Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Raytheon Terpaksa Panggil Pesara Untuk Buat Semula Peluru Berpandu “Stinger”

“Kita terpaksa memanggil kembali pekerja yang kini usianya telah mencecah 70-an untuk mengajar pekerja-pekerja baru tentang bagaimana untuk membina peluru berpandu Stinger. Kita terpaksa menggunakan kembali peralatan-peralatan lama daripada gudang yang mempunyai banyak sarang labah-labah,” kata seorang pegawai tinggi Raytheon, syarikat pembuat peluru berpandu MANPADS "Stinger".

0 5,185

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat Raytheon yang kini dikenali sebagai “RTX” terpaksa memanggil jurutera-juruteranya yang sudah lama bersara untuk memulakan kembali pembuatan sistem peluru berpandu “Stinger” yang telah lama ditamatkan, disebabkan permintaan yang tinggi akibat konflik di Ukraine.

Syarikat pertahanan Amerika Syarikat itu terpaksa menggunakan blueprint pembangunan sistem peluru berpandu MANPADS (Man-Portable Air Defence System) yang wujud pada zaman pemerintahan Presiden Jimmy Carter pada 1977.

“Peluru berpandu Stinger tidak dibina sejak 20 tahun yang lalu tetapi di dalam tempoh 48 jam selepas tercetusnya konflik di Ukraine, peluru berpandu itu telah menjadi “bintang” dan tiba-tiba semua pihak di Ukraine mahu memiliki peluru berpandu itu,” kata presiden salah satu divisyen dalam Raytheon,Wes Kremer kepada media ketika Paris Air Show yang baru sahaja berakhir.

Stinger

“Kita terpaksa memanggil kembali pekerja yang kini usianya telah mencecah 70-an untuk mengajar pekerja-pekerja baru tentang bagaimana untuk membina peluru berpandu Stinger. Kita terpaksa menggunakan kembali peralatan-peralatan lama daripada gudang yang mempunyai banyak sarang labah-labah,” katanya.

Menurut media, apa yang dilalui oleh Raytheon merupakan satu lagi contoh syarikat pertahanan yang terpaksa memulakan kembali pembuatan sistem pertahanan yang sudah lama tidak digunakan oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat.

Pihak pentadbiran Amerika Syarikat sehingga kini telah mengirimkan lebih daripada 2,000 sistem peluru berpandu “Stinger” kepada Ukraine untuk menembak jatuh pesawat pejuang, helikopter dan juga dron-dron milik Russia.

Kesemua sistem peluru berpandu lancaran bahu itu didapati daripada stok-stok tentera Amerika Syarikat.

Selain membekalkan Stinger daripada stok bekalan Amerika Syarikat, tentera Ukraine turut memperolehi sistem peluru berpandu jarak dekat itu daripada Jerman (500), Belanda (200) dan beberapa negara lain dalam kuantiti yang kecil. 

Tidak dapat dipastikan berapa banyak peluru “Stinger” masih berada dalam stok tentera Amerika Syarikat memandangkan peluru berpandu itu tidak lagi dikeluarkan oleh syarikat Raytheon.

Stinger

Presiden Amerika Syarikat Jo Biden menyatakan ia akan mengirimkan lebih banyak “Stinger” kepada Ukraine, memaksa syarikat Raytheon membangunkan lagi kembali produksi yang sudah dua dekad ditutup.

Apabila tentera Amerika Syarikat memesan kira-kira 1,700 peluru berpandu Stinger pada tahun lepas, Jabatan Pertahanan negara itu menyatakan bahawa peluru berpandu itu akan hanya dapat dihantar ke Ukraine pada tahun 2026.

Ia adalah kerana syarikat Raytheon memerlukan kira-kira 30 bulan untuk membangunkan semula produksi sistem peluru berpandu itu serta melatih semula pekerja-pekerjanya untuk membina semula peluru berpandu yang terkenal apabila ia digunakan oleh pejuang Mujahidin di Afghanistan pada 1980-an.

Sistem peluru berpandu FIM-92 “Stinger” adalah peluru berpandu MANPADS jarak dekat yang direka sebagai sistem pertahanan udara oleh tentera Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya.

Ia mula memasuki perkhidmatan tentera Amerika Syarikat pada tahun 1978 selepas dibangunkan selama 10 tahun untuk menggantikan sistem MANPADS FIM-43 Redeye. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...