Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Turki Mulakan Pembinaan “Kanal Istanbul”, Menelan Belanja US$15 Bilion (RM61.5 Bilion)

Projek yang akan mengambil masa selama enam tahun untuk siap melibatkan pembinaan terusan sepanjang 45km melalui Istanbul bertujuan meringankan beban yang kini ditanggung oleh Selat Bosphorus dalam menghubung kedua-dua laut.

0 3,028

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Turki secara rasmi memulakan projek pembinaan “Kanal Istanbul” yang dianggarkan bernilai US$15 bilion (RM61.5 bilion) yang akan menghubungkan Laut Marmara (Sea of Marmara) dengan Laut Hitam.

Projek yang akan mengambil masa selama enam tahun untuk siap melibatkan pembinaan terusan sepanjang 45km melalui Istanbul bertujuan meringankan beban yang kini ditanggung oleh Selat Bosphorus dalam menghubung kedua-dua laut.

“Projek Kanal Istanbul adalah projek yang akan menyelamatkan masa depan Istanbul,”kata Presiden Turki Recep Tayep Erdogan dan menambah,projek itu akan membuka lembaran baru di dalam sejarah pembangunan Turki.

Pengkritik projek itu mengatakan “Kanal Istanbul” adalah “projek gila.”

Menurut kerajaan Turki,pada ketika kapal-kapal yang melalui Selat Bosphorus untuk ke Laut Hitam atau Laut Marmara dan seterusnya ke Laut Mediterranean berhadapan dengan bahaya disebabkan faktor kesesakan.

Kanal Istanbul
Projek pembinaan “Kanal Istanbul” bernilai US$15 billion.

 

Setiap tahun,kira-kira 43,000 buah kapal melalui selat itu,jauh melebihi had 25,000 buah kapal yang disifatkan sebagai selamat menyebabkan tempoh menunggu untuk berlayar di selat itu yang semakin panjang.

Pada masa depan, bilangan kapal yang akan menggunakan Selat Bosphorus dijangka meningkat ke 78,000 buah kapal setahun.

Terdapat juga laporan bahawa majoriti penduduk Istanbul membantah pembinaan terusan baru itu kerana faktor alam sekitar.

Selain itu ada juga laporan mengatakan pihak bank enggan memberikan pinjaman bagi membiayai projek itu kerana risiko terhadap alam sekitar dan pelaburan.

Manakala bagi faktor geo-politik pula menyaksikan Russia membantah perlaksanaan projek “Kanal Istanbul” kerana bimbang penggunaan terusan itu tidak tertakluk kepada perjanjian Montreux Convention 1936.

Bosphorus
Sebuah kapal perang Russia ketika melalui di Selat Bosphorus dengan berlatarbelakangkan bandaraya Istanbul.

 

Perjanjian Montreux Convention 1936 mengawal selia penggunaan Selat Bosphorus bagi kapal-kapal perang daripada negara-negara bukan littoral Laut Hitam.

Dibawah perjanjian itu, kapal perang daripada negara bukan littoral Laut Hitam hanya boleh berada di laut itu selama 21 hari, selain hanya kapal-kapal perang dengan berat tertentu dibenarkan melalui Selat Bosphorus di bawah Montreux Convention.

Kapal pengangkut pesawat tidak dibenarkan melalui Selat Bosphorus kerana melebihi berat yang dibenarkan di bawah perjanjian itu.

Moscow bimbang kapal perang-kapal perang Amerika Syarikat dan sekutunya bebas keluar masuk ke Laut Hitam menggunakan “Kanal Istanbul” tanpa sebarang sekatan, sekaligus menyebabkan perubahan dalam imbangan kuasa di laut berkenaan.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...