Usaha Alih Kapal Kontena “Ever Given” di Terusan Suez Bakal Makan Masa “Berminggu-Minggu”
Kira-kira 12 peratus perdagangan dunia bernilai US$1 trillion atau 18,000 kapal dagang yang berulang-alik Eropah-Asia menggunakan terusan ini setiap tahun dan kegagalan menggunakan terusan ini adalah “mimpi ngeri” kepada semua pedagang.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Usaha-usaha mengalihkan kapal kontena “Ever Given” milik syarikat Jepun, Shoei Kisen KK tetapi dioperasikan oleh syarikat Taiwan, Evergreen Marine daripada kedudukannya di Terusan Suez (Suez Canal) bakal memakan masa “berminggu-minggu”.
Ia adalah satu berita buruk kepada perdagangan dunia yang amat bergantung kepada terusan itu kerana ia bermakna barang-barangan tidak dapat sampai ke destinasi mereka pada masa yang tepat, sekaligus menyebabkan kerugian berbillion dollar kepada banyak pihak.
Kira-kira 12 peratus perdagangan dunia bernilai US$1 trillion atau 18,000 kapal dagang yang berulang-alik Eropah-Asia menggunakan terusan ini setiap tahun dan kegagalan menggunakan terusan ini adalah “mimpi ngeri” kepada semua pedagang.
Setiap hari sahaja, lebih daripada 50 buah kapal dagang melalui terusan ini membawa pelbagai barangan daripada kontena pelbagai barang kepada gas dan minyak bernilai antara US$5 billion hingga US$10 billion ke pelbagai destinasi di Asia dan Eropah.
Baru beberapa hari Terusan Suez ini tidak dapat digunakan, harga minyak dunia (Brent Crude) telah melonjak sebanyak empat peratus.
Bayangkan jika terusan ini tidak dapat digunakan dalam tempoh yang lebih lama, berapa banyak lagi harga minyak dunia akan naik dan ianya akan menjejaskan kita semua apabila kita pergi ke stesen-stesen minyak untuk mengisi minyak kenderaan kita.
Terusan Suez ini penting kerana ia menghubungkan Eropah dengan Laut Merah, Laut Arab, Lautan Hindi dan rantau Asia Pasifik. Ia adalah nadi kepada perdagangan Asia-Eropah.
Tanpa terusan ini yang siap dibina pada 1869 selepas kerja-kerja pembinaan selama 10 tahun bermakna kapal-kapal terpaksa menggunakan jalan jauh iaitu mengelilingi Cape of Good Hope di Afrika sebelum menyambung perjalanan mereka ke Asia.
Mereka terpaksa menambah kira-kira 3,500 batu pelayaran melalui perairan yang berbahaya penuh dengan lanun dan ini semua memerlukan tambahan kos serta wang ringgit untuk mengelilingi Afrika sebelum sampai ke Asia.
Dengan Terusan Suez, kapal-kapal dari Eropah hanya memerlukan 9 hari untuk tiba di destinasi mereka di Asia, tetapi dengan laluan diterusan itu kini tersekat, sekurang-kurangnya tiga minggu hingga sebulan siperlukan sebelum kapal-kapal dari Eropah tiba di Asia.
Usaha mengalihkan kapal kontena yang “melintang” di laluan terusan itu berhadapan dengan kesukaran kerana saiznya – panjang kapal “Ever Given” itu adalah 400 meter atau kira-kira empat padang bolasepak atau setinggi bangunan Empire State Building di New York dan beratnya pula adalah kira 220,000 tan.
Kapal “Ever Given” itu membawa 20,000 kontena.
Kedudukannya yang “melintang” itu menghalang kapal-kapal lain daripada melalui terusan itu dan situasi itu memeningkan kepala seluruh dunia kerana seluruh dunia bergantung kepada kelancaran perdagangan untuk survivability.
Mesir yang memperolehi pendapatan kira-kira $5.6 bilion daripada Terusan Suez itu dikatakan telah menghubungi Amerika Syarikat untuk mendapatkan bantuan daripada negara kuasa besar itu.
Pegawai-pegawai kanan Tentera Laut Amerika Syarikat telah pun berada di terusan itu untuk memantau kerja-kerja mengalihkan kapal “Ever Given” yang bahagian belakang dan depannya tersekat di tebing terusan itu.
Kapal tersebut “melintang” di terusan itu akibat angin kuat selaju 40 knot dan ribut pasir yang menyebabkan low visibility.
“Fokus kami pada ketika ini adalah untuk mengalihkan pasir daripada bahagian kiri hadapan (bow) kapal itu,” menurut syarikat “Bernhard Schulte Shipmanagement (BSM)” yang terlibat dalam kerja-kerja untuk mengalihkan kapal Ever Given itu.
Mereka akan menggunakan mesin penyedut pasir khas yang boleh menyedut kira-kira 2,000 meter cubic pasir dan selut setiap jam.
“Sekurang-kurangnya sebanyak 20,000 meter cubic pasir dan selut perlu dialihkan sebelum kapal itu dapat dialihkan,” kata pihak berkuasa terusan itu dalam satu kenyataan yang dipetik oleh media antarabangsa.
Pihak BSM dengan bantuan agensi tempatan juga akan menggunakan pam-pam berkuasa tinggi untuk mengurangan air di keliling kapal terbabit.
Bagaimanapun ini bukanlah kali pertama Terusan Suez itu tidak dapat digunakan oleh kapal-kapal.
Ia pernah ditutup pada 1956-1957 apabila berlakunya perang antara Israel dan negara-negara Arab dan pada 1967 hingga 1975 apabila Israel menduduki Semenanjung Sinai.
Bagaimanapun kesan kepada perdagangan dunia pada ketika tidak berapa buruk berbanding kini berikutan perkembangan yang amat pesat perdagangan di antara Asia-Eropah.
Comments are closed.