Buat Pertama Kali, Thailand Kerah Pesawat Pejuang JAS39 Gripen Serang Kedudukan Tentera Kemboja
Turut terlibat dalam serangan terhadap kedua-dua lokasi itu adalah dua buah pesawat pejuang F-16 A/B milik Tentera Udara Diraja Thailand buatan syarikat Amerika Syarikat, Lockheed Martin.
Buat pertama kali, Tentera Udara Diraja Thailand telah mengesahkan bahawa ia mengerah dua buah pesawat pejuang JA39 Gripen buatan Sweden untuk melancarkan serangan udara terhadap sasaran tentera Kemboja di dua lokasi di Phu Ma Kua dan kuil Ta Muen Thom.
Turut terlibat dalam serangan terhadap kedua-dua lokasi itu adalah dua buah pesawat pejuang F-16 A/B milik Tentera Udara Diraja Thailand buatan syarikat Amerika Syarikat, Lockheed Martin.
Pesawat pejuangJAS39 Gripen itu dibangunkan oleh syarikat Saab.
“Tentera Kemboja telah meletakkan senjata di kedua-dua lokasi itu, Phu Ma Kua dan kuil Ta Muen Thom itu untuk melancarkan serangan terhadap Thailand. Misi untuk memusnahkan senjata milik Tentera Kemboja telah berjaya dilaksanakan dan keempat-empat pesawat pejuang Tentera Udara Thailand telah selamat kembali ke pangkalan mereka,” menurut Tentera Udara Diraja Thailand dalam satu kenyataan.
Sebelum ini Tentera Udara Diraja Thailand hanya mengesahkan bahawa pesawat-pesawat pejuang F-16 miliknya telah terlibat dalam serangan udara terhadap kedudukan tentera Kemboja.
Tentera darat Kemboja dipercayai meletakkan pelancar-pelancar roket dan sistem artileri di kedua-dua lokasi itu dan digunakan untuk melancarkan serangan terhadap perkampungan Thailand di sempadan yang setakat ini telah mengorbankan 19 nyawa termasuk enam anggota tentera.
Manakala di pihak Kemboja pula, negara itu mendakwa serangan oleh tentera Thailand telah mengorbankan 13 orang termasuk lima anggota tentera.

Thailand menuduh tentera Kemboja melancarkan serangan membabi-buta terhadap perkampungan di Thailand yang terletak di sempadan kedua-dua negara sehingga menyebabkan kematian penduduk awam negara itu.
Sementara itu Kementerian Pertahanan Thailand dalam satu kenyataan menyatakan bahawa Tentera Lautnya dilaporkan telah menyertai operasi bersama Tentera Darat bagi menangkis pencerobohan oleh tentera Kemboja di sempadan yang masih dipertikaikan.
Operasi dilancarkan oleh Tentera Laut Thailand itu dilancarkan awal pagi Sabtu (26 Julai) susulan pencerobohan oleh tentera Kemboja di tiga lokasi berasingan di wilayah Trat, yang terletak di timur negara itu.
Sekurang-kurangnya empat buah kapal perang Tentera Laut Thailand telah terlibat dalam operasi itu.
Kementerian Pertahanan Thailand menyatakan bahawa pasukan marin Thailand berjaya melaksanakan tindakan balas yang memaksa tentera Kemboja berundur dari kawasan yang diceroboh di wilayah Thai.
“Thailand tetap teguh mempertahankan kedaulatan negaranya. Tindakan pencerobohan dan keganasan tidak akan sesekali dibiarkan berlaku,” menurut kenyataannya itu.
Operasi oleh Tentera Laut Thailand itu dinamakan “Trat Pikhat Pairee 1” (Trat Strike 1).

Sementara itu laporan menyatakan bahawa Komander Divisyen ke-7 Tentera Kemboja, Mejar Jeneral Duong Somneang dilaporkan terbunuh dalam satu serangan artileri di kawasan Chong Ta Thao–Phu Ma Kua ketika pertempuran antara pasukan tentera Thailand dan Kemboja terus berlanjutan sepanjang hari di kawasan sempadan yang masih menjadi pertikaian.
Pada 26 Julai, para wartawan mengesahkan bahawa pertempuran antara tentera Thailand dan Kemboja tercetus seawal pagi di sekitar kawasan Phu Ma Kua dan Chong Ta Thao.
Pasukan tentera Thailand berjaya mempertahankan kedudukan mereka di Phu Ma Kua serta mengusir keluar tentera Kemboja dari kawasan berkenaan.
