Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Projek LMS Batch Kedua TLDM Dikategori “Kritikal, Keutamaan Tinggi”

Kemungkinan projek pembinaan kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch Kedua TLDM itu menerima lampu hijau daripada kerajaan adalah amat tinggi memandangkan ia dikategorikan sebagai “projek kritikal dan perlu diberikan keutamaan yang tinggi.”

0 5,318

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Minggu lepas, Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jen Tan Sri Affendi Buang telah memberikan satu lagi petanda jelas tentang hala tuju perjalanan program perolehan kapal-kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch Kedua untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Beliau menyatakan bahawa perolehan lapan buah kapal LMS Batch Kedua itu masih lagi di peringkat menunggu kelulusan daripada kerajaan.

Bagaimanapun, kemungkinan projek itu menerima lampu hijau daripada kerajaan adalah amat tinggi memandangkan perolehan kapal-kapal LMS Batch Kedua itu telah dikategorikan sebagai “projek kritikal dan perlu diberikan keutamaan yang tinggi.”

LMS
Rekabentuk Damen Sigma 9113 yang dicadangkan untuk program LMS Batch 2 TLDM.

 

Angkatan Tentera Malaysia turut mendaftarkan projek perolehan kapal Littoral Mission Ship dalam Rolling Plan Ketiga Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi tahun 2023,” kata beliau ketika ditemui media tempatan baru-baru ini.

RMK-12 merupakan pelan pembangunan lima tahun yang bermula pada 2021 sehingga 2025.

Menurut PAT lagi, TLDM berpandangan perolehan sebanyak lapan buah kapal LMS Batch Kedua itu perlu dilaksanakan seiring (concurrent) dengan pembinaan lima buah Littoral Combat Ship (LCS) yang sedang berlangsung pada ketika ini.

“Sebagai sebuah negara maritim, keluasan perairan negara memerlukan tentera laut mempunyai keupayaan cegah rintang yang kredibel.

“Bagi memenuhi keperluan ini, TLDM berpandangan perolehan baharu sebanyak lapan buah kapal LMS kelompok kedua perlu dilaksanakan seiring dengan perolehan lima buah LCS yang sedang berlangsung,” kata Affendi lagi.

LMS
Tiga daripada empat kapal LMS Batch 1 milik TLDM yang dibina oleh syarikat China, CSOC.

 

Difahamkan beberapa syarikat pembuat kapal dalam dan luar negara telah pun mengadakan pertemuan dengan TLDM dan menyatakan minat mereka untuk memenuhi keperluan TLDM untuk mendapat kapal LMS.

Antaranya adalah syarikat-syarikat daripada Turki, Korea Selatan,China, Belanda dan dalam negara, Malaysia.

Kapal-kapal LMS Batch Kedua yang bakal dibina adalah berbeza berbanding empat buah kapal LMS Batch Pertama yang telah pun diterima dan dioperasikan sepenuhnya oleh TLDM.

Empat buah kapal LMS Batch Pertama milik TLDM iaitu KD KERIS, KD SUNDANG, KD BADIK dan KD RENCONG telah memasuki inventori secara berperingkat bermula daripada Januari 2020 hingga Disember 2021.

Kesemua aset-aset itu kini beroperasi sepenuhnya di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sabah.

LMS
Kapal LMS ketiga TLDM dinamakan “KD Badik.” (gambar kredit TLDM)

 

Malaysia memperolehi empat buah kapal LMS yang dibina secara bersama antara Boustead Naval Shipyard (BNS) dan China Shipbuilding and Offshore Corporation (CSOC) di Wuchang Shipyard di Qidong, China dengan kontrak perolehan lebih RM1 billion.

Berlainan dengan empat buah kapal LMS Batch Pertama yang hanya dilengkapi dengan sistem persenjataan ringan seperti meriam ringan, kapal-kapal LMS Batch Kedua bakal dilengkapi dengan sistem persenjataan yang lebih berkuasa.

Cadangannya adalah supaya kapal-kapal LMS Batch Kedua ini dilengkapi dengan sistem persenjataan seperti peluru berpandu anti kapal “Naval Strike Missile” (NSM) yang dibangunkan oleh firma Kongsberg serta sistem peluru berpandu pertahanan udara.

Apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

Selain itu, ia juga akan dilengkapi dengan meriam-meriam berat dan ringan serta kemungkinan helikopter bagi force multiplier.

Kapal-kapal LMS Batch Kedua yang bakal dibina itu adalah lebih panjang lebih 100 meter dengan berat kira-kira 2,000 tan bagi membolehkannya dilengkapkan dengan pelbagai peralatan, berbanding kapal-kapal LMS Batch Pertama yang hanya memiliki berat tidak melebihi 100 meter dan berat sekitar 700 tan.– DSA

Jom!!!! follow TwitterTelegramFacebook dan download Apps Defence Security Asia di Google Playstore
Comments
Loading...