Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Apa Perkembangan Cadangan Perolehan Hornet Kuwait? Masih Tak Habis Kajian?

Apa perkembangan terkini mengenai cadangan Kementerian Pertahanan yang dinyatakannya di Parlimen tahun lepas untuk memperolehi 33 pesawat pejuang Hornet milik Tentera Udara Kuwait secara "lock, stock and barrel." Diibaratkan "sunyi tanpa ada sebarang khabar berita" atau masih dalam kajian.

1,884

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Nampaknya cadangan perolehan pesawat F/A-18C/D Hornet milik Tentera Udara Kuwait yang bakal ditamatkan perkhidmatannya masih belum terungkai dengan Kementerian Pertahanan masih belum memberikan sebarang kata putus, walaupun pada tahun lepas  di Dewan Rakyat ia memaklumkan mahu mendapatkan 33 buah pesawat Hornet Kuwait itu secara “lock, stock and barrel.”

Itulah yang dapat disimpulkan daripada temuramah Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dengan majalah pertahanan berbahasa Melayu, Perajurit baru-baru ini.

“TUDM telah memajukan perancangan ini ke peringkat Kementerian Pertahanan dan menunggu keputusan.”

Hornet
Tiga buah pesawat F/A-18C/D Tentera Udara kuwait yang cuba dibeli oleh Malaysia.

 

“Pada masa ini, TUDM terus mengoperasikan pesawat FA-18D yang sedia ada sehingga 2035.Penggantian pesawat MRCA hanya akan diimplementasikan pada RMKe-14 bagi penggantian pesawat FA-18D.”

“Penggantian pesawat SU-30MKM hanya akan diimplementasikan pada RMKe-15,” kata beliau di dalam temuramah itu.

Nampaknya, TUDM telah memajukan cadangan berkenaan perolehan pesawat Hornet itu tetapi setakat ini tiada maklum balas daripada Kementerian Pertahanan.

Mengapa Kementerian Pertahanan tidak memberikan maklum balas?

Harap kita tidak terlepas peluang untuk mendapatkan pesawat Legacy Hornet milik Tentera Udara Kuwait itu dan akhirnya peluang itu disambar oleh pihak lain pula, yang telah pun menunjukkan minat sama seperti kita.

Hornet

Baru-baru ini, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein telah bertemu dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Lloyd Austin sempena Shangri-La Dialogue di Singapura, tetapi tidak pasti sama ada isu mengenai perolehan pesawat Hornet Kuwait itu turut disentuh.

Bagaimanapun kita faham bahawa isu pembelian pesawat terpakai F/A-18C/D Hornet milik Tentera Udara Kuwait itu agak kompleks kerana walaupun ia dimiliki oleh negara Timur Tengah itu tetapi keputusan akhir sama ada penjualan itu dapat direalisasikan atau tidak sebenarnya bergantung kepada negara pembuat pesawat pejuang itu iaitu Amerika Syarikat.

Walaupun Kuwait bersetuju terhadap penjualan itu, tetapi jika Amerika Syarikat tidak memberikan lampu hijau maka penjualan itu tidak akan dapat dilakukan.

Dan pada bulan Januari yang lalu, portal pertahanan Amerika Syarikat “Breaking Defense”, mendakwa kerajaan Kuwait sedang berunding dengan Pemerintahan Pasukan Marin Amerika Syarikat (United States Marines Command) mengenai pesawat-pesawat Hornet Tentera Udara Kuwait itu.

Hornet

“Terdapat laporan mengatakan bahawa Pemerintahan Pasukan Marin Amerika Syarikat berminat untuk memperolehi pesawat-pesawat Hornet Tentera Udara Kuwait  dan rundingan sedang berjalan pada ketika ini,” kata penganalisis pertahanan berpengkalan di Kuwait, Ali Al-Hashim sebagaimana dipetik media itu.

Menurutnya lagi, Kuwait tidak boleh menjual pesawat-pesawat Hornet miliknya kepada negara lain tanpa mendapat persetujuan terlebih dahulu daripada Tentera Laut Amerika Syarikat.

Pada ketika ini, Tentera Udara Kuwait memiliki 27 pesawat F/A-18C Hornet dan enam F/A-18D.

Tahun lepas ketika di Dewan Rakyat, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata Kementerian Pertahanan merancang mengadakan rundingan dengan Kuwait untuk memperolehi 33 buah pesawat pejuang Hornet milik negara Timur Tengah secara “lock, stock and barrel.”

“Perolehan yang dirancang adalah berbentuk Lock, Stock and Barrel  (lengkap) sebanyak 33 buah Pesawat F/A-18 C/D Tentera Udara Kuwait,

Hornet

“Kerajaan Kuwait dijangka akan melucut tauliahkan pesawat F/A-18C/D setelah menerima dan mengoperasikan pesawat terbaharu F/A-18E/F (Super Hornet) dari  Amerika Syarikat,” kata Ikmal.

Menurut beliau, pesawat pejuang F/A-18C/D  yang dioperasikan oleh Tentera Udara Kuwait itu masih dalam keadaan baik dan mempunyai waktu jam operasi yang rendah berbanding F/A-18D yang dioperasikan oleh TUDM.

TUDM merancang untuk membeli pesawat-pesawat F/A-18 C/D Hornet Tentera Udara Kuwait sebagai satu “stop-gap measures” (langkah sementara) sebelum ia membeli pesawat Multi-Role Combat Aircraft (MRCA) yang baru.

Tentera Udara Kuwait memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan pesawat-pesawat F/A-18 C/D miliknya selepas ia memutuskan untuk memperolehi pesawat-pesawat F/A-18 E/F Super Hornet serta Eurofighter Typhoon.

Hornet
Pesawat F/A-18 E/F Super Hornet Tentera Udara Kuwait.

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Untuk menggantikan pesawat F/A-18C/D dan F/A-18D atau dipanggil “legasi Hornet”, Kuwait telah membeli sebanyak 28 buah pesawat Super Hornet yang terdiri daripada 22 buah pesawat satu tempat duduk F/A-18E dan enam buah pesawat F/A-18F Super Hornet yang beroperasi daripada Pangkalan Udara Ahmed al-Jaber.

Selain pesawat-pesawat pejuang Super Hornet, Kuwait turut membeli 28 buah  pesawat Eurofighter Typhoon yang dibangunkan oleh BAE Systems yang dianggarkan bernilai US$8.7 bilion. — DSA

Comments
Loading...