Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

TLDM Rancang Perolehi Tiga Dari Lapan Kapal LMS Batch II Tahun Ini

Setakat ini, TLDM telah buka kertas cadangan (proposal) kepada beberapa negara antaranya China, Belanda dan Turki dan kami telah menyenarai pendek beberapa cadangan.

0 4,591

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) merancang untuk melakukan perolehan tiga lagi buah kapal Littoral Mission Ship (LMS) di bawah program perolehan Batch 2 LMS, bagi menambah empat buah kapal LMS yang telah pun diperolehi setakat ini.

Bercakap kepada agensi berita nasional, BERNAMA pada pameran DSA 2022 dan NATSEC, Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata peruntukan untuk perolehan untuk kapal-kapal LMS Batch II itu sedang diusahakan TLDM dan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien.

“Setakat ini, di peringkat TLDM kami telah buka kertas cadangan (proposal) kepada beberapa negara antaranya China, Belanda dan Turki dan kami telah menyenarai pendek beberapa cadangan.

LMS
Kapal LMS TLDM yang keempat dan terakhir, “Rencong” selamat tiba di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu. (TLDM)

 

“Apabila TLDM telah dapat bajet barulah kami akan memilih syarikat mana yang berjaya membina LMS berkenaan,” katanya.

Mohd Reza berkata perolehan kelompok kedua LMS dirancang bagi menggantikan aset-aset TLDM sedia ada yang telah usang.

TLDM dikatakan sedang merancang untuk memperolehi sehingga lapan buah kapal LMS Batch 2 kedua pada tahun, dengan pembinaannya akan dilaksanakan secara berperingkat di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025).

LMS
Kapal LMS ketiga TLDM dinamakan “Badik.” (gambar kredit TLDM)

 

Empat buah kapal LMS Batch 1 kelas-Keris yang dibina di China hasil kerjasama di antara firma  Boustead Naval Shipyard (BNS) dan China Shipbuilding and Offshore Corporation (CSOC) di Wuchang Shipyard di Qidong, China.

Empat kapal LMS TLDM iaitu KD Sundang ditauliah pada 5 Mac tahun lepas, KD Badik (20 Okt 2021), KD Keris (15 April 2019) dan KD Rencong (28 Jan 2022).

Perolehan lapan buah kapal LMS Batch Kedua pada Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025) sudah semestianya akan meningkatkan kemampuan TLDM terutamanya dalam memelihara kedaulatan kawasan perairan negara terutama di Laut China Selatan yang sedang berhadapan dengan pencerobohan kapal-kapal pengawal pantai China.

LMV
Kapal Littoral Mission Vessel (LMV) kelas-Independence Tentera Laut Singapura.

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Terdapat harapan bahawa kapal-kapal LMS Batch 2 TLDM itu akan lebih berkuasa daripada segi sistem dan persenjataannya berbanding empat buah kapal LMS Batch 1 yang diperolehi daripada China, yang hanya memiliki berat kira-kira 700 tan dengan persenjataan yang amat minima.

Saiz kapal LMS Batch 2 ini juga diharap lebih besar dan berat supaya ia lebih stabil ketika berada di lautan, selain boleh beroperasi lebih jauh daripada pangkalannya.

Sebagai perbandingan, kapal Littoral Mission Vessel (LMV) kelas-Independence Tentera Laut Singapura yang direkabentuk secara bersama antara ST Marine, Saab Kockums dan Defence Science and Technology Agency (DSTA) memiliki berat 1,200 tan dan dilengkapi dengan meriam 76mm, 25mm serta helicopter. — DSA

 

Comments
Loading...