Turkiye Hantar Beberapa Buah Dron Akinci Ke Somalia, Tidak Peduli Kegusaran Amerika Syarikat
Hubungan di antara Amerika Syarikat dan Turkiye agak tegang akhir-akhirnya, disebabkan hubungan erat antara Ankara dan Mogadishu terutamanya mengenai kerjasama antara kedua-dua negara itu dalam bidang ketenteraan, tenaga dan aeroangkasa.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Walaupun Amerika Syarikat tidak senang dengan hubungan erat Turkiye dengan Somalia, namun Ankara tetap berkeras dengan menghantar beberapa buah buah dron kombat (UCAV) Akinci kepada Mogadishu, bagi meningkatkan lagi kemampuan ketenteraan Somalia yang sudah pun menggunakan dron Bayraktar TB2 ketika ini.
Hubungan di antara Amerika Syarikat dan Turkiye agak tegang akhir-akhirnya, disebabkan hubungan erat antara Ankara dan Mogadishu terutamanya mengenai kerjasama antara kedua-dua negara itu dalam bidang ketenteraan, tenaga dan aeroangkasa.
Menteri Pelabuhan dan Pengangkut Marin Somalia yang baru dilantik Abdulkadir Mohammed Nur mengumumkan menerusi akaun FB miliknya bahawa negara itu baru sahaja menerima beberapa buah dron kombat Akinci yang dihantar ke Somalia menggunakan pesawat pengangkut A400M milik Turkiye.
Sebelum ini Abdulkadir yang menerima pendidikan tingginya di Universiti Ankara dan fasih berbahasa Turki merupakan Menteri Pertahanan Somalia sebelum ini.
“Saudara sejati dikenali pada saat kesusahan. Turkiye sekali lagi tampil menghulurkan bantuan luar biasa kepada rakyat Somalia, yang sedang berjuang menentang penceroboh asing,” tulis Nur dalam FB miliknya itu.
Perolehan dron kombat Akıncı bertujuan untuk memperkukuh lagi armada dron Somalia.
Sebelum ini, penggunaan Bayraktar TB2 dalam angkatan bersenjata Somalia telah memberikan kelebihan ketara dalam operasi anti-keganasan terhadap kumpulan pengganas al-Shabab, khususnya melalui keupayaan peninjauan, pemantauan dan serangan bersenjata (ISR) yang berkesan.

Penambahan dron kombat Akıncı dijangka membolehkan Somalia melaksanakan operasi berskala lebih besar, mengambil kira keupayaan Akıncı yang mampu membawa pelbagai jenis persenjataan yang lebih berat dan berkuasa.
UCAV (Unmanned Combat Aerial Vehicle) High-Altitude Long Endurance (HALE) “Akinci” telah dibangunkan oleh syarikat pembuat dron terkenal Turkiye, Baykar Technology yang juga bertanggungjawab membangunkan dron-dron lain seperti Bayraktar TB2 dan Kizilelma.
Pesawat tanpa pemandu Bayraktar Akinci yang melakukan penerbangan sulungnya pada 2019 itu boleh melaksanakan misi-misi udara-ke-udara dan udara-ke-darat.
Dengan berat ketika berlepas pada 5,500kg, Bayraktar Akinci ini boleh terbang setinggi 40,000 kaki dengan endurance operasi lebih daripada 20 jam.
Dron Bayraktar Akinci ini juga dilengkap dengan pelbagai sistem penderia dan elektronik termasuk electro-optic/infrared/laser designation (EO/IR/LD) sensor, multi-mode active radar Electronically Scanned Array (AESA) dan sistem Signal Intelligence (SIGINT).
Dengan segala peralatan ini, ia boleh melaksanakan misi-misi Intelligence, Surveillance dan Reconnaisance (ISR).

Bayraktar Akinci UCAV mampu membawa pelbagai jenis persenjataan, termasuk peluru berpandu Cirit, MAM-L (thermobaric), MAM-C (letupan tinggi), MAM-T, serta Teber-82. Selain itu, ia juga dilengkapi dengan munisi pintar mini Bozok, sistem peluru berpandu anti-kereta kebal jarak jauh L-UMTAS, serta bom berpandu seperti MK-81, MK-82, dan MK-83, menjadikannya aset serangan udara yang sangat berkeupayaan tinggi.
Kerajaan Somalia berhasrat menggunakan dron kombat Akinci buatan Turkiye itu untuk menghadapi serangan yang semakin meningkat oleh kumpulan pengganas al-Shabab terhadap pasukan keselamatan dan infrastruktur negara itu.
Penggunaan dron kombat Akinci membolehkan tentera Somalia melaksanakan serangan tepat ke atas sasaran serta pemantauan pergerakan kumpulan pengganas itu, sekali gus melemahkan keupayaan kumpulan tersebut.
Penghantaran dron kombat Akinci itu dibuat hanya beberapa hari selepas Presiden Somalia, Hassan Sheikh Mohamud, menggugurkan Abdulkadir Mohamed Nur daripada jawatan Menteri Pertahanan pada, susulan apa yang didakwa adalah tekanan hebat ketenteraan oleh Amerika Syarikat.
Selepas digugurkan daripada portfolio Menteri Pertahanan, Nur telah “dipindahkan” ke portfolio sebagai Menteri Pelabuhan dan Pengangkutan Marin Somalia yang baru.
Usaha Nur dalam memperkukuh kerjasama ketenteraan, tenaga, dan aeroangkasa Somalia dengan Turkiye dilaporkan menimbulkan kebimbangan di Washington.
Di bawah kepimpinan Nur, Somalia dan Turkiye menandatangani perjanjian komprehensif dalam bidang maritim, perdagangan, dan pertahanan pada Februari 2023.
