Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Minyak Sawit Sebagai “Senjata” Untuk Menekan Negara Lain

Tindakan India menggunakan minyak sawit untuk “menekan” Malaysia bukan suatu perkara yang baru kerana dua tahun lepas perkara sama berlaku apabila New Delhi mengurangkan import minyak sawit daripada Malaysia selepas ia “marah” dengan kenyataan Perdana Menteri negara ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai Jammu dan Kashmir serta isu kewarganegaraan negara itu.  

0 29,509

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tindakan negara-negara besar tertentu menggunakan akses kepada pasaran domestik mereka yang besar dan lumayan untuk menekan negara kecil lain supaya mengikut telunjuk mereka bukanlah sesuatu yang baru atau asing pada masa ini.

Ini adalah “permainan” yang kerapkali dilakukan oleh negara-negara berpengaruh dalam memastikan negara lain “kow tow” terhadap kehendak dan permintaan mereka.

Sebab itulah, adalah tidak memeranjatkan apabila New Delhi mengaitkan akses pasaran bagi minyak kelapa sawit yang lebih besar kepada Malaysia dengan tawarannya untuk menjual pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) “Tejas” kepada negara ini.

Tejas
“Tejas”

 

Ya, fakta sememangnya menunjukkan India merupakan pembeli minyak sawit yang besar daripada Malaysia atau lebih tepat, kedua terbesar selepas China.

Pada 2019, export minyak kelapa sawit Malaysia ke India adalah sekitar 4 juta metrik tan manakala export ke China pula adalah 6 juta metrik tan.

Walaupun China merupakan negara pengimport minyak sawit Malaysia terbesar dan pada masa yang sama menawarkan penjualan pelbagai jenis sistem persenjataan kepada negara termasuk pesawat FLIT/LCA “L-15” kepada negara, tetapi ia tidak mengikut jejak langkah New Delhi.

Beijing tidak mengaitkan tawaran akses pasaran minyak sawit yang lebih besar kepada Malaysia sebagai “tukaran” kepada persetujuan Malaysia untuk memperolehi pesawat L-15 itu.

Sawit

Kedua-dua pesawat “Tejas” dan “L-15” menyertai tender Kementerian Pertahanan untuk membekalkan di antara 18-36 buah pesawat FLIT/LCA dianggarkan bernilai RM4 bilion hingga RM8 bilion kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Tindakan India menggunakan minyak sawit untuk “menekan” atau “memaksa” Malaysia bukan baru kerana dua tahun lepas perkara sama juga berlaku.

Pada tahun 2019, India dikatakan bertindak balas dengan mengurangkan import minyak sawit daripada Malaysia selepas negara itu “marah” dengan kenyataan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai Jammu dan Kashmir.  

Sewaktu berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) kali ke-74, Dr Mahathir berkata “walaupun ada resolusi mengenai Jammu dan Kashmir, negara itu sebaliknya terus ditawan dan diduduki” dan menggesa India untuk bekerjasama dengan Pakistan bagi menyelesaikan masalah itu.

Kashmir
Kashmir

 

Kenyataan Dr Mahathir itu adalah reaksi kepada tindakan kerajaan India pada 5 Ogos lepas yang bertindak memansuhkan status autonomi khas diperoleh Jammu dan Kashmir selain mengenakan sekatan keselamatan, termasuk memotong perkhidmatan internet dan talian telefon atas alasan mengelak berlakunya bantahan di kawasan terbabit.

Kementerian Luar India pada 4 Oktober 2019  menyuarakan bantahan terhadap kenyataan Dr Mahathir mengenai Kashmir.

Mahathir turut mengkritik India mengenai undang-undang kewarganegaraan yang dipinda yang dikatakan mempunyai diskriminasi terhadap umat Islam di negara itu.

Tejas

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Parlimen India telah meluluskan pindaan rang undang-undang kontrocversi yang memberi kerakyatan kepada ahli-ahli kumpulan minoriti agama dari Bangladesh, Pakistan dan Afghanistan yang mencari perlindungan suaka di India dan yang memasuki negara itu sebelum September 2014. Sebaliknya negara itu mengecualikan umat Islam dari negara-negara tersebut yang memohon kewarganegaraan dari India.

Menurut satu laporan oleh BERNAMA, satu pertubuhan perdagangan India yang mewakili pengekstrak bijian tempatan meminta ahlinya supaya tidak membeli minyak sawit Malaysia sebagai membantah kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berhubung konflik Kashmir.

Presiden Persatuan Pengekstrak Pelarut India (SEA), Atul Chaturvedi berkata keadaan yang menyebabkan hubungan antara kedua-dua negara itu tegang, turut memberi kesan dari segi tanggung jawab industri untuk meneliti import minyak sawit dari Malaysia. — DSA

Comments
Loading...