Turki Muncul “Destinasi Pilihan” Oligarch Russia Larikan Diri Dari Sekatan Ekonomi
Turki kini bukan sahaja menjadi destinasi pilihan kepada kapal-kapal mewah milik Oligarch Russia yang "melarikan diri" daripada sekatan ekonomi ketat oleh pihak Barat tetapi negara Mediterranean itu kini menjadi "lokasi pilihan" bagi dana berbillion-bilion Dollar Amerika milik para jutawan dan billionair Russia itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Nampaknya, pusat-pusat peranginan terkenal di Turki menjadi destinasi “persinggahan” pilihan bagi kapal-kapal layar mewah bernilai sehingga ratusan juta Dollar Amerika milik jutawan dan billionair Russia yang lebih dikenali dengan gelaran “Oligarch.”
“Oligarch” adalah gelaran yang diberikan oleh Barat kepada ahli perniagaan Russia yang mempunyai hubungan yang rapat dengan Kremlin dan Presiden Russia Vladimir Putin.
Oligarch Russia seperti bekas pemilik kelab bolasepak Chelsea, Roman Abramovich dikatakan bertindak “melarikan” kapal-kapal layar mewah mereka ke Turki bagi mengelakkan aset bernilai mereka itu dirampas oleh pihak berkuasa negara-negara Barat.

Abramovich, 55, dikatakan telah “melarikan” kapal layar mewahnya “Eclipse” yang dianggarkan bernilai US$700 juta (RM2.8 bilion) dan “Solaris” berharga US$600 juta (RM2.4 bilion) ke Turki untuk mengelaknya daripada dirampas oleh pihak berkuasa negara Eropah.
Sebelum dikesan berlabuh di pusat peranginan Turki, Yalikavak di selatan negara itu, kapal-kapal mewah milik beliau berlabuh di pusat peranginan di Eropah.
Terbaru, sebuah kapal layar mewah milik seorang lagi “Oligarch” Russia iaitu Oleg Deripaska dikesan sedang berlabuh di pusat peranginan Gocek yang terletak di selatan Turki, berkemungkinan juga sedang “melarikan” diri daripada sekatan ekonomi Barat.
Deripaska adalah pemilik gergasi aluminium Russia, “RUSAL” yang berhadapan dengan sekatan ekonomi daripada Amerika Syarikat, Eropah dan Britain.
Kapal mewah sepanjang 73 meter milik billionair Russia itu, “Clio” dianggarkan bernilai US$66 juta (RM264 juta).

Abramovich dan Deripaska adalah diantara “Oligarch” Russia yang bertuah kerana dapat melarikan kapal-kapal mewah mereka sebelum ianya dapat dirampas oleh pihak berkuasa Eropah.
Dua lagi “Oligarch” Russia iaitu Viktor Akselberg dan Igor Sechin berhadapan dengan nasib malang apabila pihak berkuasa Eropah dan Amerika Syarikat merampas kapal layar mewah milik mereka di pusat-pusat peranginan di Sepanyol dan Perancis.
Comments are closed.