Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Ukraine Arah Tenteranya Perkukuh Pertahanan Di Sempadan Belarus Hadapi Wagner

Beberapa hari lepas, media-media di Russia mendakwa bahawa kem pertama untuk menempatkan ribuan anggota kontraktor keselamatan Wagner di negara sekutu kuatnya, Belarus, telah mula didirikan di sebuah kawasan hutan di wilayah Mogilev negara itu yang boleh menempatkan kira-kira 8,000 orang.

0 1,470

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Presiden Ukraine Volodymr Zelensky mengarahkan pemimpin tenteranya supaya memperkukuhkan pertahanan di bahagian utara negara itu yang bersempadan dengan Belarus, berikutan laporan tentang kehadiran anggota bersenjata Wagner dan ketuanya, Yevgeny Prigozhin di negara terbabit.

Keputusan supaya Kiev memperkukuhkan pertahanannya di sempadan Belarus itu diambil selepas mesyuarat di antara Zelensky dengan pucuk pimpinan tertinggi negara itu.

Turut sama dalam mesyuarat itu adalah Panglima Angkatan Tentera Ukraine Jeneral Valery Zaluzhnyi dan Komander Angkatan Bersama Jeneral Serhii Naev yang diarahkan supaya segera bertindak memperkukuhkan pertahanan itu.

Wagner
Anggota tentera Ukraine

 

Selepas daripada mesyuarat itu, Zelensky berkata beliau telah diberikan penerangan tentang keadaan terkini di Belarus yang menyebelahi Russia dalam konflik di antara Kiev dan Moscow.

“Keadaan di Belarus sentiasa di bawah kawalan kepimpinan Ukraine,” kata beliau sebagaimana dipetik oleh media tempatan Ukraine.

Beberapa hari lepas, media-media di Russia mendakwa bahawa kem pertama untuk menempatkan ribuan anggota kontraktor keselamatan Wagner di negara sekutu kuatnya, Belarus, telah mula didirikan di sebuah kawasan hutan di wilayah Mogilev negara itu..

Kem pertama untuk anggota Wagner dirancang dibina di Osipovich, wilayah Mogilev di Belarus yang terletak kira-kira 200km daripada sempadan negara itu dengan Ukraine dan lebih 400km daripada ibu negara Kiev.

“Keluasan kawasan kem untuk anggota Wagner itu adalah seluas 24, 000 meter persegi dan ia mampu menempatkan kira-kira 8,000 anggota kumpulan itu,” sebagaimana dipetik oleh media-media Russia.

Media Russia bernama “Verstka” mengatakan bahawa pihak berkuasa di Mogilev telah diarahkan untuk membina sebuah kem di kawasan hutan wilayah itu untuk menempatkan anggota-anggota Wagner.

Wagner
Cadangan kem Wagner di Belarus dan jaraknya ibu negara Ukraine, Kiev.

 

“Kami sedang bekerja, kami memulakan kerja hari ini. Esok sebelum makan tengah hari, tugasan kami adalah untuk membina kem itu (untuk anggota Wagner),” menurut sumber yang memberitahu media Russia tersebut.

Selain kem untuk anggota Wagner di wilayah Mogilev, media Russia juga menyatakan bahawa beberapa buah kem juga akan dibina untuk menempatkan anggota kumpulan bersenjata itu yang akan dipindahkan daripada Russia.

Kumpulan bersenjata Wagner yang diwujudkan oleh Yevgeny Prigozhin itu dikatakan memiliki sehingga 50,000 anggota.

Sebagai sebahagian daripada “kompromi” dicapainya dengan kerajaan Russia untuk menamatkan apa yang didakwa sebagai “pemberontakan bersenjata”, Prigozhin akan hidup dalam “buang” di Belarus.

Laporan media di Russia juga menyatakan bahawa Prigozhin telah pun dilihat di sebuah hotel di Belarus.

Selain itu keluarga anggota Wagner juga mengesahkan kepada media Russia bahawa mereka akan dihantar ke Belarus.

Prigozhin
Yevgeny Prigozhin (tengah) bertanggungjawab wujudkan kontraktor keselamatan Wagner.

 

Laporan daripada media-media lain pula mengatakan bahawa pusat-pusat rekrut akan dibina di Belarus untuk merekrut rakyat negara itu untuk menganggota kumpulan Wagner.
Bercakap kepada Sky News beberapa hari lalu, bekas ketua staf tentera darat British Jeneral Richard Dannat berkata, tindakan Presiden Vladimir Putin “membuang” Prigozhin ke Belarus itu perlu menimbulkan syak-wasangka dan  kebimbangan kepada Ukraine.
Katanya, Ukraine perlu meningkatkan pertahanannya bagi menangani kemungkinan anggota keselamatan Wagner melancarkan serangan terhadap ibu negara Kiev daripada Belarus, dimana ketua Yevgeny Prigozhin itu kini hidup dalam “buangan”.
“Laporan tentang beliau (Yevgeny Prigozhin) telah ke Belarus adalah suatu kebimbangan,” kata bekas jeneral British itu.
Sekiranya ketua kumpulan Wagner itu turut membawa anggota-anggota keselamatannya (anggota Wagner ke Belarus), maka beliau boleh menimbulkan ancaman kepada Ukraine kerana kedudukan di antara Kiev dan Belarus itu.
Wagner
Anggota keselamatan Wagner

 

Menurut Dannat lagi, adalah suatu kemungkinan yang membimbangkan Ukraine bahawa Moscow mungkin akan menggunakan anggota-anggota Wagner untuk cuba menawan ibu negara Ukraine, Kiev sekali lagi daripada Belarus yang merupakan sekutu kuat kepada Russia.
Presiden Belarus Alexsandr Lukashenko dilaporkan merupakan orang tengah yang menamatkan “perseteruan” (sama ada benar-benar berlaku atau hanya drama) di antara Moscow dengan kumpulan Wagner itu.
Baru-baru ini, Russia mengesahkan bahawa ia telah mula menempatkan senjata-senjata taktikal nuklear di Belarus, namun enggan mendedahkan jumlah dan jenis senjata taktikal nuklear yang ditempatnya di negara yang bersempadan dengan Ukraine itu. — DSA
DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...