Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

UAE-China Adakan Latihan Udara Di Xinjiang, Bakal Sebabkan Amerika “Marah”

Dinamakan “Falcon Shield 2023”, latihan udara di antara UAE-China itu bakal berlangsung bulan depan di Xinjiang, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan China.

2,297

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam perkembangan yang sudah tentu akan menyebabkan “kemarahan” Amerika Syarikat, Tentera Udara Emiriah Arab Bersatu (UAE) bakal mengadakan latihan udara bersama dengan Tentera Udara China (PLAAF).

Dinamakan “Falcon Shield 2023”, latihan udara itu bakal berlangsung bulan depan di Xinjiang, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan China.

Objektif latihan udara bersama di antara kedua-dua negara itu adalah untuk memperkukuhkan pertukaran dan kerjasama di antara kedua-dua pihak serta meningkatkan persefahaman dan kepercayaan di antara angkatan tentera UAE dan China.

UAE

Bagaimanapun kenyataan oleh Kementerian Pertahanan China itu tidak menyatakan tempoh latihan udara kedua-dua negara itu, pesawat pejuang yang terlibat atau saiz kontinjen UAE mahupun daripada pihak tuan rumah.

Apa yang nyata adalah latihan udara pada bulan depan itu membuktikan hubungan diplomatik dan ketenteraan yang semakin akrab di UAE dan China sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ia juga memperlihatkan hubungan yang semakin renggang di antara UAE dan Amerika Syarikat.

Awal tahun ini,  syarikat China National Aero-Technology Import & Export Corporation (CATIC) mengumumkan bahawa ia telah menandatangani kontrak dengan UAE bagi penjualan 12 buah pesawat pejuang ringan L-15 “Hongdu”.

Kontrak yang ditandatangani ketika International Defense Exhibition and Conference (IDEX 23) di Abu Dhabi juga memperuntukan opsyen supaya UAE memperolehi 36 buah pesawat L-15 tambahan pada masa akan datang.

China
Pesawat-pesawat J-16 Shenyang Tentera Udara China.

 

Penganalisis pertahanan serantau melihat impak perolehan pesawat pejuang ringan L-15 itu amat besar kerana ia merupakan kali pertama dimana UAE yang merupakan sekutu rapat Amerika Syarikat di rantau Teluk membeli peralatan ketenteraan daripada China.

Pesawat pejuang ringan dan latihan L-15 itu disifatkan oleh pemerhati sebagai antara terbaik didalam kelasnya.

Mula diperkenalkan pada 2006, varian terkini pesawat itu, L-15B mempunyai kemampuan untuk membawa sehingga 4 tan peluru berpandu dan bom, dengan kokpit bagi juruterbang pelatih ditukar kepada Weapon System Officer (WSO).

Pesawat ini dikenali sebagai L-15 di pasaran eksport tetapi di China ia dikenali sebagai JL-10. 

Perolehan pesawat L-15 buatan China itu dianggap sebagai bersejarah kerana ia memecahkan tradisi pasaran senjata UAE yang selama di dominasi oleh syarikat-syarikat Amerika Syarikat dan negara Barat yang lain.

L-15
Pesawat L-15 buatan China yang diperolehi oleh UAE.

 

Pembelian pesawat L-15 boleh membuatkan hubungan di antara UAE dan Amerika Syarikat menjadi semakin dingin, lebih-lebih lagi berikutan sikap Washington yang bertindak melengah-lengahkan penjualan pesawat generasi kelima F-35 kepada negara negara Teluk yang kaya-raya itu.

UAE mahu memperolehi sejumlah pesawat canggih F-35 bagi membolehkannya lebih berkemampuan untuk menangani ancaman daripada Iran.

Pentadbiran Presiden Jo Biden bertindak melengah-lengahkan penjualan F-35 kepada UAE berikutan tindakan negara Teluk itu menjalin hubungan komersial yang erat dengan syarikat penyedia infrastruktur telekomunikasi China, Huawei berkenaan teknologi 5G.

Washington bimbang China akan menggunakan teknologi 5G oleh Huawei itu untuk mengintip “rahsia” pesawat F-35, selain tidak senang dengan pembabitan kerajaan UAE dalam kempen ketenteraan di Yemen.

Rafale
Pesawat Rafale Tentera Udara Perancis

 

Selepas Amerika Syarikat melengahkan penjualan F-35 kepada UAE, negara Teluk itu mengambil keputusan membeli 80 buah pesawat Rafale daripada Perancis.

Selain membeli pesawat pejuang Rafale dan L-15, Tentera Udara UAE juga memiliki pesawat-pesawat pejuang F-16 dan Mirage 2000.

Tidak pasti pesawat pejuang apakah yang akan digunakan oleh Tentera Udara Emiriah Arab Bersatu ketika ia bertandang ke China. — DSA

donlod

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: [email protected]

 

 

Comments are closed.