Pasukan Kemboja kemudiannya melancarkan serangan balas bagi merampas semula kawasan tersebut, namun mengakibatkan ramai anggota mereka terkorban.
Antara yang terbunuh ialah Mejar Jeneral Duong Somneang, yang maut selepas terkena serangan bertubi-tubi peluru artileri semasa pertempuran sengit di barisan hadapan Chong Ta Thao–Phu Ma Kua.
Pada 26 Julai, para wartawan Thailand mengesahkan bahawa pertempuran antara tentera Thailand dan Kemboja tercetus seawal pagi di sekitar kawasan Phu Ma Kua dan Chong Ta Thao.
Pasukan tentera Thailand berjaya mempertahankan kedudukan mereka di Phu Ma Kua serta mengusir keluar tentera Kemboja dari kawasan berkenaan.
Tentera Kemboja kemudiannya melancarkan serangan balas bagi merampas semula kawasan tersebut, namun mengakibatkan ramai anggota mereka terkorban.
Antara yang terbunuh ialah Mejar Jeneral Duong Somneang, yang maut selepas terkena serangan bertubi-tubi peluru artileri semasa pertempuran sengit di barisan hadapan Chong Ta Thao–Phu Ma Kua.
Tentera Thailand bukan sahaja menggunakan pesawat-pesawat pejuang F-16 A/B dan JAS39 Gripen miliknya untuk mengebom kedudukan dan aset-aset tentera Kemboja disempadan bergolak kedua-dua negara tetapi ia juga menggunakan dron-dronnya untuk melancarkan serangan.
Video-video yang dikeluarkan oleh Tentera Darat Thailand menunjukkan dron-dron bersenjata buatan tempatan itu mengugurkan bom-bom mortar M261 dan M472 terhadap kedudukan tentera Kemboja serta depoh senjata milik tentera negara jirannya itu.
Bom-bom mortar yang digugurkan oleh dron-dron bersenjata Tentera Darat Thailand itu telah memusnahkan kedudukan dan aset-aset tentera Kemboja di kawasan sempadan kedua-dua negara.
“Dron bersenjata milik Thailand itu dikatakan berjaya mengenal pasti beberapa sasaran utama termasuk depot simpanan senjata, pusat pelancaran artileri serta kenderaan pelancar roket, termasuk satu unit RM-70 GRAD yang sedang dimuatkan dan bersedia untuk pelancaran semula.”
“Dalam serangan menggunakan dron tersebut, unit dron bersenjata Tentera Thailand berjaya memusnahkan depot senjata utama milik Kemboja yang dipercayai menjadi lokasi penyimpanan roket 122mm serta sistem bantuan pelancaran lain.”
Kejayaan memusnahkan RM-70 GRAD milik Kemboja yang sedang dalam keadaan “live and loaded” menunjukkan ketepatan dan kecekapan operasi udara tanpa pemandu Thailand, sekaligus mengurangkan potensi ancaman ulangan serangan terhadap wilayahnya.
Sementara itu laporan media tempatan menyatakan bahawa Tentera Kemboja telah melancarkan serangan roket secara besar-besaran ke atas posisi tentera Thailand menggunakan sistem pelancar roket berganda buatan Czechoslovakia, RM-70 GRAD.
Menurut laporan perisikan yang diperoleh daripada sumber ketenteraan serantau, sistem pelancar roket RM-70 GRAD milik Kemboja itu telah dipasang dengan roket artileri 9M22U atau dikenali juga sebagai SHE-40, yang merupakan sistem roket tidak berpanduan berkaliber 122mm dengan jarak tembakan efektif sehingga 20 kilometer.
Roket 9M22U/SHE-40 ini mempunyai kepala peledak seberat 18.4 kilogram dan direka khas untuk misi pemusnahan kawasan luas seperti kubu infantri, depot logistik, serta kenderaan berperisai ringan, menjadikan serangan tersebut bukan sahaja bersifat provokatif tetapi juga berbahaya kepada keselamatan wilayah Thailand.
Penganalisis ketenteraan percaya bahawa penggunaan sistem RM-70 GRAD oleh Kemboja merupakan satu isyarat jelas bahawa negara itu telah meningkatkan tahap kesiagaan tempur mereka dan bersedia untuk menggunakan kekuatan artileri berat dalam mempertahankan atau menuntut semula kawasan yang dipertikaikan.
RM-70 GRAD merupakan sistem pelancar roket berbilang (Multiple Rocket Launcher System, MRLS) yang dibangunkan oleh Czechoslovakia pada era Perang Dingin, dan berasaskan reka bentuk Soviet BM-21 GRAD yang terkenal.
