Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“The Monster” Awasi Projek Gas Kasawari Petronas Di Perairan ZEE Negara

Menurut Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI), gambar-gambar satelit dan data daripada AIS (Automatic Identification System) menunjukkan kapal pengawal pantai China CCG 5901 yang lebih dikenali sebagai "The Monster" kerana saiz dan beratnya yang mencecah 12,000 tan, beroperasi berhampiran projek gas itu milik Petronas itu yang terletak di Blok SK316.

0 11,477

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Ketegangan semakin meningkat di kawasan perairan sekitar Projek Gas Kasawari milik syarikat minyak kebangsaan, Petronas di luar pantai Sarawak berikutan kehadiran berterusan kapal-kapal pengawal pantai China termasuk kapal CCG 5901 yang lebih dikenali dengan panggilan “The Monster,” ,menurut badan penyelidikan antarabangsa yang berpangkalan di Washington.

Menurut Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI), gambar-gambar satelit dan data daripada AIS (Automatic Identification System) menunjukkan kapal pengawal pantai China CCG 5901 atau “The Monster” itu kerana saiz dan beratnya yang mencecah 12,000 tan, beroperasi berhampiran projek gas milik Petronas itu yang terletak di Blok SK316.

“The Monster” adalah kapal pengawal pantai terbesar dunia pada ketika ini.

Kapal China
(kredit pembaca Defence Security Asia)

 

Kapal CCG 5901 “The Monster”  daripada kelas-Zhaotou telah dibina pada 2016 oleh Jiangnan Shipyard di Shanghai.

Gambar-gambar satelit dan data AIS yang diperolehi oleh AMTI  juga menunjukkan kehadiran kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memantau (shadow) “The Monster” itu.

Semalam, gambar-gambar kiriman pembaca Defence Security Asia menunjukkan kehadiran sebuah kapal pengawal pantai China dan bot dipercayai digunakan oleh militia maritim negara itu beroperasi di platform minyak dan gas, berkemungkinan terletak di dalam perairan Sarawak.

Bagaimana tidak dipastikan sama ada ia adalah “The Monster” yang “berkawal” di platform minyak dan gas terbabit yang dipercayai berada dalam perairan Sarawak dan ZEE negara.

Menurut AMTI lagi, projek gas Kasawari yang bakal memulakan operasinya pada tahun ini terletak kira-kira 25 batu nautika di selatan Luconia Breakers (Hempasan Banti) yang kerap menerima kunjungan daripada kapal-kapal pengawal pantai China.

Kapal China
(kredit pembaca Defence Security Asia)

 

Luconia Breakers (Hempasan Bantin) adalah sebahagian daripada Gugusan Beting Patinggi Ali yang juga dikenali sebagai South Luconia Shoals.

Ia juga merangkumi Richmond Reef (Terumbu Balingian), Comus Reef (Beting Merpati) dan Connel Reef (Terumbu Dato Talip).

Menurut AMTI, notis daripada Jabatan Marin Malaysia menyatakan bahawa pengangkutan struktur “jacket” untuk Platform Pemprosesan Pusat Kasawari bermula pada 24 Februari lalu, dengan pembinaan dan pemasangan bermula daripada 8 Mac dan dijangka berakhir sehingga 30 April.

 Kapal pengawal pantai China itu “The Monster” tiba di Luconia Shoals (Beting Patinggi Ali) pada 17 Februari dan dengan cepat mengawasi operasi di Projek Gas Kasawari.
“Data daripada sistem AIS menunjukkan ia menghampiri Projek Gas Kasawari sehampir 7 Batu Nautika pada 18 Februari lalu dan hanya di antara 1 hingga 2 Batu Nautika pada Mac 11-12 serta Mac 17-19.”
Kasawari
(kredit AMTI)

 

“Pada ketika itu signal daripada sistem AIS miliknya berubah-ubah,membawa maksud bahawa kemungkinan kapal pengawal pantai China menghabiskan lebih banyak masa di Kasawari,” menurut AMTI.

Pada ketika ini, Kuala Lumpur mula bertindak dengan mengerah kapal Littoral Mission Ship (LMS) kelas-Keris Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Badik yang sedang dalam perlayaran ke Sabah untuk membuat persinggahan di Projek Gas Kasawari itu.

KD Badik merupakan salah sebuah daripada empat buah kapal LMS milik TLDM yang dibeli daripada China pada 2016.

Menurut AMTI, data daripada AIS mencadangkan bahawa KD Badik berada di barat Kasawari untuk mengelak berhadapan secara langsung dengan “The Monster” yang berada di bahagian timur, dengan data daripada AIS juga menunjukkan bahawa kedudukan di antara kedua-dua kapal itu mungkin lebih dekat.

Kali terakhir signal AIS KD Badik dikesan daripada Kasawari adalah pada Mac 22, dengan signalnya sekali lagi dikesan apabila ia berada di pangkalannya di Kota Kinabalu pada Mac 24.

Kasawari

Menurut AMTI, pada ketika laporan ini diterbitkan “The Monster” masih berada di Hempasan Bentin (Luconia Breakers).

Dalam satu laporan oleh Defence Security Asia pada 26 Februari lalu, kapal “The Monster” dilaporkan belayar pada kedudukan hanya 55 Batu Nautika daripada pantai Sarawak.

Pelayaran “The Monster” tidak jauh daripada kawasan pantai Sarawak itu telah dinyatakan oleh  ketua Projek Myoushu di Gordian Knot Center for National Security Innovation, Universiti Stanford, Raymond M. Powell menerusi ciapannya dalam akaun Twitter @GordianKnotRay.

Powell juga adalah seorang bekas Kolonel dalam Tentera Udara Amerika Syarikat.

Mengikut United Nations Convention On The Law of the Sea (UNCLOS) 1982, perairan berdaulat milik sesebuah negara (territorial waters) adalah sejauh 12 Batu Nautika daripada kawasan pantai (baseline) manakala kawasan perairan ZEE milik sesebuah negara adalah sejauh 200 Batu Nautika daripada pantai (baseline).

Monster

Pada awal Mac, badan penyelidikan itu turut menerbitkan laporan menyatakan bahawa pembangunan projek-projek hidrokarbon di Nam Con Son milik Vietnam, Kasawari (Malaysia) dan Tuna (Indonesia) akan meningkatkan ketegangan di Laut China Selatan pada tahun ini.

Lapangan gas ini ditemui pada 2011 dan terletak kira-kira 100 batu nautika daripada pusat kemudahan pemprosesan gas asli di Bintulu, Sarawak.– DSA

Apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...