Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

TLDM Namakan Kapal LMS Ketiga Miliknya “Badik”

Upacara penamaan LMS yang ketiga itu telah dilaksanakan dengan jayanya pada pagi ini di Limbungan Wuchuan, Pelabuhan Wuchang, Qidong, Nantong City, China.

0 6,440

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal Littoral Mission Ship (LMS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang ketiga telah dinamakan “Badik” sempena nama sebuah kapal ronda kelas-Keris yang telah dilucut tauliah pada 2005.

Upacara penamaan LMS yang ketiga itu telah dilaksanakan dengan jayanya pada pagi ini di Limbungan Wuchuan, Pelabuhan Wuchang, Qidong, Nantong City, China.

Upacara penamaan telah disempurnakan oleh Puan Rohana Osman, isteri kepada Penasihat Pertahanan di Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di China, bersesuaian dengan tradisi Tentera Laut dimana kapal-kapal perang yang baru akan diberi nama oleh isteri orang kenamaan.

“Penggunaan nama Badik ini yang merupakan senjata tradisional Melayu, turut melambangkan simbol semangat kepahlawanan, perjuangan, keberanian dan kekuatan dalam menentang dan menangkis serangan musuh.

“Badik merupakan kapal LMS ketiga TLDM dan akan menyertai Skuadron LMS ke-11 yang berpengakalan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu. Skuadron tersebut kini mempunyai dua buah kapal LMS iaitu KD Keris dan KD Sundang yang telah beroperasi,” menurut TLDM dalam satu kenyataan hari ini.

LMS
Kapal LMS ketiga TLDM “Badik” (gambar kredit TLDM)

 

Badik mula dibina pada 18 September 2019 dan telah dilancarkan ke permukaan air pada 28 Oktober 2020 oleh pasukan projek LMS TLDM di Wuhan.

Setelah menjalani ujian penerimaan di pelabuhan dan laut, kapal ini telah diserahkan secara rasmi kepada kerajaan Malaysia pada 14 September 2021 di Qidong, China.

Seramai tujuh pegawai dan 38 anggota lain-lain pangkat sebagai kru pertama telah menjalani latihan intensif selama 5 bulan di China.

Badik dijangka tiba di Malaysia pada penghujung September ini.

Malaysia memperolehi empat buah kapal LMS yang dibina secara bersama antara Boustead Naval Shipyard (BNS) dan China Shipbuilding and Offshore Corporation (CSOC) di Wuchang Shipyard di Qidong, China.

LMS
Kapal LMS ketiga TLDM dinamakan “Badik.” (gambar kredit TLDM)

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...