Russia Tawar Naik Taraf Su-30MKM TUDM ke “Super Sukhoi”
-- Varian pesawat pejuang Su-30SM2 atau "Super Sukhoi" dikatakan lebih berkemampuan dan berkeupayaan kerana ia dikatakan dilengkapi dengan radar AESA (Active Electronically Scanned Array) dan enjin "AL-41F1" dengan kuasa tujahan yang lebih berkuasa. Apakah TUDM berminat?
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Russia dilaporkan telah menawarkan pakej menaiktaraf 18 buah pesawat Sukhoi Su-30MKM milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kepada varian Su-30SM2 yang dikatakan lebih berkeupayaan dan lebih “berbisa.”
Menurut portal aeroangkasa ainonline.com baru-baru ini, Malaysia sememangnya diketahui mahu menaiktaraf pesawat pejuang Su-30MKM “heavyweight fighter” miliknya supaya ia lebih berkeupayaan dan dilengkapi dengan teknologi terkini bagi memastikan ia terus berkhidmat sehingga tahun 2040.
Pesawat Su-30MKM negara kini berusia kira-kira 20 tahun.
Malaysia menandatangani kontrak dengan Russia pada 2003 untuk memperolehi 18 buah pesawat Su-30MKM dengan pesawat pertama diserahkan kepada TUDM pada 2007.
Dengan pengenalan varian Sukhoi Su-30SM2 di mana empat buah daripadanya telah pun diserahkan kepada Tentera Udara Russia manakala 21 buah lagi sedang menjalani kerja-kerja menaiktaraf di kilang milik United Aircraft Corp (UAC) di Irkutsk, Moscow berharap ia dapat mempengaruhi Malaysia untuk berbuat benda yang sama.
Jadi apa sebenarnya yang menjadikan varian pesawat pejuang Sukhoi Su-30SM2 lebih berkeupayaan dan lebih berbahaya berbanding varian Sukhoi Su-30 sebagaimana yang dimiliki oleh TUDM?
Menurut portal terbabit, pesawat pejuang Sukhoi Su-30SM2 itu dilengkapi dengan enjin AL-41F1 yang lebih berkuasa berbanding enjin sebelumnya iaitu AL-31FP yang digunakan oleh pesawat Su-30MKM milik TUDM itu.
Selain memberikan kuasa tujahan (thrust) yang 16 peratus lebih berkuasa berbanding kuasa tujahan enjin sebelum ini, enjin AL-41F1 yang digunakan oleh pesawat Su-30SM2 itu datang dengan kemampuan “swivel nozzle” yang membolehkan ia lebih lincah dalam aksi di udara apabila menggunakan thrust vectoring.
Sukhoi mendakwa, dengan kemampuan enjin yang lebih berkuasa adalah lebih mudah bagi pesawat untuk menewaskan musuh dalam aksi di udara dan mengelak peluru-peluru berpandu yang dilancarkan oleh sistem pertahanan udara pihak musuh.
Enjin AL-41F1 yang ditawarkan pelanggan bersetuju untuk menaiktarafkan Su-30 kepada Su-30SM2 adalah enjin yang sama digunakan oleh pesawat generasi kelima Russia, Su-57.
Antara kerja-kerja pengubahsuaian yang perlu dilakukan terhadap pesawat-pesawat Su-30 bagi membolehkannya dinaiktaraf ke varian Su-30SM2 adalah membesarkan ruangan “air intake” kerana pesawat memerlukan penambahan 20 peratus airflow bagi menampung penambahan kuasa tujahan enjin barunya itu.
Selain “nosecone” pesawat Su-30 juga perlu dibesarkan untuk menampung radar yang lebih besar dan lebih berkeupayaan yang digunakan oleh varian Su-30SM2 berbanding radar “Bars N011M” yang digunakan oleh pesawat Su-30.
Ok,radar apa yang ditawarkan kepada pelanggan-pelanggan sedia ada yang menggunakan pesawat Su-30 termasuk Malaysia.
Laporan mengatakan Russia menawarkan radar AESA (Active Electronically Scanned Array) yang mampu mengesan lebih banyak sasaran pada jarak yang jauh serta highly-resistant kepada countermeasures kepada pelanggan-pelanggan yang berminat untuk menaiktaraf pesawat Su-30 kepada varian Su-30SM2.
Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store:
Radar AESA itu adalah radar yang sama digunakan oleh pesawat Su-57 Russia,membolehkannya melancarkan lebih banyak senjata dan peluru berpandu pada jarak yang lebih jauh.
Sebagaimana yang diperkatakan oleh pemerhati pertahanan, varian pesawat Su-30MKM yang digunakan oleh TUDM diiktiraf adalah lebih berkemampuan berbanding pesawat-pesawat Su-30 yang digunakan oleh tentera udara negara lain di Asia Tenggara.
Sekiranya,ia dinaiktaraf kepada varian Su-30SM2 dengan radar AESA dan enjin yang lebih berkemampuan, maka pesawat Su-30MKM TUDM sememangnya mampu menangani apa-apa cabaran dan ancaman dalam tahun-tahun yang mendatang ini. — DSA
Comments are closed.