Tindakan “Proaktif Dan Agresif” Tangani Tuntutan RM62 Bilion Waris Sultan Sulu
Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan pasukan khas untuk meneliti, memantau serta merangka tindakan berlunaskan undang-undang sewajarnya, bagi menangani isu tuntutan waris Sultan Jamalul Kiram II (Sultan Sulu) terhadap kerajaan Malaysia.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Kerajaan akan mengambil tindakan proaktif dan agresif dalam menangani isu tuntutan berjumlah RM62.59 bilion dari waris Sultan Jamalul Kiram (Sultan Sulu) terhadap Malaysia, “demi mempertahankan aset dan kedaulatan negara,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini.
Sehubungan dengan itu, Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan pasukan khas untuk meneliti, memantau serta merangka tindakan berlunaskan undang-undang sewajarnya, bagi menangani isu tuntutan waris Sultan Jamalul Kiram II (Sultan Sulu) terhadap kerajaan Malaysia.
Beliau berkata pasukan khas yang diketuainya itu, dianggotai Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, dan pakar-pakar berkaitan timbang tara antarabangsa.
“Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) bersama Jabatan Peguam Negara, sedang menentukan terma rujukan (TOR) dan juga keahlian tambahan jika perlu, bagi pasukan khas ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
BHEUU dan Kementerian Luar akan bertindak selaku urus setia pasukan khas itu.
Wan Junaidi berkata kerajaan memandang serius isu yang mengganggu gugat kepentingan aset-aset negara di luar negara oleh waris Sultan Sulu, khususnya aset di bawah syarikat-syarikat berkaitan kerajaan.
Pada Selasa lepas, dilaporkan aset dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan dirampas oleh waris kesultanan Sulu, yang dikatakan menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia.
Langkah itu yang pertama kali dilaporkan adalah sebahagian daripada tindakan undang-undang yang dikemukakan pada 2017 oleh waris Sulu, untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.
Pada Mac lalu, penimbang tara di Perancis memutuskan bahawa, Malaysia yang mewarisi obligasi perjanjian pajakan apabila memperoleh kemerdekaan daripada Britain, mesti membayar waris berkenaan sebanyak AS$14.92 bilion.
Namun Wan Junaidi ketika itu dilaporkan berkata keputusan Mahkamah Arbitrasi Paris untuk Malaysia membayar pampasan AS$14.92 bilion kepada pihak mendakwa sebagai waris Sultan Sulu adalah tidak sah, kerana tidak berlandaskan undang-undang.
Comments are closed.