Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

RM6.6 Bilion Untuk Perolehan 8 Kapal LMS Batch 2 TLDM?

Perolehan lapan buah kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch 2 bermula tahun ini akan menjadikan jumlah keseluruhan kapal LMS milik TLDM kepada 12 buah termasuk empat buah yang dibina oleh China.

0 5,554

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kementerian Pertahanan dikatakan bakal memperuntukkan sejumlah RM6.6 bilion untuk membina kumpulan kedua lapan buah kapal Littoral Mission Ship (LMS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Blog pertahanan berbahasa Inggeris tempatan, Malaysian Defence berkata, ia diberitahu bahawa RM2.5 bilion akan dibelanjakan untuk membina tiga buah kapal LMS Batch 2 pada tahun ini di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Manakala peruntukan RM4.1 bilion akan digunakan untuk membina lima buah kapal LMS Batch 2 di dalam Rancangan Malaysia ke-13 (2026-2030), bagi membolehkan TLDM memiliki 12 buah kapal LMS secara keseluruhannya, termasuk empat buah kapal LMS Batch 1 yang dibina oleh China.

LMS
Rekabentuk kapal korvet “Ada” Tentera Laut Turki yang ditawarkan oleh syarikat STM dari Turki untuk program perolehan kapal LMS Batch 2 TLDM.

 

Setiap sebuah kapal LMS Batch 2 itu dijangka bernilai lebih RM800 juta.

Empat buah kapal LMS Batch 1 kelas-Keris yang dibina di China hasil kerjasama di antara firma  Boustead Naval Shipyard (BNS) dan China Shipbuilding and Offshore Corporation (CSOC) di Wuchang Shipyard di Qidong, China.

Empat kapal LMS TLDM iaitu KD Sundang ditauliah pada 5 Mac tahun lepas, KD Badik (20 Okt 2021), KD Keris (15 April 2019) dan KD Rencong (28 Jan 2022).

Menurut blog pertahanan itu lagi, kapal-kapal LMS Batch 2 itu bukan sahaja lebih besar tetapi ia juga akan dilengkapi dengan dengan sistem pertahanan yang lengkap.

LMS
Rekabentuk Damen Sigma 9113 yang dicadangkan untuk program LMS Batch 2 TLDM.

 

Sebagaimana yang telah dilaporkan oleh Defence Security Asia sebelum ini, kapal-kapal LMS Batch 2 itu akan memiliki peluru berpandu anti-kapal dipercayai Naval Strike Missile (NSM), meriam (57mm dan 30mm) serta kemungkinan Short Range Air Defence System (SHORADS).

Kapal-kapal LMS Batch 2 akan “bergigi” dengan sistem peluru berpandu anti-kapal berbanding empat buah kapal LMS Batch 1 yang “togel.”

Kapal-kapal LMS Batch 2 akan memiliki panjang di antara 80 hingga 100 meter, kelajuan 28 knot dan berat tidak melebihi 2,500 tan.

Bercakap kepada agensi berita nasional, BERNAMA pada pameran DSA 2022 dan NATSEC, Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata peruntukan untuk perolehan untuk kapal-kapal LMS Batch II itu sedang diusahakan TLDM dan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

LMS
Tiga daripada empat kapal LMS Batch 1 milik TLDM yang dibina oleh syarikat China, CSOC.

 

“Setakat ini, di peringkat TLDM kami telah buka kertas cadangan (proposal) kepada beberapa negara antaranya China, Belanda dan Turki dan kami telah menyenarai pendek beberapa cadangan.

“Apabila TLDM telah dapat bajet barulah kami akan memilih syarikat mana yang berjaya membina LMS berkenaan,” katanya.

LMS
Kapal LMS TLDM yang keempat dan terakhir, “Rencong” selamat tiba di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu. (TLDM)

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Mohd Reza berkata perolehan kelompok kedua LMS dirancang bagi menggantikan aset-aset TLDM sedia ada yang telah usang.

Perolehan lapan buah kapal LMS Batch Kedua pada RMK12 dan RMK13  sudah semestianya akan meningkatkan kemampuan TLDM terutamanya dalam memelihara kedaulatan kawasan perairan negara terutama di Laut China Selatan yang sedang berhadapan dengan pencerobohan kapal-kapal pengawal pantai China. — DSA

Comments
Loading...