Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kem Untuk Anggota Wagner Mula Dibina Di Belarus, 200km Dari Sempadan Ukraine

Media Russia mendakwa bahawa kem pertama untuk anggota Wagner dirancang dibina di Osipovich, wilayah Mogilev di Belarus yang terletak kira-kira 200km daripada sempadan Belarus itu dengan Ukraine dan lebih 400km daripada ibu negara Kiev.

0 8,835

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Media-media di Russia mendakwa bahawa kem pertama untuk menempatkan ribuan anggota kontraktor keselamatan Wagner di negara sekutu kuatnya, Belarus, telah mula didirikan di sebuah kawasan hutan di wilayah Mogilev negara itu..

Kem pertama untuk anggota Wagner dirancang dibina di Osipovich, wilayah Mogilev di Belarus yang terletak kira-kira 200km daripada sempadan negara itu dengan Ukraine dan lebih 400km daripada ibu negara Kiev.

“Keluasan kawasan kem untuk anggota Wagner itu adalah seluas 24, 000 meter persegi dan ia mampu menempatkan kira-kira 8,000 anggota kumpulan itu,” sebagaimana dipetik oleh media-media Russia.

Wagner
Anggota Wagner

 

Media Russia bernama “Verstka” mengatakan bahawa pihak berkuasa di Mogilev telah diarahkan untuk membina sebuah kem di kawasan hutan wilayah itu untuk menempatkan anggota-anggota Wagner.

“Kami sedang bekerja, kami memulakan kerja hari ini. Esok sebelum makan tengah hari, tugasan kami adalah untuk membina kem itu (untuk anggota Wagner),” menurut sumber yang memberitahu media Russia tersebut.

Selain kem untuk anggota Wagner di wilayah Mogilev, media Russia juga menyatakan bahawa beberapa buah kem juga akan dibina untuk menempatkan anggota kumpulan bersenjata itu yang akan dipindahkan daripada Russia.

Kumpulan bersenjata Wagner yang diwujudkan oleh Yevgeny Prigozhin itu dikatakan memiliki sehingga 50,000 anggota dan Belarus yang kini menjadi “rumah” Yevgeny Prigozhin dijangka akan dibanjiri oleh ribuan anggota Wagner.

Sebagai sebahagian daripada “kompromi” dicapainya dengan kerajaan Russia untuk menamatkan apa yang didakwa sebagai “pemberontakan bersenjata”, Prigozhin akan hidup dalam “buang” di Belarus.

Wagner
Cadangan kem Wagner di Belarus dengan ibu negara Ukraine, Kiev.

 

Laporan media di Russia juga menyatakan bahawa Prigozhin telah pun dilihat di sebuah hotel di Belarus.

Selain itu keluarga anggota Wagner juga mengesahkan kepada media Russia bahawa mereka akan dihantar ke Belarus.  

Laporan daripada media-media lain pula mengatakan bahawa pusat-pusat rekrut akan dibina di Belarus untuk merekrut rakyat negara itu untuk menganggota kumpulan Wagner.

Bercakap kepada Sky News beberapa hari lalu, bekas ketua staf tentera darat British Jeneral Richard Dannat berkata, tindakan Presiden Vladimir Putin “membuang” Prigozhin ke Belarus itu perlu menimbulkan syak-wasangka dan  kebimbangan kepada Ukraine.

Katanya, Ukraine perlu meningkatkan pertahanannya bagi menangani kemungkinan anggota keselamatan Wagner melancarkan serangan terhadap ibu negara Kiev daripada Belarus, dimana ketua Yevgeny Prigozhin itu kini hidup dalam “buangan”,

“Laporan tentang beliau (Yevgeny Prigozhin) telah ke Belarus adalah suatu kebimbangan,” kata bekas jeneral British itu.

Wagner

Sekiranya ketua kumpulan Wagner itu turut membawa anggota-anggota keselamatannya (anggota Wagner ke Belarus), maka beliau boleh menimbulkan ancaman kepada Ukraine kerana kedudukan di antara Kiev dan Belarus itu.

Menurut Dannat lagi, adalah suatu kemungkinan yang membimbangkan Ukraine bahawa Moscow mungkin akan menggunakan anggota-anggota Wagner untuk cuba menawan ibu negara Ukraine, Kiev sekali lagi daripada Belarus yang merupakan sekutu kuat kepada Russia.

Presiden Belarus Alexsandr Lukashenko dilaporkan merupakan orang tengah yang menamatkan “perseteruan” (sama ada benar-benar berlaku atau hanya drama) di antara Moscow dengan kumpulan Wagner itu.

Baru-baru ini, Russia mengesahkan bahawa ia telah mula menempatkan senjata-senjata taktikal nuklear di Belarus, namun enggan mendedahkan jumlah dan jenis senjata taktikal nuklear yang ditempatnya di negara yang bersempadan dengan Ukraine itu. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...