Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Iran Kini Pembekal Utama Dron “Murah, Berbahaya” – Amerika

Pegawai pertahanan Amerika Syarikat menyatakan bahawa kemampuan sistem dron Iran itu telah meningkat sejak 2014, bermula daripada penggunaannya oleh militant Houthi yang disokong Teheran dalam serangan-serangan terhadap kemudahan minyak dan gas milik syarikat Saudi Aramco kepada serangan terhadap kapal-kapal komersial yang melalui perairan Teluk Parsi dan kini di medan peperangan di Ukraine.

0 1,294

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Konflik di antara Russia dan Ukraine telah memberikan peluang kepada Iran untuk muncul sebagai pembekal utama dunia bagi dron-dron “murah dan berbahaya”, menurut pegawai kanan pertahanan Amerika Syarikat.

Pegawai terbabit yang berkhidmat dengan Defense Intelligence Agency , sebuah agensi di bawah Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat berkata, kemampuan Iran sebagai negara pengeluar dron telah melangkah setapak lagi daripada sebagai pembekal dron serantau kepada pembekal utama dron untuk tentera Russia dalam membantu kempen ketenteraannya di Ukraine.

Pada ketika ini, Iran membekalkan tiga jenis dron kepada Russia untuk digunakan di Ukraine terdiri daripada dron berani mati Shahed-131 dan Shahed-136 yang digunakan oleh Moscow sebagai ganti kepada peluru berpandu kruis.

Shahed
Dron  berani mati “Shahed-136” buatan Iran

 

Satu lagi dron yang dibekalkan Iran kepada Russia adalah dron pelbagai guna Mohajer-6 yang boleh digunakan untuk misi-misi ISR (Intelligence, Surveillance, Reconnaisance) serta dilengkapkan dengan sistem peluru berpandu untuk melaksanakan misi-misi serangan.

Pegawai-pegawai Iran percaya dron-dron keluarannya telah menarik minat banyak pelanggan berpotensi di seluruh dunia termasuk di China.

“Kekuatan kita telah berkembang, sehingga China mahu membeli 15,000 dron-dron kita,” menurut seorang pegawai Iran sebagaimana dipetik oleh sebuah portal berita ketika menyampaikan ucapan di sebuah universiti tempatan negara itu baru-baru ini.

Dron
Dron “Mohajer-6”

 

Pegawai Amerika Syarikat menyatakan bahawa kemampuan sistem dron Iran telah meningkat sejak 2014, bermula daripada penggunaannya oleh militan Houthi yang disokong Teheran dalam serangan-serangan terhadap kemudahan minyak dan gas milik syarikat Saudi Aramco kepada serangan terhadap kapal-kapal komersial yang melalui perairan Teluk Parsi dan kini di medan peperangan di Ukraine.

Dalam serangan terhadap kapal tangki Mercer Street pada 2021, bedilan dron berani mati Iran terhadap kapal itu membunuh kapten kapal itu serta pegawai keselamatan warga Britain.

Peranan yang dimainkan oleh dron-dron keluaran industri pertahanan Iran telah jauh meningkat daripada peringkat serantau kepada konflik-konflik antarabangsa, sebagaimana yang ditonjolkannya pada konflik Russia-Ukraine.

Dron

Terdapat juga penganalisa yang berpendapat bahawa Iran sedang mengumpul kepakaran dalam penggunaan dron pada konflik Russia-Ukraine untuk membolehkannya membangunkan pula sistem pesawat pejuang tanpa pemandu.

Ia mungkin mahu mencontohi Turkiye, yang kini bergerak ke arah pembangunan pesawat pejuang tanpa pemandu (unmanned fighter jet) seperti “Kizilelma” selepas berjaya membangunkan sistem pesawat tanpa pemandu seperti “Anka’, Bayraktar TB2” dan pelbagai lagi. — DSA

Apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...