Pakistan Anugerah Panglima CENTCOM Amerika “Nishan-e-Imtiaz” Di Tengah Ketegangan Strategik China-AS
Anugerah kepada Jeneral CENTCOM mencerminkan keinginan Islamabad mengekalkan kerjasama ketenteraan dengan Washington dalam masa sama memperkukuh hubungan strategik dengan Beijing.
Dalam satu majlis rasmi penuh berprofil tinggi dan berunsur geopolitik, kerajaan Pakistan telah menganugerahkan penghormatan ketenteraan tertinggi negara kepada Panglima Pemerintah Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM), Jeneral Michael Kurilla.
Anugerah Nishan-e-Imtiaz (Military) itu telah disampaikan oleh Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari, di Istana Presiden (Aiwan-e-Sadr), Islamabad, disertai dengan kawalan kehormatan tiga cabang perkhidmatan tentera negara tersebut.
Penghormatan ini diberikan kepada Jeneral Kurilla sebagai pengiktirafan atas sumbangan luar biasa beliau dalam memperkukuh hubungan ketenteraan dua hala antara Amerika Syarikat dan Pakistan serta komitmen terhadap keamanan serantau dan usaha bersama menentang keganasan.

Menurut siaran rasmi oleh Perhubungan Awam Antara Perkhidmatan (ISPR), Jeneral Kurilla diiktiraf kerana “khidmat cemerlang dan peranan penting beliau dalam memajukan kerjasama ketenteraan yang berkekalan” antara kedua-dua negara.
“Kepimpinan berwawasan Jeneral Kurilla telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh persefahaman bersama, meningkatkan kerjasama pertahanan, dan memperdalamkan usaha menentang keganasan antara Angkatan Tentera Pakistan dan USCENTCOM,” menurut kenyataan ISPR.
Saluran penyiaran negara, Radio Pakistan, turut melaporkan bahawa anugerah ini mencerminkan “peranan luar biasa beliau dalam keselamatan serantau dan hubungan pertahanan antara Pakistan dan Amerika Syarikat.”
Semasa lawatannya ke Pakistan, Jeneral Kurilla mengadakan pertemuan strategik dengan beberapa pemimpin kanan ketenteraan dan politik negara itu termasuk Presiden Asif Ali Zardari dan Panglima Tentera Darat Pakistan, Field Marshal Asim Munir.
Perbincangan antara kedua-dua pihak tertumpu kepada keselamatan serantau, usaha bersama menentang keganasan, serta memperkukuh kerjasama operasi dan pertukaran maklumat antara dua angkatan tentera.
Penganugerahan ini hadir pada waktu yang cukup penting bagi Pakistan yang kini sedang meniti laluan diplomatik yang mencabar — berusaha mengekalkan hubungan mesra dengan Amerika Syarikat sambil memperdalamkan kerjasama ekonomi dan ketenteraan dengan China.
Menurut beberapa penganalisis geopolitik, pemilihan waktu penganugerahan kepada Jeneral CENTCOM ini adalah sangat strategik dan bukan kebetulan.
Hanya sebulan yang lalu, Jeneral Kurilla dalam kenyataan umum menyifatkan Pakistan sebagai “rakan kongsi fenomenal” dalam memerangi keganasan — satu pengiktirafan yang dilihat sebagai tindak balas langsung kepada usaha diplomatik India yang terus menekan Pakistan di peringkat antarabangsa berhubung isu pembiayaan keganasan, terutamanya selepas insiden serangan di Pahalgam.
India, sebagai pengkritik utama Pakistan dalam isu keganasan, telah berulang kali mendesak komuniti antarabangsa untuk lebih tegas terhadap tindakan Islamabad, walaupun negara itu telah dikeluarkan daripada “senarai kelabu” FATF pada tahun 2022.
Namun begitu, pemerhatian antarabangsa terhadap Pakistan masih belum reda sepenuhnya, khususnya dalam kalangan negara seperti India yang terus mempersoalkan keupayaan negara itu membanteras rangkaian kewangan keganasan.
Dalam konteks ini, penganugerahan kepada Jeneral Kurilla dilihat sebagai sebahagian daripada strategi lunak (soft power) Pakistan bagi mengekalkan kedudukan yang menguntungkan di mata Washington, terutamanya ketika negara itu terus bergantung kepada bantuan kewangan antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Pakistan ketika ini sedang menjalankan program pemulihan ekonomi melalui pinjaman bernilai AS$3 bilion (RM14.1 bilion) daripada IMF, menjadikan hubungan diplomatik dan ketenteraan dengan Washington sebagai aset strategik yang amat berharga.
Sumber diplomatik dipetik oleh Hindustan Times berkata, “Pakistan sedang menghantar isyarat halus — walaupun ia rapat dengan China, namun hubungan dengan Amerika Syarikat tetap dihargai.”
Kepentingan CENTCOM dalam strategi pasca-Afghanistan Amerika Syarikat di Asia Tengah dan Asia Selatan menjadikan peranan Jeneral Kurilla sangat penting dalam menjaga kesinambungan kerjasama ketenteraan dengan Pakistan.
Bagi Washington pula, mengekalkan saluran komunikasi ketenteraan aktif dengan Islamabad amat diperlukan dalam menghadapi ketidaktentuan di Afghanistan, peningkatan aktiviti militan di sempadan Pakistan, dan perkembangan pengaruh tentera China melalui projek Belt and Road Initiative (BRI).
CENTCOM yang berpangkalan di Florida, telah lama menganggap Pakistan sebagai komponen utama dalam struktur keselamatan serantau dan operasi anti-keganasan global Amerika Syarikat.
Penghormatan terhadap Kurilla juga dilihat sebagai lanjutan kepada keperluan operasi logistik, akses ruang udara dan perkongsian maklumat perisikan yang menjadikan Pakistan relevan dalam percaturan keselamatan Washington.
Penganugerahan Nishan-e-Imtiaz (Military) ini turut memberi mesej jelas kepada kuasa-kuasa besar bahawa Pakistan sedang mengimbangi paksi strategik antara Timur dan Barat.
Di satu sisi, China kekal sebagai rakan kongsi utama dalam pembangunan pertahanan Pakistan — daripada jet pejuang JF-17 kepada peluru berpandu jarak jauh dan sistem pertahanan udara — manakala pada sisi lain, Islamabad tetap membuka pintu kepada kerjasama ketenteraan dengan Amerika Syarikat yang masih mempunyai pengaruh ketara dalam struktur keselamatan serantau.
Langkah Islamabad ini hadir pada waktu Lautan Hindi semakin tepu dengan kehadiran ketenteraan — Amerika Syarikat sedang mengukuhkan kerjasama dengan India, Vietnam, dan Filipina, manakala China memperluas pengaruhnya melalui pelabuhan strategik seperti Gwadar, Hambantota dan Djibouti.
Kemampuan Pakistan untuk kekal lincah dari segi diplomatik dan ketenteraan, dengan menjalin hubungan baik dengan kedua-dua blok kuasa besar, menjadi kunci utama kepada strategi kelangsungan geopolitiknya.
Anugerah kepada Jeneral Kurilla bukan sekadar penghormatan peribadi — ia mencerminkan orientasi dasar luar dan keselamatan negara yang mahu dilihat sebagai kuasa serantau yang mampu berdiri atas dua kaki di tengah-tengah ketegangan global.
