Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat KF-21 “Boramae” Guna Radar AESA Keluaran Korea Selatan

Untuk menghasilkan radar AESA (Active Electronically Scanned Array) adalah amat sukar dan hanya beberapa negara sahaja memiliki kemampuan untuk membangunkan radar AESA. Malah Russia juga dikatakan berhadapan dengan kesukaran untuk menghasilkan radar AESA.

4,123

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Walaupun syarikat Amerika Syarikat, Lockheed Martin merupakan rakan kongsi rasmi Korea Aerospace Industries (KAI) bagi pembangunan pesawat pejuang “KF-21 Boramae”, namun bukan semua teknologi dikongsinya dengan Korea Selatan.

Salah satu teknologi yang ia enggan berkongsi dengan Korea Selatan dalam projek pembangunan pesawat KF-21 membabitkan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) yang amat kritikal bagi kejayaan projek itu.

Keengganan Washington/Lockheed Martin berkongsi teknologi pembuatan radar AESA dengan Korea Selatan/KAI dalam projek pesawat KF-21 itu hampir-hampir menggagalkan pembangunan pesawat itu.

Sehinggalah Defense Acquisition Program Administration (DAPA) milik kerajaan Korea Selatan berpendapat negara itu berkemampuan membangunkan radar AESA-nya sendiri dengan kerjasama syarikat-syarikat tempatan.

DAPA memilih syarikat tempatan, Hanwha Systems untuk membangunkan radar AESA bagi pesawat KF-21 dan pada Ogos 2020, prototaip radar AESA bagi pesawat generasi 4.5 yang dipanggil “F-35 versi Asia”  itu telah didedahkan pada awam buat pertama kali.

KF-21
Radar AESA untuk pesawat KF-21 “Boramae.”

 

Menurut Hanwha Systems, radar AESA bagi pesawat KF-21 itu disifatkan sebagai “mata pesawat”.

“Radar AESA KF-21 adalah satu daripada sensor avionik yang paling penting yang melaksanakan pelbagai misi seperti pemantauan, pengesanan sasaran udara dan darat serta menghasilkan imej-imej video,” menurut syarikat Korea Selatan itu.

Radar AESA bagi KF-21 itu direka untuk mengesan dan mengenalpasti pelbagai sasaran serentak pada jarak melebihi 200km.

Selain melengkapi pesawat KF-21 dengan radar AESA, syarikat Hanwha dan DAPA juga merancang untuk melengkapkan pesawat-pesawat pejuang buatan negara itu termasuk FA-50 dengan radar AESA buatan Hanwha itu.

KF-21

Ada kemungkinan TUDM juga akan menggunakan radar AESA sekiranya pesawat FA-50 Block 20 dipilih sebagai pemenang tender Kementerian Pertahanan bagi perolehan 18 buah pesawat FLIT/LCA untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pembangunan radar AESA bagi pesawat KF-21 itu merupakan cubaan kali pertama Korea Selatan terhadap pembuatan radar AESA yang kini merupakan komponen penting bagi pembinaan pesawat-pesawat termoden dunia.

Berbanding radar PESA (Passive Electronically Scanned Array), radar AESA mempunyai pelbagai kelebihan termasuk jarak pengesanan sasaran yang lebih jauh dan tepat walaupun sasaran itu bersaiz kecil,  sukar dikesan oleh musuh serta kemampuan ia untuk menahan daripada tindakan “jamming” oleh musuh.

KF-21

Sebab itu, negara-negara di dunia  ini mahukan pesawat pejuang mereka dilengkapi dengan radar-radar AESA.

Bagaimanapun, untuk menghasilkan radar AESA adalah amat susah dan hanya beberapa negara sahaja yang memiliki kemampuan untuk membangunkan radar AESA. Malah Russia juga dikatakan berhadapan dengan kesukaran untuk menghasilkan radar AESA.

Negara-negara yang berkeupayaan membangunkan radar AESA adalah Amerika Syarikat, United Kingdom, Sweden, Perancis dan Israel.

KF-21

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

 

Korea Selatan dikatakan adalah negara benua Asia yang pertama mampu menghasilkan radar AESA.

Selain membekalkan radar AESA untuk pesawat KF-21, Hanwha Systems juga menghasilkan sistem Electro Optical Targeting Pod, Infra Red Search and Track (IRST) dan Multi-Function Primary Cockpit Display.

Sementara itu sebuah lagi syarikat tempatan Korea, LIG Nex1 telah membangunkan sistem peperangan elektronik bagi pesawat KF-21. — DSA

 

Comments are closed.