Thailand “Semakin Hampir” Pilih Pesawat Pejuang Gripen E/F Untuk Tentera Udaranya
Beberapa hari lalu, syarikat SAAB telah membuka pintu kemudahannya di Sweden untuk para pengamal media Thailand bagi membolehkan mereka melihat dengan lebih dekat kemudahan canggih itu, sebagaimana dilaporkan oleh Bangkok Post. Ia adalah “charm offensives” oleh pihak pembuat pesawat pejuang Gripen itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat SAAB Group daripada Sweden memperhebatkan usahanya untuk memikat hati kerajaan Thailand supaya memilih varian terkini pesawat pejuang JAS39 Gripen E/F untuk memenuhi keperluan tentera udaranya.
Pada ketika ini, Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) telah pun memiliki 12 buah pesawat pejuang buatan syarikat Sweden itu, terdiri daripada varian C/D, tetapi sebuah daripadanya terhempas ketika melakukan demonstrasi di Hatyai beberapa tahun dahulu.
Beberapa hari lalu, syarikat SAAB telah membuka pintu kemudahannya di Sweden untuk para pengamal media Thailand bagi membolehkan mereka melihat dengan lebih dekat kemudahan canggih itu, sebagaimana dilaporkan oleh Bangkok Post.
Ia adalah “charm offensives” oleh pihak pembuat pesawat pejuang Gripen itu.
Lawatan media Thailand itu turut dibawa melawat kemudahan pembinaan pesawat pejuang Gripen E/F, varian terkini pesawat pejuang itu yang ditawarkan kepada RTAF.
Syarikat SAAB menawarkan varian terkini Gripen E/F kepada Thailand, bagi bersaing dengan pencabar terdekatnya iaitu F-16 Block 70 yang ditawarkan oleh syarikat Lockheed Martin daripada Amerika Syarikat.
Pada ketika ini, persaingan untuk memenuhi keperluan Thailand adalah di antara SAAB menerusi peswat pejuang Gripen E/F dan Lockheed Martin yang mengemukakan varian terkini F-16 Block 70.
Sumber yang dipetik oleh akhbar Bangkok Post itu menyatakan bahawa RTAF berkemungkinan besar akan memilih pesawat pejuang Gripen buatan Sweden itu untuk memenuhi keperluannya, mengalahkan F-16 Block 70.
Sebenarnya tanda-tanda bahawa Thailand akan memiih pesawat pejuang Gripen telah pun kelihatan jelas sejak beberapa bulan lalu, tetapi ia semakin kelihatan baru-baru ini dengan kunjungan Panglima RTAF ACM Phanpakdee Phattanakul dan pegawai-pegawai tinggi yang lain ke Sweden awal bulan lepas untuk mengadakan perbincangan lebih lanjut dengan pengurusan kanan SAAB.
Pada akhir bulan lepas pula, Pengerusi Jawatankuasa Angkatan Tentera di Parlimen Thailand Wiroj Lakkhanadisorn juga mengadakan kunjungan ke negara Scandinavia itu untuk tujuan yang sama, iaitu mengadakan perbincangan lebih lanjut dengan pengurusan kanan syarikat SAAB.
Sementara itu Pengarah Kempen Gripen Thailand Robert Bjorklund sebagaimana dipetik oleh akhbar utama Thailand itu berkata syarikat SAAB menawarkan kepada Thailand jaringan sistem penderia fusion (networked sensor fusion) dan tiga jenis radar yang canggih.
Radar-radar canggih yang ditawarkan untuk melengkapi pesawat pejuang Gripen E/F Thailand itu adalah Raven ES-05-AESA, Skyward G-IRST and Mode 5-IFF.
Mengenai sistem data link pula, beliau berkata, pesawat pejuang Gripen E/F yang ditawarkan kepada Thailand itu adalah bersesuaian dengan sistem datalink Link-16 dan juga sistem datalink yang dibangunkan sendiri oleh RTAF iaitu Link-TH.
Pihak SAAB katanya, mencadangkan supaya RTAF membangunkan sendiri sistem datalink kebangsaannya, sistem komunikasi radio untuk pesawat pejuang kerana ia akan memberikan fleksibiliti kepada pengguna pesawat pejuang itu dan menghalang maklumat-maklumat sulit daripada bocor.
“SAAB akan memberikan kekuatan udara kepada RTAF bagi menjadikannya kuasa udara antarabangsa,” menurut beliau.
Thailand dijangka mengumumkan pesawat pejuang pilihanannya itu pada akhir tahun ini.
Pemilihan pesawat-pesawat pejuang F-16 Block 70 dan juga Gripen-E itu telah pun disahkan oleh RTAF ACM Phanpakdee Pattankul baru-baru ini.
“Sejak amat mustahil untuk membeli pesawat pejuang F-35 sebagaimana dirancang, pilihan telah dikecilkan kepada Gripen-E dan F-16 Block 70,” kata beliau.
Menurutnya lagi, daripada tujuh skuadron Tentera Udara Thailand pada ketika ini pesawat-pesawat pejuang tiga buah skuadron miliknya akan ditamatkan perkhidmatannya kerana pesawat pejuang telah berusia dan usang.
Setiap skuadron memiliki 12 buah pesawat pejuang dan pesawat-pesawat pejuang barunya itu akan menggantikan pesawat yang ditamatkan khidmat.
Pembelian pesawat pejuang baru Thailand itu akan bermula pada Oktober tahun depan dengan perolehan empat buah pesawat pejuang awal diikuti dengan pesawat yang lain.
Pada ketika ini, Thailand turut mengoperasikan pesawat-pesawat pejuang F-16 daripada varian yang telah berusia dan juga 12 buah pesawat pejuang JAS39 Gripen yang diperolehinya daripada Saab pada 2008.
Usaha Sweden dan syarikat Saab untuk menjual pesawat-pesawat Gripen kepada Thailand turut mendapat sokongan daripada United Kingdom.
Pada 20 Mac lalu, syarikat Saab mengumumkan bahawa usahanya untuk menjual JAS39 Gripen-E turut mendapat sokongan daripada United Kingdom.
“Sweden dan United Kingdom bergandingan dalam menawarkan masa depan terbaik daripada segi kemampuan kepada Tentera Udara Thailand,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat Saab itu.
Setiausaha Luar United Kingdom David Cameron ketika melawat Thailand baru-baru ini turut dilihat melawat skuadron Tentera Udara Thailand yang mengoperasi pesawat pejuang Gripen dioperasikan oleh negara Asia Tenggara itu.
Walaupun pesawat pejuang Gripen diperbuat oleh syarikat Saab daripada Sweden, namun Saab mendedahkan 25 peratus daripada komponen untuk pesawat itu diperbuat oleh syarikat-syarikat yang berpengkalan di United Kingdom. — DSA
Comments are closed.