Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Yevgeny Prigozhin, Dari “Chef Putin” Kepada Individu Pencetus Perang Saudara Russia

Walaupun pada mula menafikan sekeras-kerasnya “cap jarinya” atau pembabitan beliau dengan kumpulan keselamatan Wagner, tetapi semua pihak dalam dan luar Russia mengetahui bahawa Prigozhin di atas persetujuan serta bantuan kewangan daripada Presiden Putin adalah “bapa” yang melahirkan kontraktor keselamatan itu.

0 1,302

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dengan krisis terbesar pernah dihadapi oleh Presiden Russia Vladimir Putin sepanjang 22 tahun pemerintahannya sudah berakhir, jom kita kenali siapakah Yevgeny Prigozhin yang hampir-hampir mencetuskan Perang Saudara di negara itu.

Sama seperti Putin, lelaki berusia 62 tahun itu yang bertanggungjawab menubuhkan kontraktor keselamatan Wagner berasal daripada St Petersburg,bandar terbesar terbesar di Russia.

Bermula sebagai orang biasa, Prigozhin menghabiskan tahun-tahun terakhir pemerintahan Kesatuan Soviet sebagai banduan di dalam penjara kerana melakukan rompakan kecil-kecilan dan pelbagai jenayah lain.

Prigozhin
Yevgeny Prigozhin (tengah) bertanggungjawab wujudkan kontraktor keselamatan Wagner.

 

Selepas bebas daripada penjara, beliau memulakan perniagaan kecil-kecilan dengan menjual hot-dog di tepi jalan.

Perniagaan yang bermula secara kecil-kecilan itu berkembang dan Prigozhin membuka pula restoran di bandar St Petersburg sehingga ia menarik perhatian Putin yang pada ketika itu merupakan timbalan gabenor di bandar itu.

Putin merupakan antara yang kerap menjamu selera di restoran Prigozhin itu dan kedua-dua mereka memulakan persahabatan yang seterusnya membawa kepada penubuhan Wagner pada tahun-tahun selepas itu.

Disebabkan “keenakan” masakan di restorannya sehingga menyebabkan Putin kerap mengunjungi restoran Prigozhin itu, serta hubungan akrabnya, beliau telah diberikan nama timangan iaitu “Putin’s Chef” oleh media-media tempatan dan orang dalaman pentadbiran kerajaan Russia pada ketika itu.

Apabila Putin dilantik sebagai presiden, Prigozhin menerusi syarikatnya “Concord” telah diberikan kontrak-kontrak negara yang lumayan seperti menyediakan makanan kepada sekolah-sekolah dan lain lagi.

Daripada kontrak-kontrak makananlah, pembabitan Progozhin dengan urusan dalaman keselamatan Russia berkembang kepada isu-isu keselamatan negara, kesemuanya hasil hubungan akrab beliau dengan Presiden Putin.Prigozhin

Pada 2014, beliau telah menubuhkan kontraktor keselamatan Wagner yang telah memperlihatkan aksi ganasnya yang pertama apabila anggotanya terlibat dalam pencerobohan dan pendudukan tentera Russia di wilayah Crimea, di selatan Ukraine.

Walaupun pada mulanya menafikan sekeras-kerasnya “cap jarinya” atau pembabitan beliau dengan Wagner, tetapi semua pihak dalam dan luar Russia mengetahui bahawa Prigozhin di atas persetujuan serta bantuan kewangan Putin adalah “bapa” yang mewujudkan kontraktor keselamatan itu.

Prigozhin juga dikenalpasti oleh agensi-agensi perisikan Barat sebagai individu yang bertanggungjawab menubuhkan syarikat “ladang troll” Russia dikenali dengan nama Internet Research Agency yang terlibat dalam kegiatan memanipulasi pilihanraya presiden Amerika Syarikat pada 2018 menerusi penggunaan ribuan akaun-akaun palsu di dalam media sosial.

Pihak keselamatan Amerika Syarikat mendapati “ladang troll” Russia itu menerusi akaun-akaun palsunya telah menyumbang kepada kemenangan Donald Trump dalam pilihanraya presiden itu.

Pencerobohan Russia terhadap Ukraine pada Februari tahun lepas telah memberikan peluang kepada kontraktor keselamatan Wagner untuk menonjolkan lagi peranannya, terutamanya ketika tentera regular Russia berhadapan dengan siri kekalahan di medan peperangan.

Daripada sebuah kontraktor keselamatan yang bergerak secara rahsia dengan bantuan pimpinan keselamatan Russia, Wagner mula menonjolkan dirinya secara terbuka dengan membuka pejabatnya di bandar kelahiran Prigozhin itu sendiri iaitu St Petersburg.

Wagner
Anggota keselamatan Wagner

 

Wagner juga menubuhkan saluran media sosialnya sendiri dan melancarkan kempen merekrut anggotanya menerusi poster serta billboard secara besar-besar di seluruh negara.

