Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Pertelingkahan” Di Jerman Halang Penjualan 48 Eurofighter Typhoon Pada Arab Saudi

Cadangan penjualan 48 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon kepada Riyadh berhadapan masalah pada 2018 selepas kerajaan Jerman menggantung penjualan sebarang senjata kepada Arab Saudi berikutan kejadian penculikan dan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi. Kesatuan Eropah (EU) turut melarang sebarang penjualan senjata kepada pihak-pihak yang terlibat dalam konflik di Yemen.

0 8,024

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas lima tahun tertangguh, penjualan 48 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon kepada Arab Saudi kini nampaknya bakal “dihidupkan” kembali selepas Britain bersetuju untuk meneruskan penjualan itu.

Pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu dibangunkan dan dibina oleh beberapa negara Eropah, terdiri daripada United Kingdom, Jerman, Sepanyol dan Itali.

Cadangan penjualan 48 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon kepada Riyadh berhadapan masalah pada 2018 selepas kerajaan Jerman menggantung penjualan sebarang senjata kepada Arab Saudi berikutan kejadian penculikan dan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi.

Typhoon
Pesawat Eurofighter Typhoon Tentera Udara Arab Saudi.

 

Kesatuan Eropah turut melarang sebarang penjualan senjata kepada pihak-pihak yang terlibat dalam konflik di Yemen.

Urusniaga penjualan pesawat Eurofigher Typhoon kepada Arab Saudi itu berhadapan lebih banyak masalah apabila mahkamah British pada 2019 mengharamkan sebarang eksport senjata kepada negara Arab itu kerana tindakan tenteranya mengebom Yemen.

Kini Britain mahu meneruskan penjualan 48 buah pesawat Eurofighter Typhoon itu, tetapi berhadapan masalah akibat percakaran di antara parti-parti politik yang membentuk kerajaan di Berlin.

Britain memberi tekanan terhadap Jerman supaya bersetuju meneruskan penjualan itu.

London menyatakan Jerman tidak lagi mempunyai alasan untuk menghalang penjualan pesawat pejuang Eurofighter itu selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun lepas memeterai perjanjian gencatan senjata antara Arab Saudi dan Yemen.

Hubungan yang lebih baik antara Riyadh dengan Teheran juga menyebabkan Britain mahu menghidupkan semula penjualan Eurofighter Typhoon kepada Arab Saudi.

typhoon

Kerajaan Jerman dikatakan mahu meneruskan penjualan pesawat pejuang itu tetapi beberapa parti politik yang membentuk kerajaan campuran di Berlin iaitu Parti Hijau dan sebahagian daripada parti SPD membantahnya.

Canselor Jerman Olaf Scholz dan Menteri Kewangannya Christian Lindner diberitakan mahu meneruskan penjualan pesawat pejuang itu yang telah tertangguh selama lima tahun itu.

“Kerajaan Pusat (Jerman) tidak boleh bersetuju terhadap penjualan itu (pesawat Eurofighter Typhoon) itu dalam apa cara sekalipun,” jurucakap dasar pertahanan negara itu dan anggota parti Hijau Sara Nanni.

Pihak-pihak yang mahu penjualan 48 buah pesawat Eurofighter Typhoon itu diteruskan selepas tertangguh selama lima tahun berkata Jerman tidak boleh menghalang penjualan itu kerana ia memerlukan negara-negara lain juga dalam beberapa sistem pertahanan termasuk pembangunan pesawat Future Combat Air System (FCAS).

Lima tahun lepas, Arab Saudi dan United Kingdom menandatangani Memorandum Niat (Memorandum of Intent) mengenai hasrat negara Arab itu untuk membeli 48 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon, bagi menambah pesawat pejuang itu yang sudah pun berada di dalam pegangannya.

Namun sehingga ini, negara Arab itu masih tertunggu-tunggu sama ada hasratnya untuk memperolehi pesawat pejuang itu akan dapat direalisasikan atau tidak.

Typhoon
Pesawat Eurofighter Typhoon Jerman

 

Perolehan itu sekiranya berjaya dilaksanakan, akan menjadikan keseluruhan jumlah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon Arab Saudi kepada 120 buah, memandangkan Riyadh telah pun memiliki 48 buah pesawat pejuang generasi itu.

Bagaimanapun, krisis tenaga yang sedang melanda benua Eropah ini telah memberikan “cahaya” kepada Arab Saudi untuk merealisasikan penjualan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon yang telah tertangguh sejak beberapa tahun ini. 

Dalam lawatannya ke Timur Tengah tahun lepas, Canselor Jerman itu berkata kerajaan Jerman telah menarik balik larangan eksport komponen ketenteraan yang dikenakan kepada Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). 

Dengan penarikan balik larangan eksport komponen ketenteraan Jerman itu, Arab Saudi dibenarkan kembali untuk membeli peralatan dan senjata yang diperlukan oleh pesawat-pesawat pejuang Eurofighter Typhoon dan Panavia Tornado yang digunakan oleh tentera udara negara Arab itu.

Arab Saudi juga diberikan kebenaran membeli alat ganti bagi pesawat pengisi minyak Airbus A330 MRTT yang dibuat oleh syarikat Jerman. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...