Dihalang Miliki F-35 Dan Typhoon, Arab Saudi Sertai Program Pesawat Gen-6 “Tempest”
Peluang Riyadh untuk memiliki pesawat pejuang yang lebih canggih daripada F-35 dan Eurofighter Typhoon kini terbuka menerusi program pembangunan pesawat pejuang generasi keenam dinamakan Global Combat Air Programme (GCAP) atau “Tempest”.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Arab Saudi bukan sahaja tidak dibenarkan memperolehi pesawat pejuang generasi kelima F-35, malah usahanya sejak 2018 untuk menambah pemilikan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon juga mendapat halangan terutamanya daripada ahli-ahli politik Jerman.
Kerajaan Jerman mengenakan sekatan senjata terhadap Arab Saudi berikutan pembabitan negara itu dalam konflik di Yemen serta dakwaan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi.
Pesawat Eurofighter Typhoon itu dibangunkan oleh United Kingdom, Itali, Jerman dan Sepanyol. Tanpa kebenaran daripada Berlin, pesawat pejuang tidak akan dijual kepada Arab Saudi.
Arab Saudi juga berminat untuk mendapatkan pesawat pejuang generasi kelima F-35 memandangkan ia adalah sekutu utama Washington di Timur Tengah, tetapi hasratnya terbantut selepas Israel membantah sebarang penjualan F-35 kepada mana-mana negara Arab.
Kini peluang Arab Saudi untuk memperolehi pesawat pejuang yang berpotensi lebih canggih daripada F-35 terbuka.
Peluang Riyadh untuk memiliki pesawat pejuang yang lebih canggih daripada F-35 dan Eurofighter Typhoon kini terbuka menerusi program pembangunan pesawat pejuang generasi keenam dinamakan Global Combat Air Programme (GCAP) atau “Tempest”.
Program GCAP atau “Tempest” itu yang diusahakan oleh United Kingdom, Italy dan Jepun.
Menerusi program “Tempest” itu, ketiga-tiga negara itu mahu membangunkan pesawat pejuang yang lebih moden dan canggih berbanding F-35 dan Eurofighter Typhoon.
Pesawat prototaip pertama “Tempest” dijangka didedahkan kepada awam pada tahun 2035.
Menurut laporan media, penyertaan Arab Saudi dalam program itu yang sedang dipertimbangkan oleh ketiga-tiga negara terbabit,tetapi jika ia menjadikan kenyataan, ia bakal menyaksikan suntikan kewangan yang besar daripada negara yang sememangnya sentiasa berbelanja besar untuk pertahanan.
Penyertaan Arab Saudi di dalam program “Tempest” itu sememangnya amat dialu-alukan terutamanya oleh negara-negara peserta seperti United Kingdom dan Itali kerana program itu dijangka menelan belanja peruntukan berbilion-bilion dollar Amerika sepanjang tempoh pembangunannya.
Arab Saudi dan United Kingdom mempunyai kerjasama strategik dalam bidang pertahanan, dengan kedua-dua negara bersungguh-sungguh mahu bekerjasama dan mencapai kemajuan di dalam industri pertahanan.
Kedua-dua negara menandatangani perjanjian kerjasama pertahanan pada tahun lepas, yang akan menyaksikan Riyadh meningkatkan kandungan bahan tempatan dalam produk-produk pertahanan yang digunakan oleh angkatan tenteranya.
Namun, Jepun tidak bersetuju dengan cadangan penyertaan Arab Saudi di dalam program “Tempest” itu dan mendakwa pembabitkan negara Timur Tengah itu bakal melengahkan lagi program itu.
Buat masa ini, tidak dapat dipastikan sama ada bantahan Jepun itu akan menjejaskan cadangan penyertaan Arab Saudi dalam program “Tempest” itu.
Riyadh sebelum ini, mahu menambah sebanyak 48 buah lagi pesawat pejuang Eurofighter Typhoon, bagi menjadikan jumlah keseluruhan pesawat pejuang itu dimiliki oleh tentera udaranya kepada 96 buah.
Selain pesawat-pesawat pejuang Eurofighter Typhoon, Arab Saudi juga memiliki pesawat pejuang Panavia Tornado dan F-15. — DSA
DOWNLOAD APPS DEFENCE SECURITY ASIA
Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: [email protected]
Comments are closed.