Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Syarikat Tempatan Bakal Terlibat Dalam Pembangunan Simulator FA-50 Block 20

Memandangkan bilangan pengguna pesawat FA-50/T-50 di seluruh dunia semakin meningkat, maka ia memberikan peluang kepada syarikat tempatan untuk terlibat sama dalam pembangunan “Full Mission Simulator” pesawat terbabit serta produk-produk KAI yang lain untuk pelanggan-pelanggannya di seluruh dunia.

0 7,405

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat Malaysia bakal diberikan peluang untuk terlibat sama dalam pembangunan simulator pesawat FA-50 Block 20 keluaran syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) sekiranya gergasi aeroangkasa Korea Selatan terpilih untuk membekalkan 18 buah pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Menurut Ketua Pegawai Kewangan Kemalak Systems Sdn Bhd Mej (B) Mohd Iswandi Mohd Shariff, antaranya syarikat tempatan yang bakal menerima kesan positif daripada Industrial Collaboration Program (ICP) dengan KAI sekiranya syarikat Korea Selatan itu memenangi tender perolehan pesawat FLIT/LCA itu adalah – Ikramatic Systems Sdn Bhd.

Syarikat tempatan, Ikramatic Systems yang ditubuhkan pada tahun 1998 itu sememangnya dikenali dan berpengalaman di dalam bidang simulator dan telah berjaya membangunkan simulator pesawat serta helikopter kepada kerajaan Malaysia.

 “Untuk Full Mission Simulator (pesawat FA-50), syarikat Ikramatic Systems telah berjaya melepasi piawaian dan tapisan yang ketat untuk menjadi antara Global Supply Chain untuk KAI bagi program pembangunan simulator.”

 “Kerjasama itu bukan sahaja terhad kepada simulator pesawat pejuang (seperti FA-50), tetapi ia turut merangkumi platform-platform lain seperti helikopter, unmanned aerial vehicle (UAV) dan lain-lain di masa hadapan,” kata Mohd Iswandi kepada Defence Security Asia dalam temuramah baru-baru ini.

FA-50

Kemalak Systems merupakan rakan perunding tempatan bagi syarikat KAI untuk program ICP terbabit.

Memandangkan bilangan pengguna pesawat FA-50/T-50 di seluruh dunia semakin meningkat, maka ia memberikan peluang kepada syarikat tempatan untuk terlibat sama dalam pembangunan “Full Mission Simulator” pesawat terbabit serta produk-produk KAI yang lain untuk pelanggan-pelanggannya di seluruh dunia.

Ia sudah semestinya “mengasah” lagi bakat syarikat tempatan dalam industri penghasilan simulator untuk industri penerbangan sama ada komersial atau ketenteraan.

FA-50
Pesawat FA-50 terbang bersama F-16

 

Di Asia Tenggara sahaja, pesawat-pesawat FA-50/T-50 digunakan oleh tentera-tentera udara Thailand, Filipina dan Indonesia.

Selain pesawat T-50-FA-50,  syarikat KAI turut sedang membangunkan pesawat generasi 4.5 KF-21 “Boramae” yang bakal melakukan penerbangan sulungnya pada tahun ini serta pesawat ISR (Intelligence, Surveillance and Reconnaisance) “Baekdu” dan lain-lain lagi.

Ia sudah semestinya memberi peluang kepada syraikat tempatan untuk turut sama membangunkan simulator bagi produk-produk lain keluaran KAI.

FA-50

Syarikat KAI menawarkan pesawat FA-50 Block 20 bagi pertimbangan Kementerian Pertahanan dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk program perolehan 18 buah pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA).

Untuk tender 18 buah pesawat FLIT/LCA TUDM, KAI bersaing dengan beberapa syarikat pembuat pesawat pejuang yang turut menyertai persaingan bernilai RM4 bilion untuk membekalkan pesawat jenis itu kepada negara.

Kerajaan dijangka mengumumkan pemenang persaingan tender pesawat FLIT/LCA TUDM pada pertengahan tahun ini.

FA-50
Pesawat FA-50 .

 

Antara syarikat lain yang menyertai tender Kementerian Pertahanan itu termasuk usahasama antara syarikat Pakistan Aeronautical Complex/Chengdu Aircraft Industry Group yang menawarkan pesawat JF-17, Hongdu L-15B CATIC daripada China, Hindustan Aeronatics Limited (HAL) dengan pesawat “Tejas”, Yakovlev dengan pesawat Yak-130, Leonardo dengan pesawat M-346, Saab Gripen, Boeing T-7 Red Hawk dan Rosoboronexport menerusi pesawat MiG-35.

Program ICP yang ditawarkan oleh KAI sekiranya ia berjaya memenangi tender bagi pesawat FLIT/LCA TUDM adalah amat menyeluruh dan mampu melonjakkan keupayaan teknologi tempatan.

Selain pemindahan teknologi pembangunan full mission simulator pesawat FA-50 itu, syarikat KAI juga menawarkan untuk mewujudkan ‘final assembly line’ bagi pesawat FA-50 serta MRO (Maintenance, Refurbishment and Overhaul) di Malaysia. 

FA-50
FA-50

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

 

“Buat pertama kali, Malaysia akan memiliki kemudahan pemasangan akhir pesawat pejuang. Kemalak Systems telah mencadangkan kepada KAI untuk mewujudkan kemudahan pemasangan akhir pesawat FA-50 itu di Malaysia dan KAI telah bersetuju dan menyertakannya di dalam tawaran mereka kepada Kementerian Pertahanan,” kata Mohd Iswandi.

“Secara keseluruhannya, kewujudan pusat pemasangan pesawat FA-50 di Malaysia akan memberikan kesan positif kepada negara keseluruhannya dan usaha Malaysia untuk menguasai teknologi tinggi terutamanya yang berkait dengan penerbangan.”

KAI telah bersetuju untuk melabur (invest) dalam usaha mewujudkan kemudahan pemasangan akhir pesawat FA-50 di Malaysia itu, tetapi keputusan akhir terletak di tangan kerajaan.– DSA

 

 

Comments
Loading...