Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Diplomasi Vaksin”, Menteri Luar China ke Malaysia Esok.

0 510

 (DEFENCE SECURITY ASIA) – “Diplomasi Vaksin COVID-19” secara rasminya akan bermula esok apabila Menteri Luar China Wang Yi melakukan lawatan dua hari ke Malaysia bermula esok dan Selasa.

Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini berkata, Menteri Luar China itu akan bertemu dengan rakan sejawatnya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bagi berbincang tentang kerjasama pasca-wabak.

Kedua-dua mereka juga akan membincangkan usaha memulihkan kelestarian ekonomi negara dan langkah untuk mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara.

Mereka juga akan menyentuh mengenai isu-isu semasa membabitkan kepentingan bersama.

Wang Yi

Admin sememangnya sudah menjangkakan bahawa China akan menggunakan vaksin COVID-19 yang sedang diusahakan oleh syarikatnya seperti CanSino Biologics sebagai alat diplomatik (diplomatic tools) untuk meredakan kemarahan dunia serta negara serantau terhadap tindakannya di Laut China Selatan dan isu-isu lain.

Dakwaan mengenai taktik China (menggunakan COVID-19 untuk mengukuhkan tuntutannya terhadap Laut China Selatan) ini telah lama diperkataan oleh penganalisis dan bukanlah kali pertama diutarakan oleh admin.

Vaksin

Jika kita semua lupa, admin ingin mengingatkan tentang apa yang berlaku ketika kita mula-mula dilanda wabak COVID-19 yang berasal daripada Wuhan juga.

Ketika itu Beijing menggunakan pandemik itu untuk meluaskan langkah diplomasinya dengan menghantar bertan-tan pelitup muka (face mask), alat perlindungan diri (personal protective equipment), ventilator, malah doktor untuk membantu negara-negara Asia Tenggara dan negara lain dalam menangani COVID-19.

Walaupun langkah diplomatik China itu amat baik, membantu negara lain termasuk Malaysia yang sedang dirudung musibah akibat COVID-19, tetapi pada masa yang sama Beijing juga mengirim kapal-kapal perangnya untuk menceroboh perairan Laut China Selatan termasuk perairan milik kita.

Kapal-kapal perang China terutama kapal pengawal pantai dengan semberononya telah menceroboh perairan Vietnam, Filipina, Malaysia serta Indonesia.

Malah ketika COVID-19 inilah, pencerobohan kapal-kapal tentera China terhadap Laut China Selatan semakin menjadi-jadi.

Kita masih ingat bagaimana kapal-kapal pengawal pantai China cuba menganggu operasi “drillship” West Capella yang dioperasi oleh syarikat minyak dan gas negara, Petronas, dengan harapan negara tunduk kepada desakannya.

West Capella
Kapal perang Amerika Syarikat, USS Gabrielle Giffords ketika meronda berhampiran dengan West Capella. (sumber internet)

Nasib baik Petronas dan kerajaan tidak tunduk kepada desakan China itu dan meneruskan kerja-kerja mereka.

Jika kita tunduk pada ketika itu, alamatnya, itulah kali terakhir perairan sekitar operasi West Capella itu menjadi milik kita.

Keadaan menjadi sungguh tegang ketika itu sehingga memaksa Amerika Syarikat menghantar kapal-kapal perang dan pesawatnya untuk mengawasi tindakan kapal-kapal pengawal pantai China itu.

Kapal pengawal pantai China juga tidak pernah meninggalkan pengawasannya terhadap Beting Patinggi Ali, di luar perairan Sarawak.

Negara Komunis itu menganggap perairan di sekitar Beting Patinggi Ali yang kaya dengan sumber minyak dan gas sebagai milik mereka.

Beting Patinggi Ali
Kapal pengawal pantai China di Beting Patinggi Ali tidak lama dahulu. (sumber internet)

Ia adalah perairan paling selatan China sebagaimana menurut peta “Nine Dash Line” yang dicipta mereka sendiri.

Semua ini berlaku ketika kita, negara-negara Asia Tenggara dan seluruh negara sedang bergelut dengan pandemik COVID-19.

Penyelidik
Beberapa tahun lepas, tiga penyelidik China menyusup dan menceroboh Beting Patinggi Ali. (sumber internet)

Admin berharap apabila “top diplomat” China itu berkunjung ke Malaysia esok dan Selasa, kerajaan harus mengingatkan China tentang tindak-tanduk tenteranya di perairan negara dan Laut China Selatan itu amatlah tidak baik untuk kesejahteraan hubungan kedua negara.

Walaupun kita sambut baik tawaran vaksin COVID-19 oleh China dan kerjasama lain, tetapi pada masa yang sama kita perlu mengingatkan kepada mereka supaya jangan mengambil kesempatan.

Tiada harga untuk kedaulatan negara.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...