Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

TLDM Mohon Tambahan Helikopter Operasi Maritim (HOM)

Penambahan bilangan Helikopter Operasi Maritim (HOM) TLDM dengan radar berkuasa tinggi dan mesingan berat akan membolehkannya melaksanakan misi-misi Intelligence, Surveillance dan Reconnaisance (ISR) serta operasi khas di Sabah dan Sarawak dengan lebih berkesan.

3,198

(DEFENCE SECURITY ASIA) –  Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan dua buah lagi Helikopter Operasi Maritim (HOM) untuk digunakan anggotanya di Sabah dan Sarawak.

Penambahan dua buah lagi HOM berkemungkinan daripada jenis yang sama, Leonardo AW 139 bakal membawa jumlah keseluruhan HOM yang dioperasikan oleh TLDM kepada lima buah.

Semalam Skuadron 503 yang berpengkalan di Kota Kinabalu menerima HOM AW139 yang ketiga, sekaligus mengukuhkan rondaan keselamatan perairan serta ruang udara negara khususnya di Sabah dan Sarawak.

Panglima TLDM Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata permohonan dua lagi HOM itu, kini berada di peringkat Kementerian Pertahanan sebelum diangkat ke Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Menurutnya, HOM adalah penting kepada TLDM untuk membolehkannya melaksanakan misi-misi pengumpulan maklumat, pengawasan serta tinjauan di perairan, khususnya Sabah dan Sarawak dengan keluasan perairan meliputi 315,263 kilometer persegi.

AW139
Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW139 pada OSTEX East tidak lama dahulu. (kredit TLDM)

 

“Mustahil untuk kapal TLDM dapat berada di setiap inci perairan terbabit pada setiap masa dan adanya helikopter baru ini, kapal TLDM mampu memperluaskan lagi jangkauan rondaan yang dilaksanakan.

“Ini bakal memberi kelebihan operasi yang signifikan demi memastikan kelestarian perairan negara kita,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan HOM ketiga TLDM di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Teluk Sepanggar.

 Helikopter utiliti jenis AW139 buatan Itali itu, dilengkapi radar pencarian RDR 1700A termasuk mesingan berat 12.7mm.

AW139
(TLDM)

 

Radar RDR 1700A yang dibangunkan oleh firma Telephonic merupakan radar ringan, X-band dan 360 darjah dengan  warna digital yang direkabentuk untuk pesawat dan helikopter yang terlibat dalam operasi rondaan maritime, rondaan (surveillance), misi mencari dan menyelamat serta pemetaan keadaan mukabumi berketapatan tinggi (precision terrain mapping).

Menurut spesifikasi teknikal yang diperolehi daripada open source, jarak radar RDR 1700A adalah di antara 0.625 Batu Nautika hingga 160 Batu Nautika.

Semalam, Panglima TLDM dalam satu majlis di Stesen Udara Kota Kinabalu, Pangkalan TLDM Kinabalu telah menerima HOM AW 139 yang ketiga dengan dengan ‘callsign’ TANOM 3 yang dioperasikan Skuadron 503 TLDM).

Radar
Sistem Radar RDR 1700A

 

Penyerahan ini telah melengkapkan kontrak perolehan tiga buah helikopter AW139 yang dimeterai oleh Kerajaan Malaysia dan GAM pada 11 September 2020.

Dua buah HOM AW139 telah diterima pada April 2022 dan dioperasikan secara rasmi oleh Skuadron 503 mulai 1 Julai yang lalu manakala HOM AW139 ketiga selamat tiba di Kota Kinabalu pada 29 Oktober 2022 sebelum diserahkan secara rasmi semalam.

Markas Pemerintahan Armada Timur  TLDM merancang untuk memiliki sehingga lapan buah HOM secara keseluruhannya yang akan diperolehi secara berperingkat. — DSA

apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

 

Comments are closed.