Lawatan Pegawai Kanan Perisikan ISI Pakistan ke Banglaesh Cetus “Kemarahan, Kebimbangan” India
Sebagai reaksi balas terhadap lawatan pegawai agensi perisikan Pakistan Inter-Services Intelligence (ISI) ke Bangladesh, India menyatakan bahawa mereka sedang memantau perkembangan terkini secara rapat dan "akan mengambil langkah yang sewajarnya" sekiranya ia menyentuh tentang hal ehwal keselamatan negara.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Hubungan di antara India dan Bangladesh yang sedia tegang pada ketika ini semakin “bercelaru” selepas pegawai-pegawai tinggi agensi perisikan Pakistan, Inter-Services Intelligence (ISI) dilaporkan melawat Dhaka beberapa hari lalu.
Lawatan pegawai tertinggi tentera dan perisik Pakistan ke Bangladesh telah mencetuskan dan kemarahan kebimbangan di New Delhi.
Sebagai reaksi balas terhadap lawatan pegawai perisikan Pakistan ke Bangladesh, India menyatakan bahawa mereka sedang memantau perkembangan terkini secara rapat dan “akan mengambil langkah yang sewajarnya” sekiranya ia menyentuh tentang hal ehwal keselamatan negara.
“Kami sentiasa memantau semua aktiviti di sekitar negara dan di rantau ini, termasuk segala aktiviti yang memberi kesan kepada keselamatan negara, dan kerajaan akan mengambil langkah yang sewajarnya,” kata jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri India Randhir Jaiswal, dalam satu taklimat media mingguan.
Delegasi pegawai-pegawai tinggi agensi perisikan Pakistan itu yang diketuai oleh Mejar Jeneral Shahid Amir Asfar menghabiskan empat hari di Bangladesh.
Lawatan oleh pegawai agensi perisikan Pakistan, ISI itu adalah susulan kunjungan pegawai tertinggi tentera Bangladesh ke Pakistan baru-baru ini, di mana mereka telah bertemu dengan panglima bagi ketiga-tiga cabang perkhidmatan tentera.

India menganggap agensi perisikan Pakistan, ISI sebagai antara “musuh utamanya” kerana beberapa sebab utama yang berkaitan dengan sejarah konflik, isu keselamatan, dan ketegangan geopolitik.
ISI sering dituduh oleh India menyokong dan membiayai kumpulan militan yang beroperasi di wilayah Jammu dan Kashmir seperti Lashkar-e-Taiba (LeT) dan Jaish-e-Mohammed (JeM) yang dikaitkan dengan serangan terhadap sasaran India, termasuk serangan Mumbai 2008 dan serangan Pulwama 2019.
Hubungan India dan Pakistan telah tegang sejak pemisahan pada tahun 1947, termasuk beberapa peperangan seperti Perang 1947-1948, 1965, dan 1971.
ISI sering dilihat sebagai simbol perancangan strategik Pakistan dalam usaha melemahkan India di peringkat geopolitik dan ketenteraan.
India juga menuduh ISI terlibat dalam operasi perisikan yang bertujuan menggugat kestabilan India, seperti menyokong gerakan separatis di Punjab (gerakan Khalistan), Timur Laut India, dan aktiviti sabotaj lain.
India dan Pakistan bersaing untuk pengaruh di Asia Selatan, dan ISI dilihat sebagai alat utama Pakistan untuk melawan pengaruh India, termasuk melalui diplomasi, perang proksi, dan strategi geopolitik.

Sejak pergolakan yang berlaku selepas penggulingan bekas Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina, negara Asia Selatan itu yang kini dipimpin oleh pemenang Hadiah Nobel, Muhammad Yunus semakin mesra dengan Pakistan, sekaligus menimbulkan kebimbangan di India.
Menurut media-media India, walaupun hubungan antara Bangladesh dan Pakistan tegang sejak berdekad lamanya, namun penyingkiran bekas Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina baru-baru ini telah memperbaiki hubungan tersebut disebabkan oleh sentimen anti-India yang semakin meningkat di kedua-dua negara.
Demonstrasi besar-besaran penuntut di Bangladesh telah menyebabkan kejatuhan kerajaan Bangladesh pimpinan Liga Awami yang dipimpin oleh Sheikh Hasina.
Bekas Perdana Menteri Bangladesh itu telah melarikan diri ke India dan kini tinggal dalam buangan di negara jiran Bangladesh itu.
Kerajaan Bangladesh yang kini dipimpin oleh pemenang hadiah Nobel Muhamad Yunus telah beberapa kali mendesak supaya India mengektradisi Sheikh Hasina,beberapa menteri kabinetnya dan bekas pegawai kerajaan untuk diadili atas beberapa tuduhan termasuk pembunuhan tetapi tidak dilayan oleh New Delhi.
Disebabkan keengganan itu, hubungan di antara kedua-dua negara jiran itu semakin tegang.
