Turki Letak Syarat, Mahu Amerika “Pulangkan” 100 Buah Pesawat F-35
Turki sebagai salah satu negara anggota NATO telah meletakkan syarat sebelum Sweden dan Finland dibenarkan menjadi anggota pertubuhan itu. Apakah syarat yang diletakkan Turki itu?

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Bimbang dengan ancaman Russia telah membuatkan negara-negara Scandinavia iaitu Sweden dan Finland meninggalkan pendirian berkecualinya dan memohon untuk menjadi anggota North Atlantic Treaty Organisation (NATO).
Walaupun anggota-anggota NATO yang lain nampaknya bersetuju dengan kemasukan Sweden dan Finland ke dalam NATO, tetapi Turki telah meletakkan syarat sebelum bersetuju untuk menerima kedua-dua negara itu.
Tanpa persetujuan daripada Ankara, kedua-dua negara Scandinavia itu tidak akan menjadi anggota NATO kerana semua negara anggota perlu bersetuju sebelum sesebuah negara itu menganggotai pertubuhan itu.
Pada ketika ini, NATO memiliki 30 negara anggota.
Syarat utama yang diletakkan Turki adalah ia mahu dimasukkan semula ke dalam program F-35 Lightning II, sekaligus membolehkan ia memperolehi kembali 100 buah pesawat pejuang generasi kelima itu sebagaimana dipersetujui sebelum ini.
Sebagai rakan program pesawat F-35, Turki sepatutnya memperolehi 100 buah pesawat pejuang.
Bagaimanapun tindakannya berkeras untuk memperolehi sistem pertahanan udara S-400 daripada Russia telah membangkitkan kemarahan Amerika Syarikat yang bertindak mengeluarkan Turki daripada program pembangunan pesawat F-35 itu.
Washington bimbang Russia akan menggunakan sistem pertahanan udara S-400 yang dibekalkannya kepada Turki dan diintergrasikan dengan sistem pertahanan udara NATO untuk mengintip maklumat-maklumat sensitif tentang keupayaan pesawat F-35.
Turki bukan sekadar dikeluarkan daripada program pembangunan pesawat F-35 tetapi negara anggota NATO itu juga berhadapan kesukaran untuk memperolehi kit-kit pembangunan untuk pesawat-pesawat F-16 miliknya daripada Amerika Syarikat.
Permohonan keanggotaan NATO oleh Sweden dan Finland telah memberikan “peluang” kepada Turki untuk “tawar-menawar” dengan Amerika Syarikat terutamanya membabitkan pengembalian haknya terhadap pesawat F-35.
Comments are closed.