Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

MINDEF Teruskan Perolehan 8 Buah Kapal LMS Batch II Untuk TLDM

Perolehan lapan buah lagi kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch II untuk TLDM bermula pada tahun depan itu akan mengukuhkan kawalan dan pemantauan perairan negara terutamanya di Laut China Selatan daripada pencerobohan kapal-kapal pengawal pantai China.

0 7,880

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan memperolehi kumpulan kedua (Batch II) lapan buah kapal Littoral Mission Ship (LMS) di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk mengukuhkan lagi kawalan keselamatan perairan negara.

Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Abdul Aziz di Parlimen hari ini.

“Untuk memastikan kedaulatan sempadan maritim negara sentiasa terpelihara, TLDM akan memperolehi lapan buah kapal Littoral Mission Ship (LMS) dan 13 buah Fast Interceptor Craft (FIC) di dalam RMK-12,” kata beliau.

Kenyataan oleh Timbalan Menteri Pertahanan itu mengesahkan bahawa projek bagi perolehan lapan lagi buah kapal LMS itu akan diteruskan, walaupun terdapat kebimbangan sebelum ini perolehan kapal-kapal LMS Batch II itu mungkin ditangguhkan berikutan masalah kewangan negara akibat pandemik COVID-19.

Ikmal berkata, perolehan kapal-kapal LMS dan FIC itu akan bermula tahun depan.

Kapal LMS
Kapal LMS milik TLDM (gambar kredit TLDM)

 

Kehadiran lapan lagi buah kapal LMS Batch II TLDM itu akan menambah lagi pegangan kapal LMS TLDM yang pada ketika ini berjumlah empat buah kapal LMS Batch 1 kelas-Keris.

 Empat buah kapal LMS Batch 1 kelas-Keris yang dibina di China hasil kerjasama di antara firma  Boustead Naval Shipyard (BNS) dan China Shipbuilding and Offshore Corporation (CSOC) di Wuchang Shipyard di Qidong, China.

Kapal LMS pertama hasil kerjasama BNS dan CSOC, KD Keris  dan LMS kedua, KD Sundang telah pun memasuki perkhidmatan TLDM pada 31 Disember 2019 dan 14 Januari 2021 manakala LM3 ketiga, Badik telah pun diterima beberapa hari lepas.

Kapal LMS keempat, Rencong dijangka diserahkan kepada negara bulan depan.

Kapal LMS
Kapal Littoral Mission Vessel (LMV) kelas-Independence Tentera Laut Singapura.

 

Kesemua kapal LMS TLDM itu ditempatkan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu dan kerapkali terlibat dalam operasi memantau pencerobohan kapal-kapal China di dalam perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara.

Malaysia menandatangani perjanjian bernilai lebih RM1 bilion untuk memperolehi empat buah kapal LMS kelas-Keris daripada China.

Beberapa syarikat dalam dan luar negara telah pun menghantar cadangan mereka tentang pembinaan kapal-kapal LMS Batch 2 itu.

Menurut portal pertahanan antarabangsa, syarikat Boustead telah mengemukakan rekabentuk kapal LMS Batch 2 mereka pada satu pameran pertahanan beberapa tahun lepas, dengan harapan kerajaan akan memilih mereka sekali lagi bagi projek pembinaan LMS Batch 2.

Pada September lepas, ketua pegawai eksekutif Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC) Sharifuddin Md Zaini Al-Manaf dalam satu kenyataan menyatakan harapan syarikat terbabit agar diberikan kepercayaan oleh kerajaan untuk terlibat dalam projek perolehan kapal-kapal LMS Batch II itu.

“Dengan kemudahan dan kakitangan yang berpengalaman, kami mempunyai rekod di dalam pembinaan kapal-kapal tentera laut. BHIC berharap memperolehi kontrak untuk (membina) kapal-kapal LMS yang seterusnya,” katanya.

(“With the facilities and experienced personnel we have and our track record in naval shipbuilding, BHIC is hopeful of securing contracts for the subsequent batches of the LMS.”)

Kenyataan oleh BHIC itu dikeluarkan sejurus selepas penyerahan kapal LMS 3 TLDM.

DEFENCE SECURITY ASIA

Jom folo Defence Security Asia di Telegram,Facebook dan Twitter untuk perkembangan terkini dunia pertahanan dan keselamatan.

 

Comments
Loading...