TUDM Mulakan Penilaian Fizikal Terhadap FA-50 Di Korea Selatan
Menurut sumber, kumpulan pegawai penilai TUDM itu tiba di Korea Selatan pada Isnin lepas (17 Okt) dan telah dibawa ke kemudahan KAI untuk memulakan penilaian fizikal mereka terhadap pesawat pejuang ringan itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pasukan penilai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kini berada di Korea Selatan untuk melakukan penilaian fizikal (physical evaluation) terhadap pesawat FA-50 yang dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI).
Menurut sumber, kumpulan pegawai penilai TUDM itu tiba di Korea Selatan pada Isnin lepas (17 Okt) dan telah dibawa ke kemudahan KAI untuk memulakan penilaian fizikal mereka terhadap pesawat pejuang ringan itu.
“Mereka turut meninjau kemampuan pesawat FA-50 itu menerusi sesi penilaian penerbangan,” kata sumber itu dan menambah bahawa pesawat FA-50 itu adalah milik Tentera Udara Korea Selatan (ROKAF).
Pegawai-pegawai TUDM itu mengunjungi pangkalan udara 8th Fighter Wing di Wonju, Gangwo-do.
“Fasa penilaian fizikal (pesawat FA-50) telah selesai dan bermula minggu depan mereka (pasukan penilaian fizikal TUDM) akan melaksanakan penilaian penerbangan di Wonju,” kata sumber itu kepada Defence Security Asia.
Dalam penilaian penerbangan itu, pegawai TUDM akan turut menaiki pesawat FA-50 milik Tentera Udara Korea Selatan.
Fasa penilaian penerbangan itu akan menggunakan pesawat FA-50 Block 10 milik ROKAF memandangkan pesawat FA-50 Block 20 itu masih dibangunkan oleh KAI dengan Poland sebagai pengguna pertamanya.
Jika Malaysia memilih FA-50 Block 20, ia akan menjadi pengguna kedua varian pesawat pejuang ringan itu.

Varian pesawat FA-50 Block 20 yang ditawarkan kepada Malaysia itu akan dilengkapi dengan radar AESA (Active Electronically Scanned Array).
Maklumat terbaru yang diperolehi oleh Defence Security Asia menyatakan bahawa pesawat FA-50 Block 20 yang bakal digunakan oleh Poland dan Malaysia (sekiranya negara memilih pesawat pejuang ringan itu) akan dilengkapkan dengan radar AESA buatan syarikat pertahanan Amerika Syarikat, Raytheon.
Comments are closed.