Beberapa bulan sebelum tindakan berani matinya cuba mencabar Putin, Prigozhin telah dilihat menerusi siaran-siaran televisyen pergi ke penjara-penjara di seluruh Russia dalam usahanya untuk merekrut seberapa ramai banduan untuk menjadi anggota Wagner.

Beliau menjanjikan mana-mana banduan yang menyertai Wagner akan diampunkan daripada sebarang kesalahan dilakukan mereka sebelum itu.

Hasilnya, kontraktor keselamatan Wagner telah berjaya meningkatkan keanggotaannya kepada kira-kira 50,000 orang, dengan sebahagian besar daripada mereka telah dikerah ke Ukraine untuk membantu tentera Russia yang berhadapan dengan tekanan serangan tentera Ukraine dibantu oleh senjata Barat.

Anggota Wagner berjaya mengecapi kejayaan pertamanya di Ukraine apabila ia berjaya merampas bandar Bakhmut selepas berbulan pertempuran sengit.

Kejayaan merampas bandar Bakhmut yang dikepalai oleh anggota-anggota Wagner dibawah seliaan Prigozhin itu amat penting kepada moral keseluruhan tentera Russia yang berhadapan dengan siri kekalahan memalukan sebelum itu.

Prigozhin
Menteri Pertahanan Russia Sergei Shoigu (kanan) dan Ketua Staf Tentera Russia Jeneral Valery Gerasimov.

 

Apa yang berlaku di Bakhmut hanya meningkatkan profil Prigozhin dan komander tertingginya, Dmitry Utkin yang kini dilihat sebagai patriot ulung Russia dan menjadi pujaan jutaan rakyat Russia yang dambakan sebarang berita baik daripada medan peperangan di Ukraine.

Kejayaan Wagner di Bakhmut mungkin telah menyebabkan Prigozhin “besar kepala” dan beliau mula mensasarkan Menteri Pertahanan Sergey Shoigu dan Ketua Staf Angkatan Tentera Russia Jeneral Valery Gerasimov atas bilangan kemalangan jiwa anggota Wagner yang amat tinggi dalam usaha mereka untuk menawan Bakhmut.

Beliau menuduh Shoigu dan Gersimov telah gagal dalam perancangan perang di Ukraine dan memutuskan bekalan senjata serta peluru kepada anggota Wagner yang berjuang di Bakhmut sehingga menyebabkan ramai di antara mereka terkorban.

Dianggarkan lebih daripada 10,000 anggota Wagner, sebahagian besarnya adalah banduan yang direkrut daripada penjara Russia, terbunuh dalam misi merampas semula bandar Bakhmut itu.   

Dalam satu video ketika kempen di Bakhmut, Prigozhin dengan kemarahan yang meluap-luap telah berdiri dengan berlatarbelakangkan puluhan mayat anggota Wagner sambil memaki kepimpinan tentera Russia yang beliau dakwa sebagai bertanggungjawab terhadap kematian mereka.

“ Shoigu, Gerasimov,  dimanakah senjata (yang dijanjikan pada Wagner)? Anda duduk di kelab-kelab malam yang mahal dan anak-anak anda menikmati hidup dengan membuat video-video You Tube. Mereka ini (anggota Wagner) terbunuh supaya anda menjadi gemuk duduk di dalam pejabat yang cantik,”kata beliau di dalam video itu.

Wagner
Keadaan di bandar Rostov-on-don,selatan Russia.

 

Sejak daripada Bakhmut, hubungan antara Prigozhin dengan pimpinan tentera Russia terutamanya Shoigu dan Gersimov sudah tidak lagi dapat diperbaiki sehinggalah apa yang berlaku beberapa hari lepas yang hampir-hampir menjerumuskan Russia kepada Perang Saudara.

“Konflik” antara Wagner dan tentera Russia terus hangat apabila Kementerian Pertahanan negara itu memerintahkan semua unit-unit bukan tetap seperti Wagner supaya menandatangani kontrak membolehkan mereka diserap ke dalam tentera Russia.

Prigozhin enggan mematuhi arahan itu tetapi Putin telah menyebelahi arahan Kementerian Pertahanan.

Pada Jumaat lepas, beliau mendakwa bahawa kem anggotanya di timur Ukraine telah dibedil oleh tentera Russia menyebabkan beberapa anggotanya terbunuh.

Sejak daripada insiden itu, beliau telah mengarahkan anggotanya berundur daripada medan di Ukraine dan “mensasarkan” Moscow dalam satu perarakan “menuntut keadilan” terutamanya daripada pucuk pimpinan tentera Russia, dipercayai merujuk kepada Shoigu dan Gerasimov.

Kini, semuanya sudah menjadi sejarah dan laporan terkini mengatakan ketua Wagner itu akan hidup dalam buangan di Belarus sebagai sebahagian daripada kompromi yang dicapai untuk menyelesaikan krisis terburuk pernah dihadapi oleh presiden Putin itu.

Itulah Prizoghin, daripada “tukang masak” presiden Putin kepada ketua pemberontak yang hampir-hampir mencetus Perang Saudara di Russia. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...