UAE “Tendang Keluar” Tentera Itali Daripada Negara Itu
Tindakan keras UAE itu dipercayai berpunca daripada sekatan senjata yang dikenakan oleh Itali terhadap negara Teluk itu pada Januari lepas.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah mengeluarkan arahan supaya tentera Itali dan aset-aset mereka segera meninggalkan pangkalan tentera di negara itu berikutan hubungan diplomatik yang semakin buruk antara kedua-dua negara itu.
Tindakan keras UAE itu dipercayai berpunca daripada sekatan senjata yang dikenakan oleh Itali terhadap negara Teluk itu pada Januari lepas.
Perkara itu disahkan oleh anggota parlimen Itali, Matteo Perrego Di Cremnago yang juga merupakan anggota jawatnkuasa pertahanan di parlimen.
Katanya, Itali diberikan tempoh sehingga 2 Julai untuk meninggalkan Pangkalan Udara Al Minhad di UAE.
Bekas Panglima Tentera Itali Jen Leonardo Tricarico berkata, pesawat terakhir Itali telah meninggalkan pangkalan udara itu pada Khamis lepas.
“Selain itu UAE juga tidak membenarkan Itali menggunakan ruang udara negara itu,” katanya dan menambah, apabila hubungan dengan negara-negara menjadi dingin, adalah amat sukar untuk memulihkannya.
Pangkalan Udara Al Minhad di UAE itu amat penting bagi tentera Itali yang menggunakannya untuk operasi-operasi ketenteraan di Iraq serta bagi menyokong misi tentera negara Eropah itu Afghanistan.
Ia bakal memberi masalah kepada usaha membawa pulang tentera Itali daripada Afghanistan.
Itali juga menggunakan Pangkalan Udara Al Minhad untuk menyokong operasi tentera di negara-negara Afrika serta di Lautan Hindi.
Dibawah kerajaan terdahulu yang dipimpin oleh bekas Perdana Menteri Itali, Giuseppe Conte mengenakan sekatan penjualan senjata terhadap UAE dan Arab Saudi pada Januari lepas atas kebimbangan terhadap apa yang berlaku di Yemen.
Kerajaan Conte itu bagaimanapun diganti oleh bekas gabenor ECB (European Central Bank) Mario Draghi.
Comments are closed.