Varian Paling Berkemampuan FA-50 Block 20 Menjadi Pilihan?
Varian FA-50 Block 20 adalah varian paling berkemampuan yang ditawarkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI) kepada Malaysia untuk memenuhi keperluan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi memiliki diantara 18 hingga 36 buah pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) yang dijangka menelan belanja di antara RM4 bilion hingga RM8 billion. Apakah pilihan negara?
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Varian FA-50 Block 20 adalah varian pesawat FA-50 yang paling berkemampuan yang ditawarkan oleh syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) bagi tender Kementerian Pertahanan untuk perolehan 18-36 buah pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA).
Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Kewangan Kemalak Systems Sdn Bhd, Maj (B) Mohd Iswandi Mohd Sharif kepada Defence Security Asia.
Kemalak Systems merupakan rakan tempatan bagi gergasi aeroangkasa Korea Selatan itu.
“(Sekiranya pesawat FA-50 Block 20 terpilih) maka Malaysia dan TUDM adalah negara pertama rantau ini yang menggunakan varian FA-50 Block 20 dilengkapi dengan kelengkapan (probe) untuk melakukan pengisian minyak di udara (air-to-air refuelling),” kata beliau kepada Defence Security Asia.
Sekiranya pesawat FA-50 terpilih sebagai pesawat FLIT/LCA pilihan TUDM, maka varian yang akan digunakan olehnya adalah berlainan daripada yang digunakan oleh tentera udara Thailand (T-50TH), Filipina (FA-50) dan Indonesia (T-50I).
Kemampuan untuk melakukan pengisian minyak di udara merupakan antara spesifikasi yang ditetapkan oleh TUDM.
Tentera Udara Filipina menggunakan 12 buah pesawat FA-50 dalam varian LCA manakala Tentera Udara Thailand pula mengoperasikan 14 buah varian T-50 termasuk dua buah yang dipesan daripada KAI baru-baru ini.
Tentera Udara Indonesia juga menggunakan kira-kira 22 buah pesawat T-50.
Pesawat FA-50 Block 20 yang ditawarkan oleh KAI kepada Malaysia adalah varian yang lebih berkemampuan kerana ia telah dinaiktaraf dan dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan bagi membolehkan ia melaksanakan pelbagai misi dan operasi, selain melatih juruterbang.
Menurut Mohd Iswandi, pesawat FA-50 Block 20 yang ditawarkan oleh KAI kepada Malaysia secara amnya dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan canggih seperti “Sniper Advance Targeting Pod,” 20mm gun, peluru berpandu AIM-9, GBU-12 LGB Integration, GBU-38 JDAM (Joint Direct Attack Munitions) dan peluru berpandu AGM-65 Maverick.
Selain itu, pesawat FA-50 Block 20 itu juga akan dilengkapi dengan kemudahan Air-To-Air Refuelling Probe (AAR Probe) untuk melakukan pengisian minyak di udara dan Link 16 Block Upgrade 2.
Kemudahan AAR Probe itu akan memastikan pesawat FA-50 Block 20 itu berkemampuan beroperasi pada jarak yang lebih jauh dan lebih lama.
Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store:
Selain itu katanya, terdapat juga opsyen untuk kerja-kerja menaiktaraf yang boleh dilakukan pada masa depan kerana perkara yang akan dinaiktaraf itu masih di dalam proses pembangunan pada ketika ini oleh KAI.
Antaranya, termasuklah 300 gelen External Fuel Tanks dan kemampuan Beyond Visual Range (BVR) dalam bentuk peluru berpandu udara-ke-udara AIM-120 (AMRAAM).
Sedikit lagi penambahbaikan dan naik taraf, pesawat FA-50 Block II yang ditawarkan oleh KAI sudah boleh dikategorikan sebagai pesawat MRCA (Multi Role Combat Aircraft). — DSA