Turki Yakin 18 Pesawat FLIT/LCA, “Hurjet” Bakal Dieksport Ke Malaysia
Pengurus Besar Turkish Aerospace Industries (TAI) Dr Temel Kotil berkata pesawat “Hurjet” itu semakin hampir untuk dieksport ke Malaysia.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat Turkish Aerospace Industries (TAI) atau “Tusas” melahirkan keyakinannya bahawa Malaysia bakal menjadi pasaran eskport pertama bagi pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) yang dibangunkannya sendiri dikenali dengan nama “Hurjet.”
Pengurus Besar TAI Dr Temel Kotil berkata pesawat “Hurjet” itu semakin hampir untuk dieksport ke Malaysia.
“TAI mempunyai peluang yang baik di dalam persaingan tender Malaysia. Kita (TAI) berharap akan dapat menjual sejumlah 18 buah pesawat ‘Hurjet’ kepada Malaysia,” katanya ketika ditanya oleh wartawan CNN Turk baru-baru ini.
Kenyataan Kotil itu turut dilaporkan oleh beberapa portal media Turki.
Menurut pengurus besar TAI itu lagi, pesawat pertama “Hurjet” dijangka melakukan pelbagai ujian di darat dan seterusnya penerbangan pertama pada tahun depan.
Pesawat “Hurjet” yang dibangunkan oleh TAI akan melakukan lebih banyak penerbangan pada tahun 2023 sebelum sejumlah pesawat FLIT/LCA itu diserahkan kepada Tentera Udara Turki pada tahun 2025.
Usaha-usaha untuk membangunkan pesawat bersenjata “Hurjet” dikenali dengan nama “Hurjet-C”juga sedang dilaksanakan, dengan penerbangan pertamanya dijangkakan pada tahun 2027.
Tahun lepas, Kotil dilaporkan berkata oleh agensi berita Turki, Anadolu, bahawa TAI telah mempelawa Malaysia untuk terlibat sama dalam pembangunan pesawat FLIT/LCA “Hurjet”itu, dengan Kuala Lumpur membina beberapa komponen pesawat latihan itu.
“Kita (TAI) perlu mencari rakan kerjasama antarabangsa. Ia adalah projek (pembangunan Hurjet) yang besar dan ia bukan sekadar untuk Turki. Pelawaaan itu menarik minat Malaysia dan kita menjangkakan reaksi yang positif daripada Malaysia,” kata beliau.
Malaysia, Indonesia, Bangladesh, Pakistan dan Kazakhstan adalah penting kepada TAI.
Menurut Kotil, Turki dan Malaysia telah memeterai perjanjian kerjasama dalam pengeluaran komposit.
Malaysia mempunyai kemudahan pengeluaran komposit yang baik namun tidak dalam bidang penerbangan, ujarnya.
Turki memulakan projek pembangunan pesawat FLIT/LCA “Hurjet” ini pada tahun 2017 dan pada tahun 2018 TAI menandatangani perjanjian dengan Tentera Udara Turki.
Hurjet ini akan menggantikan pesawat latihan lanjutan T-38 Tentera Udara Turki
Pesawat terbabit yang sedang di dalam peringkat pembangunan itu masih tidak mempunyai pilihan enjinnya, walaupun terdapat laporan mengatakan “Hurjet” itu akan menggunakan enjin Eurojet EJ200 atau GE F404 oleh General Electric memberikan ia kelajuan Mach 1.4.
Antara kelengkapan pesawat itu itu adalah “fly by wire,” pengisian minyak di udara, head-up display serta integrated helmet mounted display system.
Diantara pesawat-pesawat pejuang lain yang memasuki tender Kementerian Pertahanan untuk 18 buah pesawat FLIT/LCA TUDM, termasuklah Korea Aerospace Industries (KAI) FA-50, JF-17 daripada Pakistan Aeronautical Complex/Chengdu Aircraft Industry Group, Hongdu L-15B, HAL Tejas, Yakovlev Yak-130, Leonardo M346, Saab Gripen dan Boeing T-7 Red Hawk.
Comments are closed.