Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Indonesia Peroleh 12 Buah “Anka”, Enam Daripadanya Dibuat Dalam Negeri

Sebagaimana dilaporkan oleh versi online akhbar Turkiye, Daily Sabah, pembelian 12 buah dron “Anka” oleh Jakarta yang dipercayai dibiayai menerusi pinjaman luar negara itu dianggarkan bernilai sekitar US$300 juta (RM1.35 bilion).

0 1,893

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Indonesia mengumumkan bahawa ia telah menandatangani perjanjian untuk memperolehi sebanyak 12 buah pesawat tanpa pemandu “Anka” yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI).

Sebagaimana dilaporkan oleh versi online akhbar Turkiye, Daily Sabah, pembelian 12 buah dron “Anka” oleh Jakarta yang dipercayai dibiayai menerusi pinjaman luar negara itu dianggarkan bernilai sekitar US$300 juta (RM1.35 bilion).

Pembelian dron “Anka” oleh Indonesia itu merupakan langkah oleh negara itu untuk memodenkan lagi angkatan tenteranya dengan sistem-sistem persenjataan moden bagi menangani cabaran dan ancaman yang dihadapi oleh negara archipelago Asia Tenggara itu.

Anka

Sebelum ini, Indonesia telah melakukan beberapa pembelian besar seperti perolehan 42 buah pesawat pejuang Rafale daripada Perancis, pesawat pengangkut C-130J, 12 buah pesawat pejuang terpakai Mirage 2000-5 daripada Qatar, kapal-kapal perang dan lain-lain.

Perolehan-perolehan ini berlaku ketika peningkatan ketegangan antaranya dengan China akibat tindak-tanduk kapal-kapal pengawal pantai negara kuasa besar Asia itu di Laut China Selatan berhampiran Pulau Natuna milik Indonesia.

Perairan sekitar Pulau Natuna itu kaya dengan sumber minyak dan gas.

Menurut akhbar Turkiye itu, enam daripada 12 buah dron “Anka” yang diperolehi oleh Indonesia itu akan dibuat dalam negara Asia Tenggara itu menerusi pemindahan teknologi manakala selebihnya diperolehi siap daripada kemudahan TAI di Turkiye.

Buat masa ini, tidak ada maklumat mengenai varian dron “Anka” yang akan diperolehi oleh Indonesia.

Natuna
Pulau Natuna

 

Pada Mei lepas ketika pameran LIMA 2023 di Langkawi, Malaysia menandatangani perjanjian dengan TAI untuk memperolehi tiga buah dron “Anka” yang bakal digunakan untuk mengawasi perairan Zon Ekonomi Eksklusifnya (ZEE) yang kaya dengan sumber minyak dan gas di Laut China Selatan.

Malaysia akan memperolehi varian Anka-S yang turut digunakan oleh Tentera Laut dan Tentera Udara Turkiye.

Varian Anka-S diperolehi oleh Malaysia akan dilengkapi dengan radar maritim berkeupayaan tinggi, lebih berkeupayaan daripada yang digunakan oleh Tentera Udara Turkiye.

“Ia adalah radar maritim jarak jauh, dengan jarak pengesanannya ratusan batu nautika. Ia mampu mengesan pelbagai jenis ancaman, pelbagai jenis kapal, kapal friget apa. Ia juga akan dilengkapi dengan kamera Electro-Optic / Infra Red (EO / IR),” menurut seorang pegawai TAI kepada Defence Security Asia ketika ditemui pada LIMA 2023 lepas.

Anka-S yang akan diperolehi Malaysia itu akan ditempatkan di Pangkalan TUDM di Labuan bagi menjadi “mata dan telinga” negara untuk mengawasi Laut China Selatan.

Anka
Malaysia menandatangani perjanjian pembelian tiga buah dron Anka pada LIMA 2023 Mei lepas.

 

Selain itu dron Anka-S yang akan diperolehi oleh Malaysia itu juga akan dilengkapi dengan Traffic Collision Avoidance System (TCAS) yang digunakan oleh sistem pengurusan trafik udara dan merupakan suatu kemampuan baru.

Dron Anka-S dengan sistem TCAS adalah kemampuan yang baru dan tidak ada pengguna lain menggunakan sistem itu kecuali Malaysia, kata pegawai TAI itu.

“Ia (TCAS) adalah suatu kelebihan bagi membolehkan pengguna menerbangkan dron Anka-S untuk sejauh 1,000km dan bergantung kepada konfigurasinya, Anka-S boleh berada di udara selama 30 jam menjalankan pelbagai misi dan operasi,” kata beliau.

Pegawai TAI itu juga berkata, memandangkan Malaysia adalah sebuah negara yang besar dengan sempadan maritim yang amat luas, maka ia memerlukan lebih banyak sistem pesawat tanpa pemandu untuk memantau suasana maritim.

“Mudah-mudahan kami akan memperolehi kontrak baru daripada Malaysia untuk meningkatkan perolehan Anka atau Aksungur,” kata beliau.

“Aksungur” yang juga dibangunkan oleh TUSAS dikatakan mampu terbang di antara 49 hingga 55 jam tanpa henti, yang dianggap sebagai suatu kejayaan kepada industri pertahanan Turkiye. — DSA

Anka
“Anka-S”

donlod

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

 

Comments
Loading...