Yang Tinggi” Untuk Bekal Helikopter Pada TLDM – Sumber

Selepas berjaya membekalkan 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50M bernilai kira-kira RM4 bilion kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) kini dikatakan "mensasarkan" pula Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

0 12,362
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas berjaya membekalkan 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50M bernilai kira-kira RM4 bilion kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) kini dikatakan “mensasarkan” pula Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Sumber industri memaklumkan kepada Defence Security Asia bahawa gergasi aeroangkasa Korea Selatan itu menunjukkan “minat yang tinggi” untuk terlibat dalam program penggantian helikopter Super Lynx Mk300 milik TLDM itu.
KAI akan “memasuki gelanggang” sekiranya Kementerian Pertahanan membuka tender untuk memperolehi helikopter bersesuaian untuk menggantikan enam buah helikopter Super Lynx yang digunakan oleh tentera laut pada ketika ini.
Defence Security Asia difahamkan KAI bakal mengetengahkan “Marineon” MOH (Marine Operation Helicopter) yang merupakan varian marin helikopter “Surion” dibangunkan oleh syarikat  itu dan digunakan secara meluas oleh cabang-cabang Angkatan Tentera Korea Selatan.
Helikopter “Marineon”/”Surion” telah dibangunkan oleh KAI dengan menggabungkan kelebihan-kelebihan teknologi diperolehi menerusi pengoperasian helikopter Amerika Syarikat dan Eropah oleh negara itu, selain menggunakan platform dan sistem yang sudah sedia ada di pasaran.

Marineon

Konfigurasi helikopter “Marineon” yang diketengahkan oleh KAI untuk memenuhi keperluan TLDM adalah “Marine Operation Helicopter” (MOH), dengan spesfikasi teknikalnya akan ditentukan kemudian oleh TLDM dan KAI.
Konfigurasi MOH “Marineon” adalah lebih sesuai untuk memenuhi keperluan TLDM.
Selain konfigurasi MOH untuk operasi maritim, helikopter “Marineon” juga memiliki konfigurasi-konfigurasi lain seperti “Marine Utility Helicopter” (MUH), “Marine Attack Helicopter” (MAH) dan “Mines Countermeasure Helicopter” (MCH).
Mengenai sistem persenjataan yang boleh dibawa oleh helikopter “Marineon” dalam konfigurasi MOH yang lengkap, sumber itu berkata, ia tertakluk kepada pilihan pelanggan.
Secara asasnya,helikopter “Marineon” MOH antaranya itu boleh dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-darat, peluru berpandu udara-ke-udara, torpedo, Gatling Gun, mesingan berat dan lain-lain lagi.
Marineon
Manakala bagi sistem sensor pula, helikopter itu boleh dilengkapi dengan Sonarbuoy, Electronic Support Measure (ESM), Forward Looking Infra Red (FLIR), Search Radar dan sebagainya, manakala  untuk tujuan Anti-Submarine Warfare (ASW), helikopter “Marineon” MOH  boleh dilengkapi dengan “dipping sonar” untuk mengesan kehadiran kapal-kapal selam musuh.
Antara ciri-ciri utama helikopter “Marineon” adalah bilah-bilah kipasnya boleh dilipat bagi memudahkan pengendalian oleh krew di platform pendaratannya, anti-corrosion treatment, windshield washer system, long-range HF radio and TACAN serta auxiliary fuel tank system.
Spesifikasi utama helikopter keluaran KAI adalah ia berkemampuan mencapai kelajuan 142 knot, maximum take-off gross weight 19,200 pound, kuasa 1,855shp x 2 dan boleh membawa 13 penumpang termasuk dua orang juruterbang.  
Dalam temuramah dengan akhbar tempatan tahun lepas, Panglima TLDM pada ketika itu, Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob berkata hanya empat helikopter Super Lynx Mk300 itu masih beroperasi pada ketika ini.
“TLDM kini mengendalikan empat daripada enam pesawat (helikopter) untuk operasi maritim bagi menyokong keperluan operasi dan latihan armada.”
Super Lynx
Helikopter Super Lynx Mk300 milik TLDM
“Dua (buah) lagi diletakkan di bawah Penyimpanan Jangka Panjang (LTS) disebabkan tiada sokongan keperluan lojistik pesawat,” menurut Abdul Rahman di dalam temuramah terbabit.
Beliau juga berkata, helikopter Super Lynx Mk300 itu akan digantikan dan ia semestinya akan meningkatkan keupayaan unit udara TLDM bagi operasi tertentu.
Dari segi perolehan kata Panglima TLDM, terdapat kemungkinan angkatan itu mendapatkan helikopter itu menerusi kaedah sewa apabila perkhidmatan helikopter Super Lynx Mk300 yang kini menjangkau usia 20 tahun dihentikan secara berperingkat.
Helikopter Super Lynx telah dibangunkan oleh syarikat Augusta Westland (dahulu dikenali sebagai GKN Westland Helicopter). — DSA

 

 

Comments
Loading...