Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal Pengawal Pantai China Pantau Operasi Petronas Di Blok SK316

Kapal pengawal pantai China itu, CCG 5402 dikesan berada di Blok SK316 yang terletak di dalam perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia dan berada tidak jauh daripada bot-bot sokongan operasi minyak dan gas, Ekspres 80, SK Magnitude serta Dolphin Satu.

0 8,017

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Imej satelit dan data daripada Automatic Identification System (AIS) menunjukkan sebuah kapal pengawal pantai China berada di timur Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals)  memantau operasi cari gali gas yang sedang dijalankan oleh syarikat minyak dan gas negara, Petronas.

Kapal pengawal pantai China itu, CCG 5402 dikesan berada di Blok SK316 yang terletak di dalam perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia dan berada tidak jauh daripada bot-bot sokongan operasi minyak dan gas, Ekspres 80, SK Magnitude serta Dolphin Satu.

“Kapal Pengawal Pantai China 5402 dilihat ‘menganggu’ (harassing) operasi gas Petronas di Blok SK316, timur di South Luconia Shoals di Perairan Zon Ekonomi Eksklusif, 65 Batu Nautika daripada pantai Sarawak,”  kata seorang penyelidik antarabangsa.

Kapal China
@GordianKnotRay.

 

Penyelidik antarabangsa terbabit merupakan ketua Projek Myoushu di Gordian Knot Center for National Security Innovation, Universiti Stanford, Raymond M. Powell menerusi ciapannya dalam akaun Twitter @GordianKnotRay.

Kapal pengawal pantai China dipercayai tidak jauh daripada projek pembangunan gas Kasawari yang sedang diusahakan oleh Petronas.

Ditemui pada Novermber 2011, Lapangan Gas Kasawari itu dianggar menyimpan sebanyak tiga trillion kaki padu (Trillion Cubic Feet –TCF) sumber gas asli yang boleh diekstrak, diproses dan dikomersial.

Beting Patinggi Ali terletak pada kedudukan 84 batu nautika (155 km) dari pantai Miri (spesifiknya di Tanjung Baram), Sarawak di Laut China Selatan dan sememangnya telah terbukti sebagai kawasan perairan yang kaya dengan khazanah minyak dan gas.

Kasawari
Lapangan Gas Kasawari di Blok SK316 yang diusahakan oleh PETRONAS.

 

Kapal pengawal pantai China CCG 5402 sepanjang 100 meter dan seberat kira-kira 4,000 tan bukanlah kapal yang asing di perairan ZEE Malaysia,  kerana ia kerapkali berada di sekitar Beting Patinggi Ali sejak beberapa tahun lepas untuk melaksanakan tugas utamanya iaitu “menganggu” (harassing) aktiviti minyak dan gas Malaysia di perairan terbabit.  

Kapal pengawal pantai China 5402 itu dikesan tiba di Beting Patinggi Ali pada  31 Mac lepas untuk menggantikan sebuah lagi kapal pengawal pantai negara itu, CCG 5901 yang merupakan kapal pengawal pantai terbesar dunia.

Kapal pengawal pantai China CCG 5901 yang mempunyai berat 12,000 tan juga dikenali sebagai “The Monster.”

Kapal China
Perbezaan kapal pengawal pantai “The Monster” dengan kapal pengawal pantai biasa China.

 

Tidak lama selepas dikesan berada di sekitar perairan Beting Patinggi Ali, kerajaan telah mengerah kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) KM Bistari untuk memantau kehadiran CCG 5904 itu.

Sejak tahun 2000, kapal pengawal pantai China CCG 5402 telah dikesan memasuki perairan ZEE negara di sekitar Beting Patinggi Ali sebagaimana yang telah dilaporkan oleh badan penyelidikan antarabangsa, Asia Maritime Transparency Intiative (AMTI) seawal tahun 2020. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...