Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat TUDM “Berentap” Dengan RAAF Dalam Eksesais Elangaroo 2022

Media-media sosial negara ini sejak beberapa hari lalu telah menyiarkan gambar-gambar menunjukkan beberapa buah pesawat pejuang F-35A milik Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) telah pun berada di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth pada ketika ini.

4,233

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Bermula daripada Isnin depan hingga kepada 18 November, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melaksanakan FTX Ekesesais Paradise 9/22 (Paradrop, Air Defence, Deep Strike, Insertion, Combat Search and Rescue and Extraction) dan Eksesais Elangaroo 2022 bersama Tentera Udara Diraja Australia (RAAF).

Menurut kenyataan TUDM menerusi akaun media sosialnya hari ini, kedua-dua eksesais ini akan melibatkan beberapa pangkalan udara di Semenanjung Malaysia.

“Sepanjang eksesais dijalankan, pesawat-pesawat akan melaksanakan penerbangan rendah pada waktu siang dan malam di beberapa kawasan sekitar ruang udara Semenanjung Malaysia iaitu Butterworth, Kuantan dan kawasan sekitarnya yang telah digazetkan untuk lokasi eksesais,” kata kenyataan itu.

TUDM menasihatkan orang ramai supaya tidak cemas dan risau sekiranya melihat pesawat-pesawat TUDM dan RAAF terbang rendah pada sepanjang tempoh operasi.

“Latihan ini diadakan oleh TUDM bagi memastikan keupayaan dan kesiapsiagaan pasukan sentiasa berada di tahap terbaik khususnya dalam melindungi kedaulatan ruang udara negara…”

F-35A
F-35A milik Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) (Gambar Hiasan)

 

Eksesais itu juga bertujuan meningkatkan kompetensi warga TUDM dalam eksesais bersama angkatan udara.

Di dalam kenyataannya itu, TUDM tidak menjelaskan jenis pesawat pejuang miliknya yang bakal “bertempur” dengan pesawat-pesawat pejuang RAAF itu.

RAAF juga tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tentang pesawat-pesawat pejuang miliknya yang bakal terbabit dalam Eksesais Elangaroo 2022 itu.

Bagaimanapun, media-media sosial negara ini sejak beberapa hari lalu telah menyiarkan gambar-gambar menunjukkan beberapa buah pesawat pejuang F-35A milik Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) telah pun berada di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth pada ketika ini.

Kehadiran sekurang-kurangnya di antara  empat hingga enam buah pesawat pejuang generasi kelima milik RAAF itu berada di pangkalan udara itu dipercayai berkait-rapat dengan latihan bersama tahunan, Eksesais Elangaroo 2022 di antara TUDM dan  RAAF.

F-35A
Pesawat F-35A Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) (Gambar Hiasan)

 

Turut sama “terbang” ke pangkalan udara Butterworth adalah pesawat pengangkut C-17 Globemaster milik RAAF.

Nampaknya, pesawat-pesawat pejuang TUDM, sama ada F/A-18D Hornet atau Sukhoi Su-30MKM akan berpeluang menguji kehebatan mereka apabila berhadapan dengan pesawat pejuang generasi kelima.

Sudah tentu,ia adalah pengalaman berguna untuk juruterbang-juruterbang TUDM, sama seperti ketika mereka berdepan dengan pesawat F-22 Raptor ketika Latihan bersama “Cope Taufan” beberapa tahun dahulu.

Pada September lepas, laman web pertahanan antarabangsa “Overt Defense” mengesahkan bahawa RAAF bakal membawa pesawat-pesawat pejuang generasi kelimanya ke Malaysia untuk Eksesais Elangaroo edisi tahun ini.

Apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

“Sebagai respon terhadap pertanyaan oleh Overt Defense, jurucakap Kementerian Pertahanan Australia telah mengesahkan bahawa Komander RAAF Air Vice Marshall, Darren Goldie sememangnya telah menyatakan bahawa RAAF merancang untuk membawa pesawat pejuang generasi kelimanya ke Malaysia untuk Eksesais Elangaroo,” menurut laporan daripada laman web itu.

Kehadiran pesawat pejuang F-35A milik RAAF pada Eksesais Elangaroo itu bakal mengukuhkan kerjasama pertahanan di antara tentera udara kedua-dua negara yang juga adalah anggota Five Power Defence Arrangement (FPDA). — DSA

Jom!!!! follow TwitterTelegramFacebook dan download Apps Defence Security Asia di Google Playstore

Comments are closed.