Sistem ini dilengkapi dengan 40 laras pelancar roket 122mm, mampu melepaskan kesemua roket dalam masa kurang 30 saat, dan mempunyai kadar liputan kerosakan yang luas, menjadikannya senjata pemusnah kawasan yang digeruni dalam konflik darat.
Sempadan antara Thailand dan Kemboja sememangnya telah menjadi titik panas geopolitik selama lebih 100 tahun, dengan pertikaian terhadap beberapa kawasan utama termasuk tapak bersejarah dan zon tanah tinggi strategik.
Pada ketika ini, Tentera Udara Diraja Thailand mengoperasikan kira-kira 50 unit pesawat F-16 pelbagai varian, termasuk model Block 15 dan Block 50/52.
Kesemua pesawat ini ditempatkan di beberapa pangkalan udara utama seperti Wing 1 (Nakhon Ratchasima) dan Wing 4 (Takhli), serta telah melalui proses naik taraf sistem avionik dan persenjataan.
F-16 Thailand kini dilengkapi dengan radar AN/APG-68, pod targeting LANTIRN, serta keupayaan membawa peluru berpandu udara ke udara AIM-120 AMRAAM dan peluru berpandu udara ke permukaan seperti AGM-65 Maverick.
Pesawat satu-enjin ini terbukti sebagai platform serba boleh untuk misi rondaan udara, pemintasan, sokongan udara dekat (CAS), serta operasi ketenteraan bersama.
Thailand kini dalam peringkat kajian untuk menaik taraf sebahagian pesawat F-16 ke standard Viper (F-16V), yang akan melibatkan pemasangan radar AESA (Active Electronically Scanned Array) AN/APG-83 dan sistem avionik baharu.
Pada tahun 2008, Thailand menandatangani kontrak perolehan pesawat JAS-39 Gripen C/D buatan Saab dari Sweden sebagai langkah diversifikasi aset tempur dan mengurangkan kebergantungan kepada Amerika Syarikat.
Sebanyak 12 unit Gripen kini ditempatkan di Wing 7, Surat Thani dan telah menggantikan pesawat F-5E/F yang telah lama berkhidmat.
Gripen Thailand turut disepadukan dengan sistem kawalan peperangan Erieye Airborne Early Warning (AEW) serta rangkaian C2 (Command and Control), menjadikan keseluruhan sistem lebih bersepadu dan berkesan.
Pesawat ini mampu melaksanakan operasi “network-centric warfare” yang membolehkan pertukaran maklumat secara waktu nyata antara platform udara, laut dan darat.
Gripen Thailand dilengkapi dengan radar PS-05/A, peluru berpandu IRIS-T dan AIM-120 AMRAAM, selain mampu membawa peluru berpandu anti-kapal RBS-15 dan bom pintar berpandukan GPS.
Baru-baru ini, Thailand secara rasmi telah memilih pesawat pejuang pelbagai peranan Saab JAS-39E/F Gripen untuk melengkapkan armada udara masa depannya, dengan Tentera Udara Diraja Thailand mengesahkan pesanan awal sebanyak empat buah pesawat sebagai sebahagian daripada pelan pemerolehan 12 buah pesawat dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Ketua Turus RTAF, Air Chief Marshal Punpakdee Pattanakul mendedahkan bahawa kelompok pertama pesawat Gripen itu akan terdiri daripada tiga buah varian satu tempat duduk JAS-39E dan satu varian dua tempat duduk JAS-39F.
Pesawat Gripen baharu itu bakal dilengkapi dengan radar AESA Raven ES-05, sistem pencarian dan penjejakan inframerah (IRST), serta pautan data taktikal selamat, sekali gus meningkatkan keupayaan peperangan rangkaian dan serangan luar jarak penglihatan (BVR) RTAF ke tahap lebih tinggi.
Tranche baharu Gripen ini akan melengkapkan armada sedia ada 11 buah pesawat JAS-39C/D milik Thailand, dan akan secara berperingkat menggantikan pesawat lama F-16A/B Lockheed Martin sepanjang dekad akan datang sebagai sebahagian daripada pelan penggantian aset taktikal udara RTAF.
Yang lebih penting, Thailand juga akan memperoleh peluru berpandu udara ke udara Beyond Visual Range (BVR) MBDA Meteor yang dianggap antara sistem senjata penguasaan udara jarak jauh paling canggih di dunia, sekaligus memberikan Thailand keupayaan serangan standoff yang jauh mengatasi sistem konvensional sedia ada.