Ahli Politik Mahu Moscow Beli Balik “Varyag” (Liaoning) Yang Kini Milik China
Kejatuhan USSR telah menyaksikan Ukraine merdeka dan kerajaan negara yang baru sahaja mencapai kemerdekaan itu yang kesempitan wang telah bertindak menjual “Varyag” (Liaoning) kepada warga "syarikat China" yang kononnya mahu menjadikan kapal pengangkut pesawat sebuah kasino.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Seorang ahli politik berpengaruh Russia mendesak kerajaan negara itu yang dipimpin oleh Presiden Vladimir Putin supaya “membeli balik” kapal pengangkut pesawat “Varyag” yang dimiliki oleh Kesatuan Soviet (USSR) tetapi kini dikenali sebagai “Liaoning” selepas dijual oleh Ukraine kepada China apabila USSR tumbang.
Kejatuhan USSR telah menyaksikan Ukraine merdeka dan kerajaan negara yang baru sahaja mencapai kemerdekaan itu yang kesempitan wang telah bertindak menjual “Varyag” (Liaoning) kepada warga “syarikat China” yang kononnya mahu menjadikan kapal pengangkut pesawat sebuah kasino
Sebenarnya warga China itu adalah “ejen-ejen” Beijing yang mahu mendapatkan kapal pengangkut pesawat untuk tentera negara itu.
Selepas tiba di China, “Varyag” menghabiskan masa beberapa tahun di limbungan kapal menjalani kerja-kerja pembaikan dan naiktaraf, sebelum kini dikenali dengan nama barunya iaitu “Liaoning”.
Liaoning adalah kapal pengangkut pesawat pertama Beijing.
Ahli politik Russia itu, Sergey Kargynov yang merupakan ketua Parti Liberal Demokratif sebagaimana dipetik berkata oleh agensi berita Ria Novosti mencadangkan supaya kerajaan Russia membeli balik kapal pengangkut pesawat itu daripada China.
“Selepas kejatuhan USSR, Ukraine telah menjualnya (Varyag) untuk beberapa botol Vodka dan besi buruk,” katanya.
Beliau juga mencadangkan supaya kapal pengangkut pesawat itu menjadi kapal perang utama Russia di Laut Hitam.
Parti Liberal Demokratik itu adalah parti ultra nasionalis Russia dan menyokong pencerobohan negara itu terhadap Ukraine.
Kargynov mahukan Moscow membeli balik kapal pengangkut pesawat itu yang kini dinamakan “Liaoning” dan menamakan kapal itu sempena Vladimir Zhirinovsky, pengasas parti politik itu yang meninggal dunia pada tahun lepas.
Zhirinovsky adalah ahli politik ultra nasionalis yang berkongsi pendapat dengan kerajaan Russia tentang Ukraine.
Walaupun timbulnya cadangan supaya Russia membeli balik kapal pengangkut pesawat yang dahulunya dikenali dengan nama “Varyag” (kini Liaoning) , tetapi peluang untuk melihatnya menjadi kenyataan adalah tipis kerana ia kini adalah hak kerajaan China.
Sudah pasti China tidak akan kehilangan aset ketenteraan utamanya itu.
Beijing sememangnya mahukan kapal pengangkut pesawat untuk merealisasikan hasratnya menjadi sebuah kuasa maritim di Indo-Pasifik.
Pada 1985, Soviet Union memulakan pembinaan kapal pengangkut pesawat kelas-Admiral Kuznetsov yang dinamakan “Varyag” (Varangian) tetapi pembinaannya terhenti pada 1992 selepas Kesatuan Soviet tumbang.
“Varyag” dibina di Ukraine (ketika itu adalah sebahagian USSR).
Ketika pembinaannya terhenti pada 1992, “Varyag” sudah hampir siap secara strukturnya tanpa mempunyai sebarang enjin, propeller atau sistem untuk mengoperasinya.
Sebagai sebuah negara yang baru sahaja mengecapi kemerdekaan selepas kejatuhan Komunisme dan Kesatuan Soviet, Ukraine kini tiba-tiba memiliki sebuah kapal pengangkut yang diwarisinya daripada Tentera Laut Soviet.
Bagaimanapun, Kiev yang bergelut dengan masalah kewangan yang serius tidak mahukan kapal pengangkut pesawat itu dan enggan meneruskan pembinaannya yang memakan belanja yang amat besar.
Buat beberapa tahun, “Varyag” tersadai di limbungan sebelum sebuah syarikat kecil dan tidak dikenali Hong Kong berjaya “menghidu” peluang yang tersedia.
Nama syarikat berpengkalan di Hong Kong itu adalah Agencia Turistica E Diversoes Chong Lot Limitada atau ringkasnya “Chong Lot” dan ia menggunakan alasan mahu membeli kapal pengangkut pesawat itu bagi menjadikannya pusat kasino terapung (floating casino) di Hong Kong.
Sesuai dengan imej Hong Kong sebagai pusat pelancongan utama Asia pada ketika itu.
Walaupun berpengkalan di Hong Kong, siasatan pelbagai pihak selepas itu menunjukkan Chong Lot sebenarnya dimiliki oleh sebuah lagi syarikat Hong Kong dikenali dengan nama Chin Luck.
Pada 1998, kerajaan Ukraine yang sedang berhadapan dengan krisis kewangan memutuskan untuk melelong “Varyag” pada harga US$20 juta (RM80 juta) dan lelongan itu telah dimenangi oleh Chong Lot.
Pada pertengahan tahun 2000, bermulalah perjalanan sukar “Varyag” dari limbungan kapal di Ukraine ke Hong Kong kononnya untuk dijadikan sebuah pusat kasino terapung yang bakal menguntungkan pemiliknya.
JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE
Akhirnya, pada 20 Februari 2002 kapal pengangkut pesawat yang dikatakan akan dijadikan “kasino terapung” dikesan memasuki perairan China, tetapi ia tidak menuju ke Hong Kong, sebaliknya “Varyag” dikesan berlabuh di Dalian yang sememangnya diketahui oleh pakar-pakar maritim Barat sebagai pusat pembinaan kapal-kapal tentera laut China.
Untuk tiga tahun selepas ketibaan “Varyag” di Dalian, perisikan Barat mengesan peningkatan aktiviti di limbungan kapal itu yang membuatkan mereka mengesyaki sesuatu yang “besar” sedang berlaku di Dalian.
Pada 2005, kapal pengangkut pesawat itu telah dipindahkan ke limbungan kering (dry dock) bagi membolehkan kerja-kerja pemulihan dan naik-taraf dilakukan dengan intensif.
Tujuh tahun selepas itu pada 25 Sept 2012, maka munculah kapal pengangkut pesawat pertama China yang pertama dinamakan “Liaoning”, yang sebelum ini dikenali sebagai “Varyag”.
Kehadiran “Liaoning” juga menandakan ketibaan China sebagai kuasa maritim yang baru di Indo-Pasifik bagi mencabar Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya. — DSA
Comments are closed.