Kapal Pengawal Pantai China, CCG 5402 Sudah Sebulan Berada Di Beting Patinggi Ali
Dalam emelnya kepada Defence Security Asia, penyelidik antarabangsa Raymond M. Powell berkata kapal pengawal pantai China itu yang dikesan tiba di perairan sekitar Beting Patinggi Ali pada 31 Mac lepas, masih terus berada di perairan ZEE milik Malaysia itu hampir sebulan selepas ketibaannya di perairan negara itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal pengawal pantai China CCG 5402 didapati masih berada di perairan sekitar Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) di luar pantai Sarawak, kira-kira sebulan sejak kapal itu dikesan tiba di kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) milik Malaysia itu.
Dalam emelnya kepada Defence Security Asia, penyelidik antarabangsa Raymond M. Powell berkata kapal pengawal pantai China itu yang dikesan tiba di perairan sekitar Beting Patinggi Ali pada 31 Mac lepas, masih terus berada di perairan ZEE milik Malaysia itu hampir sebulan selepas ketibaannya di perairan negara itu.
Kapal pengawal pantai China itu berkemungkinan turut menyambut Hari Raya Aidilfitri di dalam perairan ZEE Malaysia itu.

Dalam ciapannya menerusi akaun Twitter miliknya sebelum ini, penyelidik itu berkata, kapal pengawal pantai China itu telah bertindak “menganggu” aktiviti minyak dan gas yang dijalankan oleh syarikat minyak dan gas negara, Petronas di Beting Patinggi Ali.
“Pagi ini, 18 April pada 0746 waktu tempatan, kapal pengawal pantai China 5402 melintasi dalam lingkungan 300 meter daripada kapal perkhidmatan pesisir Malaysia, SK Majestic dan pelantarnya serta meneruskan ‘gangguan’ terhadap lapangan gas Petronas di Luconia Shoals (Beting Patinggi Ali),” katanya dalam ciapan beliau pada 18 April lepas.
Raymond M. Powell merupakan ketua Projek Myoushu di Gordian Knot Center for National Security Innovation, Universiti Stanford, Amerika Syarikat.
Beliau juga merupakan bekas pegawai Tentera Udara Amerika Syarikat.
Kapal pengawal pantai China dipercayai berada hampir dengan projek pembangunan gas Kasawari di Blok SK316 yang sedang diusahakan oleh Petronas.

Ditemui pada Novermber 2011, Lapangan Gas Kasawari itu dianggar menyimpan sebanyak tiga trillion kaki padu (Trillion Cubic Feet –TCF) sumber gas asli yang boleh diekstrak, diproses dan dikomersial.
Beting Patinggi Ali terletak pada kedudukan 84 batu nautika (155 km) dari pantai Miri (spesifiknya di Tanjung Baram), Sarawak di Laut China Selatan dan sememangnya telah terbukti sebagai kawasan perairan yang kaya dengan khazanah minyak dan gas.
Comments are closed.