Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Monoluku Momurias”, Skn 503 TLDM Terima Helikopter AW139 Ketiga

Penyerahan Helikopter Operasi Maritim (HOM) telah melengkapkan kontrak perolehan tiga buah helikopter AW139 yang dimeterai oleh Kerajaan Malaysia dan Galaxy Aerospace Malaysia pada 11 September 2020. Ketiga-tiga HOM itu dioperasi oleh Skuadron 503.

0 2,913

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW 139 dengan ‘callsign’ TANOM 3 kini sah menjadi aset terbaharu yang dioperasikan Skuadron 503 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dengan majlis penyerahan HOM ketiga telah berlangsung di Stesen Udara Kota Kinabalu, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu hari ini. 

Dalam majlis ini, Sijil Serah Terima HOM ketiga ini telah ditandatangani oleh Pengarah Urusan Syarikat Galaxy Aerospace Malaysia (GAM) Sdn Bhd iaitu Dato’ Shamsul Kamar bin Samsudin bersama Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany.

Menurut kenyataan TLDM menerusi media sosialnya hari ini, penyerahan ini telah melengkapkan kontrak perolehan tiga buah helikopter AW139 yang dimeterai oleh Kerajaan Malaysia dan GAM pada 11 September 2020.

Perolehan aset udara ini adalah bagi memenuhi keperluan semasa operasi udara TLDM selari dengan misi memperkasa pengawasan maritim Sabah dan Sarawak. 

Terdahulu, dua buah HOM AW139 telah diterima pada April 2022 dan dioperasikan secara rasmi oleh Skuadron 503 mulai 1 Julai yang lalu manakala HOM AW139 ketiga selamat tiba di Kota Kinabalu pada 29 Oktober 2022 sebelum diserahkan secara rasmi hari ini. 

AW139
(TLDM)

 

 Bagi mengiktiraf dan menghargai kepelbagaian etnik dan semangat kepahlawanan di Negeri di Bawah Bayu ini, ketiga-tiga HOM AW139 telah didaftarkn dengan menggunakan callsign atau nama panggilan ‘TANOM’ yang sinonim dengan pahlawan Murut iaitu Antanom.

Malah, Skuadron 503 yang mengoperasikan HOM AW139 turut menggunakan cogan kata ‘Monoluku Momurias’ yang membawa maksud ‘Menjejak Menggempur’ dalam Bahasa Dusun.

Memandangkan kebanyakan aset TLDM masih dihimpit isu keusangan dengan kebanyakan kapal yang sudah berusia melebihi 30 tahun, perolehan HOM AW139 ini dianggap sebagai suatu langkah positif kerajaan Malaysia bagi memenuhi keperluan operasi semasa TLDM. 

AW139
(TLDM)

 

Laporan media sebelum ini menyatakan bahawa Markas Pemerintahan Armada Timur  TLDM dijangka akan memiliki lapan buah HOM secara keseluruhannya yang akan diperolehi secara berperingkat.

Kehadiran helikopter operasi maritim itu adalah sebahagian daripada usaha membangunkan keupayaan Markas Pemerintahan Armada Timur TLDM.

Ketiga-tiga buah HOM itu dilengkapi dengan mesingan berat 12.7mm dan 7.62mm general purpose machine gun, kata Panglima TLDM sebelum ini.

AW139
(TLDM)

 

Helikopter-helikopter terbabit juga dilengkapi dengan radar bagi meningkatkan kemampuannya dalam menyokong operasi TLDM di perairan negara dan menangani sebarang cabaran.

Konfigurasi (helikopter berkenaan) juga adalah selaras dengan peranannya sebagai elemen bantuan kepada perlaksanaan misi-misi pasukan khas dengan tempoh dan jarak yang berpatutan.

Kontrak pembelian tiga buah helikopter operasi maritim TLDM daripada jenis Leonardo AW139 itu ditandatangani pada 2 Sept 2020.

apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

Skuadron 503 ditubuh bagi meningkatkan kecekapan pengoperasian helikopter operasi maritim selain berperanan melaksanakan beberapa lagi tugasan utama antaranya pemantauan zon maritim Malaysia, operasi pasukan khas serta latihan kru udara dan warga kapal.

Skuadron itu juga akan melaksanakan tugasan sekunder merangkumi operasi mencari dan menyelamat, membantu misi Medical Evacuation, Casualties Evacuation serta membantu misi Humanitarian Assistance and Disaster Relief .

AW139
Helikopter Operasi Maritim TLDM jenis Leonardo AW139

 

Helikopter AW139 itu adalah helikopter bersaiz sederhana dengan berat 6.4 tan dan menggunakan dua enjin Pratt & Whitney PT6C-67C Turboshafts with FADEC ( Full Authority Digital Engine Control).

Dengan dua orang krew, helikopter yang boleh terbang selaju 300km sejam ini mampu membawa 15 orang penumpang dan terbang sejauh 1,061km atau lebih 5 jam. — DSA

Jom!!!! follow TwitterTelegramFacebook dan download Apps Defence Security Asia di Google Playstore

 

Comments
Loading...