Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Beberapa Syarikat Nyatakan Hasrat Terlibat Aspek MRO Pesawat Pejuang FA-50M Milik TUDM

Pembinaan pesawat pejuang ringan FA-50M milik TUDM oleh syarikat KAI berjalan dengan lancar, dengan Defence Security Asia diberitahu kemajuan pembinaan pesawat pejuang itu telah melebihi 50 peratus.

0 10,397
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Beberapa syarikat telah menyatakan hasrat telah menyatakan hasrat kepada kerajaan untuk terlibat dalam aspek Maintenance, Refurbishment and Overhaul (MRO) pesawat-pesawat pejuang ringan FA-50M (Block 20) yang akan mula diterima oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada Okt tahun depan.
Defence Security Asia difahamkan syarikat Kemalak turut telah menzahirkan hasratnya untuk terlibat dalam aspek MRO pesawat-pesawat FA-50M itu dan kini sedang menunggu keputusan daripada kerajaan mengenai perkara itu.
“Difahamkan beberapa syarikat telah menyatakan hasrat mereka untuk terlibat dengan aspek MRO  pesawat pejuang FA-50M. Setakat ini belum ada lagi keputusan oleh kerajaan dan TUDM,” menurut sumber industri kepada Defence Security Asia.
Aspek MRO yang berkesan adalah elemen yang amat penting bagi memastikan tahap penyelenggaraan dan kesiapsiagaan pesawat-pesawat pejuang mahupun aset-aset pertahanan yang lain berada di tahap yang diperlukan oleh TUDM.
Syarikat yang memenangi kontrak MRO aset-aset pertahanan itu akan bekerjasama rapat dengan syarikat pembuat peralatan pertahanan itu dan syarikat-syarikat OEM (Original Equipment Manufacturer) komponen yang lain dalam memastikan aset itu diselenggara dan berada di dalam keadaan yang terbaik.
Pesawat pejuang ringan FA-50M itu dibangunkan oleh syarikat Korea Aerospace Industries (KAI).
FA-50
FA-50
Pembinaan pesawat pejuang ringan FA-50M milik TUDM oleh syarikat KAI berjalan dengan lancar, dengan Defence Security Asia diberitahu kemajuan pembinaan pesawat pejuang itu telah melebihi 50 peratus.
Sumber industri memberitahu bahawa kemajuan terkini pembinaan pesawat pejuang ringan FA-50M milik TUDM itu adalah lebih cepat daripada jadual asal, menggambarkan keberkesanan program pembinaannya oleh syarikat KAI.
“Progress program pembinaan pesawat-pesawat pejuang ringan FA-50M milik TUDM telah pun melebihi 50 peratus. Ia (kemajuan pembinaan) itu adalah melebihi daripada jadual asal kontrak,” menurut sumber itu.
Sumber industri juga memberitahu Defence Security Asia sebelum ini bahawa  buat masa ini kesemua 18 buah pesawat pejuang ringan itu akan beroperasi daripada Pangkalan TUDM Kuantan.
Laporan media Filipina pada Sept 2022 menyatakan bahawa Tentera Udara Filipina mengesahkan bahawa hanya lima daripada 12 buah pesawat pejuang ringan FA-50 miliknya “boleh terbang” pada masa ketika itu manakala selebihnya tidak boleh beroperasi disebabkan oleh masalah perolehan alat ganti dan penyelenggaran berkala.
Timbalan Panglima Tentera Udara Filipina pada ketika itu, Mej Jen Arthur Cordura yang mengesahkan perkara itu pada sesi pendengaran Senat berkata hanya lima daripada 12 buah pesawat FA-50 miliknya boleh dikerah ke medan sekiranya diperlukan.
FA-50
FA-50 milik Tentera Udara Filipina
Menurutnya, tahap kesiapsiagaan (readiness) 12 buah pesawat pejuang ringan FA-50 milik Tentera Udara Filipina itu hanya berada pada tahap 40 peratus.
Minggu lepas, sebuah daripada 12 buah pesawat pejuang ringan FA-50PH milik Filipina telah terhempas, mengorbankan kedua-dua juruterbangnya.
 TUDM dijangka mula menerima kumpulan pertama pesawat pejuang ringan FA-50M itu pada Oktober 2026, menurut kenyataan oleh Kementerian Pertahanan dan TUDM sebelum ini.
Kementerian Pertahanan menandatangani perjanjian perolehan dengan KAI pada Mei 2023 untuk memperolehi 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50M (Block 20) yang dianggarkan bernilai RM4 billion.
Pesawat pejuang ringan FA-50M milik TUDM ialah varian FA-50M yang paling moden dan berkeupayaan, berbanding dengan varian lain yang diperoleh negara lain termasuk Korea Selatan dan beberapa negara di Asia Tenggara.
Hanya varian pesawat pejuang ringan FA-50PL milik Poland adalah hampir sama dengan apa yang dimiliki oleh TUDM, dengan kedua-duanya dilengkapi dengan radar AESA PhantomStrike.
FA-50
(kredit TUDM)
Bulan lepas, Panglima TUDM Jen Tan Sri Mohd Asghar Goriman Khan telah melakukan lawatan ke kemudahan KAI di Korea Selatan untuk meninjau pembangunan pesawat pejuang ringan FA-50M yang diperolehi oleh TUDM.
Kenyataan oleh TUDM menyatakan: “Lawatan ini menandakan satu pencapaian penting setelah termeterainya kontrak perolehan antara Kerajaan Malaysia dan KAI.”
“Ia turut menjadi platform untuk melihat sendiri kemajuan dalam proses pembangunan aset baharu TUDM yang bakal menjadi pemangkin kepada evolusi keupayaan operasi dan latihan pertempuran udara negara.”
Ketika berkunjung ke kemudahan KAI itu, Panglima TUDM turut serta dalam penerbangan pesawat FA-50 milik KAI bersama juruterbang penguji.
“Pengalaman secara langsung ini membolehkan Panglima TUDM menguji keupayaan pesawat dalam aspek maneuverability, sistem avionik serta kesesuaian pesawat tersebut untuk memenuhi keperluan operasi dan latihan TUDM.”
“Berdasarkan penilaian beliau, pesawat FA-50M bukan sahaja memenuhi keperluan teknikal dan taktikal tetapi juga berpotensi menjadi aset strategik dalam memperkukuh keupayaan pertahanan udara negara,” menurut kenyataan oleh TUDM.
FA-50
(kredit TUDM)
Seramai enam juruterbang TUDM dijadualkan menjalani latihan intensif di Korea Selatan pada Oktober 2025 bagi membiasakan diri dengan sistem operasi pesawat pejuang baru itu.
Selain itu, seramai 51 anggota kejuruteraan TUDM akan menyertai kursus senggaraan bermula Januari 2026, sekali gus memastikan kesiapsiagaan teknikal pesawat ini dalam perkhidmatan TUDM kelak.
Lawatan ini turut memperkukuhkan hubungan industri pertahanan antara Malaysia dan Korea Selatan, apabila Panglima TUDM turut mengunjungi syarikat Hanwha Aerospace dan Korea Aviation Engineering & Maintenance Services (KAEMS).
Kedua-dua syarikat ini memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan serta penyelenggaraan pesawat FA-50M, memastikan kelangsungan operasi dan keberkesanan perkhidmatan pesawat ini dalam jangka panjang.
— DEFENCE SECURITY ASIA

 
Leave A Reply

Your email address will not be published.