Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

KM Bistari Hanya 150 Meter Dari Kapal China Di Beting Patinggi Ali

Kapal pengawal pantai China CCG 5402 sepanjang 100 meter dan seberat kira-kira 4,000 tan bukanlah kapal yang asing di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia,  kerana ia kerapkali berada di sekitar perairan Beting Patinggi Ali sejak beberapa tahun lepas untuk melaksanakan tugas utamanya iaitu “menganggu” (harassing) aktiviti minyak dan gas Malaysia di perairan terbabit.  

0 27,076

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Walau hanya panjang 40 meter dan berat 230 tan, tetapi ia tidak menghalang kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) “KM Bistari” untuk mengikuti dengan dengan rapat (shadow) kapal Pengawal Pantai China CCG 5402 yang memasuki perairan Zon Ekonomi Malaysia (ZEE) berhampiran Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) di luar pantai Sarawak.

Kapal pengawal pantai China CCG 5402 sepanjang 100 meter dan seberat kira-kira 4,000 tan bukan kapal yang asing di perairan ZEE Malaysia,  kerana ia kerapkali berada di sekitar Beting Patinggi Ali sejak beberapa tahun lepas untuk melaksanakan tugas utamanya iaitu “menganggu” (harassing) aktiviti minyak dan gas Malaysia di perairan terbabit.  

“Pada Jumaat (7 April 2023) sebaik sahaja tiba di Luconia Shoals (Beting Patinggi Ali), kapal pengawal pantai Malaysia KM Bistari berada hanya 150 meter daripada kapal pengawal pantai China CCG 5402 yang telah menganggu aktiviti minyak dan gas di situ sejak ia tiba (di perairan ZEE Malaysia) itu pada 31 Mac lalu untuk menggantikan CCG 5901 (yang juga dikenali sebagai (The Monster),” kata seorang penyelidik antarabangsa.

Minyak
Gambar Kapal Pengawal Pantai China berhampiran pelantar minyak dan gas Malaysia di perairan Sarawak. (ehsan pembaca Defence Security Asia)

 

Penyelidik antarabangsa terbabit merupakan ketua Projek Myoushu di Gordian Knot Center for National Security Innovation, Universiti Stanford, Raymond M. Powell menerusi ciapannya dalam akaun Twitter @GordianKnotRay.

Menurut Powell, sehari selepas “pertembungannya” dengan kapal pengawal pantai China CCG 5402 iaitu pada 8 April 2023,  kapal peronda APMM itu telah belayar ke utara Beting Patinggi Ali untuk memeriksa dua buah bot sokongan operasi minyak dan gas serta sebuah platform yang beroperasi di perairan ZEE negara itu.

Beberapa hari sebelum itu, kapal pengawal pantai China CCG 5402 turut berada di perairan yang sama memantau operasi kedua-dua bot sokongan dipercayai milik syarikat tempatan dan platform minyak itu.

Beting
kredit: @GordianKnotRay.

 

Sementara itu, menurut penyelidik antarabangsa itu lagi, kapal pengawal pantai China CCG 5402 telah bergerak ke arah timur untuk menganggu operasi minyak dan gas negara yang terletak di kawasan perairan terbabit.

“Kapal Pengawal Pantai China CCG 5402 telah bergerak ke timur untuk sekali lagi menganggu operasi minyak dan gas Malaysia di South Luconia Shoals,” kata beliau.

Beting Patinggi Ali terletak pada kedudukan 84 batu nautika (155 km) dari pantai Miri (spesifiknya di Tanjung Baram), Sarawak di Laut China Selatan dan sememangnya telah terbukti sebagai kawasan perairan yang kaya dengan khazanah minyak dan gas.

Beting
kredit: @GordianKnotRay.

 

Sebenarnya, kehadiran kapal pengawal pantai China CCG 5402 di perairan sekitar Beting Patinggi Ali itu telah dilaporkan oleh badan penyelidikan antarabangsa, Asia Maritime Transparency Intiative (AMTI) seawal tahun 2020.

Memetik laporan oleh AMTI tiga tahun lepas itu, Defence Security Asia turut melaporkan kehadiran “tetamu tidak diundang itu” di dalam perairan ZEE Malaysia itu.

Menurut laporan AMTI pada 2020 itu,  bermula daripada 19 November 2020 kapal CCG 5402 telah menganggu operasi pelantar minyak dan gas negara serta bot-bot sokongan yang beroperasi di kawasan perairan yang terletak hanya 44 batu nautika daripada pantai negeri Sarawak.

Berikutan daripada kejadian gangguan dan provokasi daripada kapal CCG 5402 itu, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah mengerahkan sebuah kapalnya, KD Bunga Mas 5 yang terus mengekori (shadow) kapal pengawal pantai China itu.

Beting
kredit: @GordianKnotRay.

 

Menurut laporan AMTI pada ketika itu, sememangnya telah wujud ketegangan antara kapal TLDM dan kapal pengawal pantai China di kawasan perairan ZEE Malaysia.

Badan pengkaji maritim itu turut menyertakan data-data AIS (Automatic Identification System) kapal-kapal terbabit yang diambil daripada aplikasi Marine Traffic serta imej satelit daripada Planet Labs untuk menunjukkan “drama” yang sedang berlaku antara TLDM dan kapal China itu tiga tahun lepas itu, — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...