Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal Selam Pertama Thailand Tidak Memiliki “Enjin”??

Anggota Parlimen Thailand mendakwa kapal selam pertama buatan China yang akan digunakan oleh tentera laut negara itu tidak mempunyai enjin selepas syarikat Jerman enggan membekalkan enjinnya untuk digunakan oleh kapal selam itu.

0 15,724

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Baru-baru ini, seorang anggota parlimen di Thailand mendakwa pembelian kapal selam S26T buatan China oleh tentera laut negara itu diselubungi oleh kontroversi termasuk dakwaan paling serius mengatakan bahawa kapal selam yang dibeli daripada negara Tembok Besar China itu tidak memiliki enjin.

Anggota Parlimen itu, Yutthapong Charasathian mewakili kawasan Maha Sarakham daripada parti Pheu Thai itu mensasarkan pembelian tiga buah kapal selam buatan China oleh Tentera Laut Thailand bernilai berbilion ringgit.

Kapal selam pertama telah pun dibeli dan Thailand dijangka akan mula mengoperasikannya pada tahun depan, manakala pembelian dua buah kapal selam tambahan itu berkemungkinan besar dikaji semula berikutan masalah ekonomi akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara itu.

Portal berita Bangkok Post mengatakan anggota parlimen itu mendakwa bahawa syarikat China yang membina kapal selam itu, China Shipbuilding and Offshore International Co (CSOC) tidak mewakili China menjadikan kontrak yang ditandatangani oleh Thailand itu bukan di antara dua buah negara (government to government deal).

Yutthapong mendakwa CSOC itu merupakan sebuah syarikat swasta.

thailand
Kapal selam S26T buatan China yang bakal diperolehi oleh Thailand.

 

Beliau mendakwa terdapat juga projek pembinaan pangkalan kapal selam menerusi dua fasa, juga melibatkan syarikat daripada China itu yang telah menghantar empat orang pekerjanya ke Thailand untuk meninjau lokasi pembinaan.

Bagaimanapun katanya, apa yang pelik adalah keempat-empat pekerja syarikat China itu hanya memohon permit untuk mengajar Bahasa China.

“Adakah mereka menipu kerajaan dan tentera laut,” kata ahli parlimen itu.

Yutthapong juga mendakwa bahawa kapal selam pertama itu yang akan diperolehi oleh Thailand tahun depan tidak memiliki sebarang enjin diesel elektrik.

Dibawah kontrak yang ditandatangani antara kerajaan Thailand dengan CSOC, kapal selam buatan China itu akan dilengkapi dengan enjin buatan syarikat MTU daripada Jerman tetapi syarikat terbabit enggan menjualnya kepada China sebagaimana di dakwa oleh anggota Parlimen Thailand itu.

Shang
Kapal selam Type 093 kelas-Shang Tentera Laut China.

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Disebabkan keengganan syarikat Jerman itu membekalkan enjin kepada kapal selam buatan China yang akan digunakan oleh Tentera Laut Thailand, maka, syarikat CSOC mungkin akan menggunakan enjin diesel elektrik yang dibina oleh China sendiri.

Yutthapong berkata beliau akan membawa masalah ini kepada Perdana Menteri negara itu, Jeneral Prayut Chan-o-cha bagi memastikan kapal selam yang bakal diperolehi oleh Thailand itu tetapi dilengkapi dengan enjin buatan Jerman dan bukan enjin buatan China.

Beliau bimbang kapal selam pertama Thailand itu bakal berhadapan dengan masalah sehingga mengakibatkan kemalangan jiwa di kalangan krew kapal selam negara itu jika kapal selam itu menggunakan enjin buatan China dan bukan Jerman. — DSA

Comments
Loading...