TLDM Bakal Terima RM2. 4 Bilion Untuk 3 Kapal LMS
Laporan daripada "Janes" mengatakan TLDM akan menerima peruntukan sebanyak RM2. 4 bilion bagi memulakan perolehan tiga buah kapal LMS Batch Kedua, dengan setiap kapal dianggar bernilai RM800 juta.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dikatakan bakal menerima peruntukan sebanyak RM2. 4 bilion (US$524.84 juta) bagi membolehkannya memperolehi tiga buah kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch Kedua.
Ini bermakna setiap sebuah daripada tiga buah kapal LMS Batch Kedua itu dianggarkan bernilai RM800 juta.
Jika setiap sebuah kapal LMS Batch Kedua bernilai RM800 juta, maka keseluruhan peruntukan untuk membina lapan buah kapal LMS Batch 2 itu dianggarkan menelan belanja sebanyak RM6. 4 bilion.

Menurut portal pertahanan antarabangsa “Janes”, TLDM akan diberikan peruntukan itu pada Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan oleh kerajaan pada 7 Oktober depan.
Laporan media sebelum ini menyatakan bahawa Kementerian Pertahanan merancang untuk memperolehi lapan buah kapal LMS Batch Kedua untuk TLDM bagi menambah empat buah kapal LMS Batch 1 kelas-Keris yang telah diperolehinya sebelum ini.
Dokumen yang diperolehi oleh Janes menyatakan bahawa peruntukan dicadangkan di bawah Rolling Plan 3 Rancangan Malaysia Ke-12 untuk tempoh daripada 2021 hingga 2025.
Pembinaan kelapan-lapan buah kapal LMS Batch Kedua itu bakal dilaksanakan sehingga Rancangan Malaysia Ke-13 (2026-2030).
Baru-baru ini, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata perolehan kapal-kapal LMS Batch Kedua itu dikategorikan sebagai “projek kritikal dan perlu diberikan keutamaan yang tinggi.”

Menurut PAT lagi, TLDM berpandangan perolehan sebanyak lapan buah kapal LMS Batch Kedua itu perlu dilaksanakan seiring (concurrent) dengan pembinaan lima buah Littoral Combat Ship (LCS) yang sedang berlangsung pada ketika ini.
Berlainan dengan empat buah kapal LMS Batch Pertama yang hanya dilengkapi dengan sistem persenjataan ringan seperti meriam ringan, kapal-kapal LMS Batch Kedua bakal dilengkapi dengan sistem persenjataan yang lebih berkuasa.
Comments are closed.