(DEFENCE SECURITY ASIA) — Perlumbaan mendapatkan vaksin Covid-19 mendedahkan kemungkinan berlaku pertikaian melibatkan kerajaan di seluruh Asia Tenggara, termasuk Malaysia, dengan China sebagai pengeluar yang disasarkan.
Malaysiakini hari ini memetik Nikkei Asia dalam laporan beritanya yang merangkumi perkembangan di beberapa negara Asia Tenggara menyorot rundingan secara berhati-hati yang dikatakan melibatkan Menteri Luar China Wang Yi dan Wisma Putra.
Wang Yi dalam lawatannya bulan lalu menjanjikan keutamaan China kepada Malaysia dalam mendapatkan akses vaksin, namun Nikkei melaporkan bahawa ia dibuat dengan permintaan sebagai balasan.

Nikkei memetik seorang pegawai Malaysia yang tidak didedahkan mengatakan Wang Yi telah meminta agar 60 warganegara China yang ditahan dalam enam kapal nelayan kerana menceroboh perairan Malaysia dibebaskan beberapa hari sebelum lawatan beliau.
Malaysia mengatakan mereka akan mempertimbangkan permintaan itu, menurut pegawai rasmi berkenaan.
Mengulas penahanan itu, pegawai kementerian luar China pada waktu itu menggesa pihak berkuasa Malaysia menjalankan siasatan yang adil dan melindungi hak warganya.
Bulan lepas, pihak berkuasa Malaysia menahan 60 nelayan China bersama-sama enam bot nelayannya di perairan Johor.
Sehingga kini, pihak berkuasa tidak mengeluarkan sebarang laporan berkenaan kedudukan terkini kesemua nelayan China itu, sama ada mereka akan didakwa atau dibebaskan.
Wang Yi berada di Malaysia pada 12 Okt dan 13 Okt sebagai sebahagian daripada lawatannya ke lima negara di Asia Tenggara.

Satu kenyataan dari Wisma Putra pada masa itu mengatakan pertemuan Wang Yi dengan Menteri Luar Negeri, Hishammuddin Hussein akan membincangkan status vaksin Covid-19 yang dikeluarkan China, meningkatkan kerjasama ekonomi, kerjasama pasca-wabak dan memperkuat hubungan yang ada dan kerjasama antara kedua-dua negara.
Comments are closed.