Terdapat Keperluan Mendesak Untuk TLDM Miliki Multi Role Support Ship (MRSS)
Terdapat keperluan yang mendesak untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memperolehi kapal Multi Role Support Ship (MRSS) memandangkan usia kapal MRSS sedia ada di dalam TLDM telah pun menjangkau hampir 40 tahun.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – – Bekas Panglima Angkatan Bersama Lt Jen Datuk Indera Yazid Arshad pernah menyatakan beberapa bulan lepas bahawa perolehan dua buah kapal Multi Role Support Ship (MRSS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak boleh tergendala lagi, malah perolehan kapal sedemikian perlu disegerakan.
Menurut beliau, terdapat keperluan yang mendesak untuk TLDM memperolehi kapal MRSS memandangkan usia kapal MRSS sedia ada sudah berusia hampir 40 tahun.
Sejak beberapa tahun yang lepas, beberapa syarikat tempatan dan luar negara telah tampil kehadapan untuk menawarkan kapal-kapal MRSS rekabentuk mereka kepada TLDM.
Antara syarikat-syarikat yang menawarkan kapal MRSS mereka adalah Hyundai Heavy Industries (HHI), Mitsui daripada Jepun dan Damen Schelde serta CSOC daripada China.
Bagi memantapkan lagi pengoperasiannya, TLDM memerlukan sekurang-kurangnya empat MRSS dengan dua buah daripada kapal itu beroperasi di Armada Barat (Lumut) manakala dua buah kapal selebihnya beroperasi di Armada Timur (Sabah).
Pada September 2021, bekas Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein dalam jawapan bertulis di Parlimen menyatakan bahawa kerajaan bercadang akan melakukan perolehan dua buah kapal MRSS untuk TLDM bermula pada tahun 2024.
Antara syarikat yang paling awal menawarkan kapal MRSS (Multi Role Support Ship) kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) adalah Damen Schelde menerusi rekabentuk Enforcer 10000.
Sejak daripada LIMA 2107, syarikat daripada Belanda ini telah menawarkan kapal-kapal MRSS kepada TLDM dan sudah pasti syarikat itu akan kembali pada LIMA 2023 yang akan berlangsung pada Mei ini untuk “mengingatkan” sekali lagi kepada TLDM tentang tawaran daripada pihaknya.
Dengan kapal MRSS Enforcer 10000 memiliki panjang 157 meter, radius operasinya pula sehingga 10,000 batu nautika menjadikan sesuai untuk mengalas fungsi strategic sealift untuk TLDM.
Full displacement kapal MRSS Enforcer 10000 adalah kira-kira 11,700 tan dan ia juga mampu berlayar selaju 18 knot.
Dengan 150 krew kapal, tempoh operasinya di laut adalah di antara 15 hingga 30 hari.
Rekabentuk Enforcer 10000 sebagaimana yang dicadangkan oleh syarikat Damen Schelde daripada Belanda juga berkemampuan membawa di antara 400 hingga 700 anggota tentera selain dua buah LCM (Landing Craft Mechanised) dan dua buah LCVP (Landing Craft Vehicle Personnel).
Kapal MRSS Enforcer 10000 juga boleh menempatkan tiga buah helikopter.
Menurut Damen lagi, kapal MRSS yang ditawarkannya kepada TLDM memiliki “stern dock” yang mewujudkan kawasan terlindung daripada ombak kuat bagi membolehkan kerahan LCM/LCVP di dalam keadaan laut sekeliling bergelora sehingga ke tahap Sea State 4.
Dengan keadaan itu, ia membolehkan operasi kapal MRSS Enforcer 10000 boleh dilaksanakan sekurang-kurangnya 80 peratus daripada keadaan persekitaran berbanding konsep lain yang hanya 30 peratus.
Selain anggota tentera dan pelbagai kelengkapannya, kapal MRSS Enforcer 10000 juga boleh menempatkan hospital dengan segala kemudahannya daripada kawasan Triage, bilik pembedahan, X-Ray, pergigian dan bilik rawatan rapi dengan enam katil. – – DSA
DOWNLOAD APPS DEFENCE SECURITY ASIA
Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com