Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Helikopter AW139 Milik TLDM Sudah Sedia Beroperasi

Ketiga-tiga buah HOM milik TLDM itu akan dibawa balik menggunakan kapal laut daripada Pelabuhan Savona di Itali dan destinasi terakhirnya adalah di Stesen Udara TLDM, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Teluk Sepanggar, Sabah.

0 11,141

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dua daripada tiga buah Helikopter Operasi Maritim (HOM) Leonardo AW139 milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bakal menjalani fasa Pre-Delivery Inspection tidak lama lagi sebelum dihantar pulang ke Malaysia.

TLDM di dalam kenyataan menerusi akaun media sosialnya berkata, mesyuarat Project Management Review (PMR) kontrak perolehan tiga buah helikopter berkenaan telah diadakan hari ini di premis Leonardo Helicopter di Vergiate, Itali.

Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abdul Aziz dan turut dihadiri oleh Panglima TLDM Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany, pegawai kanan TLDM serta wakil daripada Kementerian Kewangan.

“Mesyuarat adalah untuk bagi membincangkan status pembinaan dan kemajuan projek bagi HOM TLDM dari jenis AW139 yang dijangka akan memasuki perkhidmatan TLDM pada suku tahun kedua 2022, “ menurut kenyataan itu.

Delegasi daripada Malaysia itu juga dibawa melihat sendiri proses pemasangan helikopter dengan lebih dekat di final assembly line. 

Leonardo AW139
Kredit TLDM

 

Kedua-dua helikopter TLDM terbabit dijangka akan dihantar pulang ke Malaysia di antara 17 Disember ini hingga 28 Februari 2022 selepas selesai menjalani fasa Pre-Delivery Inspection.

Manakala sebuah lagi helikopter itu akan dihantar pulang ke ini daripada 28 Februari 2022 hingga 31 Mei 2022.

Ketiga-tiga buah HOM milik TLDM itu akan dibawa balik menggunakan kapal laut daripada Pelabuhan Savona di Itali dan destinasi terakhirnya adalah di Stesen Udara TLDM, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Teluk Sepanggar, Sabah.

Kontrak pembelian tiga buah helikopter operasi maritim TLDM itu ditandatangani pada 2 Sept 2020.

Leonardo AW139
Kredit TLDM

 

Selain TLDM, helikopter Leonardo AW139 turut digunakan oleh agensi-agensi kerajaan Malaysia yang lain termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

Beberapa hari lepas, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad juga mengumumkan bahawa TUDM akan menyewa empat buah helikopter Leonardo AW139 bagi jangka pendek sebelum program penggantian helikopter “Nuri” bermula.

“Untuk jangka pendek (program penggantian helikopter Nuri), telah diluluskan oleh kerajaan iaitu penyewaan empat helikopter jenis AW139 selama empat ke lima tahun. Ia akan diperoleh TUDM dalam masa terdekat,” kata Panglima TUDM.

Helikopter bersaiz sederhana itu memiliki berat 6.4 tan dan menggunakan dua enjin Pratt & Whitney PT6C-67C Turboshafts with FADEC.

Dengan dua orang krew, helikopter yang boleh terbang selaju 300km sejam ini mampu membawa 15 orang penumpang dan terbang sejauh 1,061km atau lebih 5 jam.

Leonardo AW139
Kredit TLDM

 

DEFENCE SECURITY ASIA

 

Jom folo Defence Security Asia di Telegram,Facebook dan Twitter untuk perkembangan terkini dunia pertahanan dan keselamatan.

Comments
Loading...