Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal LMS Keempat TLDM, “Rencong” Tiba di Kota Kinabalu

Kapal LMS terbaru negara itu akan menyertai kapal-kapal LMS yang lain di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu iaitu, KD Badik, KD Sundang dan KD Keris yang telah pun ditauliahkan dan kini sedang menjalankan tugas menjaga kedaulatan serta keselamatan perairan negara terutamanya di Laut China Selatan.

5,795

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal Littoral Mission Ship (LMS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang keempat dan yang terakhir, Rencong  telah selamat tiba di Pangkalan TLDM di Kota Kinabalu di Sabah hari ini.

Kapal LMS bersama-sama 45 orang krew belayar selepas selesai majlis penyerahannya kepada TLDM yang berlangsung di Limbungan Wuchuan, Pelabuhan Wucang, Qidong, Nantong City, China pada 18 Disember yang lalu.

Ketibaan kapal Rencong hari ini telah disambut oleh Panglima Armada Timur TLDM Laksamana Madya Datuk Sabri Zali serta barisan kepimpinan tinggi Armada Timur.

Kapal LMS terbaru negara itu akan menyertai kapal-kapal LMS yang lain di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu iaitu, KD Badik, KD Sundang dan KD Keris yang telah pun ditauliahkan dan kini sedang menjalankan tugas menjaga kedaulatan serta keselamatan perairan negara terutamanya di Laut China Selatan.

Kapal LMS keempat negara tersebut dinamakan Rencong bersempena nama salah sebuah kapal ronda Kelas Keris yang telah dilucut tauliah pada 2005.

Rencong
TLDM

 

Penggunaan nama Rencong itu merupakan senjata tradisional Melayu yang turut melambangkan simbol semangat kepahlawanan, perjuangan, keberanian dan kekuatan dalam menentang dan menangkis serangan musuh.

Kapal LMS Rencong mula dibina pada 18 September 2019 dan dilancarkan ke permukaan air pada 16 Disember tahun lepas oleh Pasukan Projek LMS TLDM di Wuhan.

Pada Oktober lepas, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) juga telah mentauliahkan kapal LMS yang ketiga, KD Badik di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

Rencong dan KD Badik bernaung di bawah Markas Pemerintahan Armada Timur dan diletakkan di bawah Skuadron LMS ke-11 TLDM di pangkalan tersebut bersama dua lagi kapal LMS negara iaitu KD Keris dan KD Sundang.

Rencong
TLDM

 

Kehadiran Rencong, KD Badik, KD Sundang dan KD Keris akan meningkatkan kemampuan armada TLDM dalam memelihara kedaulatan maritim negara, terutamanya apabila berhadapan dengan pencerobohan oleh kapal-kapal milik China di kawasan perairan milik negara di Laut China Selatan.

Malaysia memperolehi empat buah kapal LMS yang dibina secara bersama antara Boustead Naval Shipyard (BNS) dan China Shipbuilding and Offshore Corporation (CSOC) di Wuchang Shipyard di Qidong, China dalam kontrak perolehan yang melebihi RM1 billion.

Dibawah Rancangan Malaysia ke-12 pula, TLDM bakal menambah lapan buah lagi kapal LMS di bawah program LMS Batch 2 sebagaimana yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini.

“Kapal LMS ini dilihat lebih sesuai beroperasi di perairan ini (perairan Markas Pemerintahan Armada Timur) dan kapal LMS ini memenuhi tugasan diperlukan TLDM, selain tiga ini kita ada satu lagi kapal LMS dijadual terima Disember ini.

“LMS keempat ini telah siap, kita sedang lakukan latihan dan selepas habis latihan kita bawa balik, kapal itu kita akan namakan Rencong, nama kapal ini juga kapal yang telah dilucut tauliah seperti Badik, Rencong kita guna semula bagi mengingati jasa kapal itu,” kata Panglima TLDM Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany semasa upacara pentauliahan kapal LMS yang ketiga itu, KD Badik.

Rencong

Panglima TLDM juga ditanya tentang  keperluan strategik meletak skuadron kapal LMS itu di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu dan bukan di Pangkalan TLDM Lumut, Perak

Mohd Reza berkata ia adalah sebahagian daripada persediaan TLDM untuk berhadapan dengan ancaman mendatang.

 “Ancaman itu kita kena bersedia, sepanjang masa kena bersedia, mana ada negara yang tidak bersedia menghadapi ancaman, saya tidak bolehlah nyatakan apa ancaman itu tetapi ancaman itu boleh datang bila-bila masa, sama ada ancaman kita tahu atau tidak tahu,” katanya.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments are closed.